Pengalaman berharga dua profesor Malaysia lawat kem pelarian Rohingya di Bangladesh

BERIKUT adalah himpunan perkongsian pengalaman berharga yang ditulis oleh dua pemimpin Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) iaitu Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin (Naib Presiden I) dan Prof Dr Azizi Ayob (Setiausaha I-Medik).

Semua catatan ini boleh dibaca di laman Facebook Zainur Rashid Zainuddin dan laman Facebook Ubat dan Anda yang dikendalikan oleh Prof Dr Azizi.

Catatan Prof Dr Zainur Rashid

Menjejaki pelarian Rohingya (1)

Anak-anak pelarian Rohingya ini tekun mempelajari al-Quran daripada ‘guru’ yang mengajar mereka secara sukarela hampir setiap hari di ‘kelas Quran langit terbuka’.

Inilah realiti sebenar mereka yang hidup dengan serba kekurangan di kem pelarian yang padat dengan penghuni. Namun tiada sebarang kemudahan asasi yang diperlukan sebagai manusia normal setelah ibu bapa mereka dihalau keluar daripada Arakan, Myanmar.

Mereka tidak pernah kenal erti sekolah dan persekolahan, apatah lagi peluang untuk belajar menulis dan membaca sebagaimana yang dilalui oleh kanak-kanak di Malaysia.

Dr Z,
28 Disember 2016
Kutupalong Rohingya Refugee Camp,
Ukhiya, Cox Bazar, Bangladesh.

(Di Bangladesh, berdekatan dengan Arakan, Myanmar)

Menjejaki pelarian Rohingya (2)

Kehidupan mereka, di luar norma kemanusiaan

Rasa amat bersyukur apabila kami diberikan peluang untuk menyaksikan dengan mata dan kepala sendiri dengan apa yang berlaku kepada ribuan para pelarian Rohingya.

Di Kem Kutupalong, Ukhiya, Cox Bazar yang terletak di sempadan Bangladesh-Myanmar ini, ditempatkan kira-kira 150,000 orang pelarian Rohingya dalam keadaan yang padat dan jauh daripada kemudahan asasi yang diperlukan oleh komuniti yang bernama manusia.

Mereka tinggal dalam khemah yang kecil atau rumah yang berdindingkan samada plastik atau tanah atau pun kadang-kadang daripada buluh.

Tiada bekalan air bersih melainkan beberapa perigi yang digali secara amatur. Sukar sekali untuk berhenti lama di satu-satu lokasi berdekatan khemah mereka kerana ‘berbau’ disebabkan tiada sistem perparitan.

Tidak boleh kami bayangkan bagaimana keadaan penempatan ini di sebelah malam kerana bekalan elektrik memang jauh sekali, melainkan sekali sekala dalam mimpi.

Apa pilihan yang mereka ada?

Samada dibunuh atau diperkosa di kampung halaman di Arakan atau pun meniti siri derita dan keperitan yang tidak menentu di perantauan.

Bersambung :

Zainur Rashid Zainuddin – Yayasan Ikhlas
Azizi Ayob – I-Medik Malaysia.

28 Disember 2016
Kem Kutupalong, Ukhiya,
Cox Bazar, Bangladesh.

Menjejaki pelarian Rohingya (3)

Mengenali Kem Pelarian Rohingya Kutupalong yang terletak di Cox Bazar.

Kem ini terletak di Bangladesh (kira-kira 10 jam perjalanan daripada Dhaka) dan bersempadan dengan Myanmar.

Ia sesak dengan penghuni, lebih daripada 150,000 pelarian Rohingya menetap di sini setelah melarikan diri daripada Arakan, Myanmar.

Keadaan kem ini sangat daif dan mustahil untuk diduduki oleh komuniti manusia yang normal.

Menjejaki pelarian Rohingya (4)

Lelaki warga emas etnik Rohingya ini bernama Mohamad Bin Yusof.

Beliau dilahirkan di Arakan, Burma (sekarang Myanmar) kira-kira 60 tahun yang lalu. Ibu bapanya juga dilahirkan di Arakan kerana datuk dan nenek mereka juga telah menetap di sana sejak berzaman.

Mereka dan ahli keluarga yang lain juga telah lama menetap di Arakan, bahkan telah memiliki pelbagai aset seperti rumah dan ladang.

Namun kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh pemerintah junta Burma (Myanmar) yang menyebelahi masyarakat Rakhine setempat, mereka tidak mempunyai pilihan yang lain melainkan terpaksa berhijrah membawa diri.

Apa tidaknya, siapa yang sanggup melihat ahli keluarganya dibunuh atau wanita mereka diperkosa secara bergilir-gilir. Harta mereka seperti kedai dan ladang, dirampas oleh junta tentera yang kemudiannya memberikan harta tersebut kepada masyarakat Rakhine yang memusuhi etnik Rohingya.

Meskipun telah berhijrah sejak 1991 lagi, masa depan mereka dan keluarga mereka di kem pelarian juga masih tidak menentu. Mereka berada di bawah paras kemiskinan kerana tidak berpeluang untuk bekerja atau memiliki sebarang hasil kehidupan melainkan sekadar mengalas perut pada setiap hari.

Badannya ternyata kurus dan pakaiannya nampak tidak terurus. Ternyata beliau seolah-oleh sedang menantikan terbitnya matahari yang tidak kunjung tiba. Bukan hanya beliau sahaja yang berada di dalam keadaan sedemikian, bahkan puluhan atau ratusan ribu yang lain.

Rohingya – siapkah pembela masa depan mereka?

28 Disember 2016
Kem Kutupalong, Ukhiya, Cox Bazar, Bangladesh.

Menjejaki pelarian Rohingya (5)

Bukan sekadar Rohingya dan junta Myanmar sahaja.

Sebelum menunaikan solat fardu Jumaat, khatib dan imam di salah sebuah masjid di Dhaka menggesa agar orang ramai terus mendoakan kebaikan saudara-saudara Rohingya mereka.

Dapatan daripada temu bual dengan rakyat biasa Bangladesh, mereka bersimpati kepada etnik Rohingya dan marah kepada kerajaan dan tentera Myanmar. Secara umumnya, mereka juga suka dengan pendirian Malaysia berbanding dengan sikap negara ASEAN yang mendiamkan diri dan tidak mahu menerima pelarian Rohingya.

Kerajaan Bangladesh dikatakan ingin menyokong perjuangan terhadap hak asasi kemanusiaan etnik Rohingya kerana sejarah dan kemanusiaan sejagat bersama Rohingya tetapi Bangladeh sedang berhadapan dengan tekanan daripada AS, India, China, Myanmar (tentera, Aung San Suu Kyi, Ma-Ba-Ta Movement) dan Zionis antarabangsa.

Kenapa ya?

Saya masih memerlukan beberapa pencerahan dalam hal ini. Selain daripada menantikan suara pejuang demokrasi dan hak asasi manusia di tanah air sendiri.

Dhaka, Bangladesh
30 Disember 2016

Menjejaki pelarian Rohingya (6)

Bermusafir di Bangladesh

Bangladesh adalah di antara negara yang paling sesak di dunia dengan jumlah penduduk yang melebihi 160 juta orang.

Kali ini saya berpeluang untuk bermusafir di Bangladesh, bermula di Dhaka (ibu negara) dan Chitaggong (bandar ke-2 besar) sebelum ke Cox Bazar (pantai terpanjang di Dunia -56 km) untuk menjejaki kem pelarian Rohingya di Ukhiya, berdekatan dengan sempadan Myanmar.

Jalan raya biasanya padat, sentiasa ‘bingit’ dan kerap mencemaskan tetapi alhamdulillah kerana tidak terserembak dengan sebarang kemalangan jalan raya dalam perjalanan ribuan km selama 5 hari tersebut. Unik ☝️

Pengalaman ini sangat unik, ia jelas berbeza dengan pengalaman bermusafir di Thailand, China, Indonesia, India, Pakistan, Afghanistan, Mesir dan Sudan.

Rahsia menikmati permusafiran di Bangladeh adalah sabar, tabah dan bersyukur dengan apa yang ada.

Menjejaki pelarian Rohingya (7)

Perkhabaran dari Arakan (Rakhine), Myanmar.

Beberapa foto terkini yang dikirimkan ini melambangkan kekejaman tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya di wilayah Arakan.

~ Lelaki Rohingya diseksa atau dibunuh
~ Kanak-kanak Rohingya dibakar ke dalam api
~ Seorang wanita Rohingya bersalin dalam perjalanan melarikan diri ke Bangladesh daripada Arakan, Myanmar.

Apakah alasan tentera Myanmar untuk membunuh mereka?

Adakah dakwaan bahawa mereka adalah ‘pendatang haram’ yang telah bermastautin sejak lebih 250 tahun dahulu membolehkan pembersihan etnik ini diharuskan?

Apakah perbezaan di antara Myanmar dan regim Zionis Israel?

Catatan Prof Dr Azizi

Jejak Rohingya (1)

Renung-Renungkan….

Ada pekerjaan – kita tidak bersungguh dan bersyukur
Ada pendapatan – kita merasa selalu kurang & tidak mencukupi
Ada kenderaan – kita rasakan tidak cukup laju
Ada rumah – kita perlukan lebih besar lagi
Itu lah kita…
Ada manusia di waktu ini yang tiada apa-apa untuk meneruskan hidup……
Cukuplah mata menjadi saksi, gambar-gambar menjadi bukti…

Kem Pelarian Rohingya Kutupalong, Ukhiya, Bangladesh
29 Dec 2016

Jejak Rohingya 2: Perlukah Mereka Menumpang Kasih & Pertolongan Kita?

Mereka dihalau dari kampung halaman dan tanah air sendiri di Arakan, Myanmar sejak puluhan tahun yang lalu. Kekejaman tentera Myanmar serta penduduk Buddha berdasarkan sejarah menyebabkan isu ini nampak belum ada jalan akhirnya.

Semasa kami berkesempatan masuk ke Kem Pelarian Rohingya Kutupalong, Ukhiya, Cox’s Bazar, 10 jam perjalanan darat dari Dhaka, ternyata banyak bukti mereka terpaksa melarikan diri hanya untuk hidup semata-mata.

Ya, hanya untuk terus hidup!! Justeru, terpaksa menggadaikan nyawa merentas laut lalu masuk ke sempadan Bangladesh. Ada yang mati lemas sewaktu menyeberang, ada yang dihalau semula balik ke Arakan, dan pelbagai azab sengsara yang mereka hadapi saat itu.

Suasana kem Kutupalong, 1 daripada 5 kem pelarian yang sesak telah terbina sejak 1994, menempatkan lebih 150,000 orang. Ini bermakna majoriti pelarian berada di situ sejak puluhan tahun, tanpa asas infrastruktur, sokongan sosial, rumah, tanpa pelajaran dan lain-lain…sangat menyedihkan.

Cuba bayangkan kita hidup di hutan atau di tanah lapang, beratapkan nipah, berdindingkan tanah liat, tanpa sumber air bersih, tanpa elektrik, tanpa sistem kumbahan, sesak dengan manusia yang padat. Kesemua lapisan generasi terdiri daripada bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua bersesak dan hidup dalam komuniti yang tidak pasti masa depan mereka. Pastinya tiada sokongan sosial seperti pekerjaan, sumber makanan atau minuman yg sempurna. Ini bukanlah satu kehidupan normal yang perlu kita tontoni dalam era moden ini!!!

Ini bukan omongan kosong, ini fakta dan inilah yang terjadi kepada hampir setengah juta pelarian Rohingya yang menumpang hidup di bumi Bangladesh, yang suatu masa dahulu sebahagian dari Arakan, sebelum mereka berpisah dari Myanmar.

Renung-renungkan lah….

Kem Rohingya Kutupalong, Ukhiya, Cox Bazar,
Bangladesh
30 Dec 2016

Jejak Rohingya (3): Aku Menangis…..

Tidak menangis kah kita melihat kesengsaraan mereka? Tidak insaf kah melihat kedhaifan mereka? Tidak bersyukur ke dengan apa yang anda ada?

Allah, Allah…. Puluhan tahun mereka hidup tanpa haluan. Puluhan tahun mereka hidup sebagai pelarian yang tiada ‘sosial support‘ yang mencukupi. Sekiranya ingin pulang ke Arakan, mereka tiada peluang langsung. Sekalipun berjaya pulang, mungkin akan lebih derita….

Hati kecil yang tiada perasaan dan nilai kemanusiaan mungkin sekadar berkata…’Itu sudah nasib mereka’…

Tapi hati kecil yang merasa insaf pasti tersentap, tersentuh, tergerak untuk lakukan sesuatu untuk mereka. Ya, mereka sangat perlu dibantu. Itulah azam saya dan juga rakan-rakan yang terlibat dalam misi kali ini untuk berbuat sesuatu dalam ruang lingkup masa dan kudrat yang Allah kurniakan. Di lubuk hati sungguh terasa sedih dan pilu. Ya, hati ‘menangis’…

Pastinya ketabahan dan keredaan mereka akan penderitaan ini akan memudahkan mereka masuk ke Jannah nanti. Kerana kemiskinan dan kemelaratan mereka itu tidak diminta, malah perlu mereka hadapi untuk terus hidup.

Jejak Rohingya (4): Kanak-kanak Rohingya ‘berdikari’ untuk terus hidup…..

Sekelip mata sahaja anda boleh buat kesimpulan bahawa apa-apa yang anak-anak kita ada selama ini, dan lakukan saban hari sebenarnya tidak mampu kanak-kanak Rohingya lakukan. Ini kerana mereka ‘sehelai sepinggang’…….

Tiada formal pendidikan, tiada taman permainan, tiada mainan kanak-kanak, tiada telefon pintar, game, TV, tiada, tiada, tiada….

Photo-photo di bawah sebagai sebahagian bukti yang sempat saya rakamkan.
Photo (1 &2) Anak kecil perempuan seusia 5 tahun mengait jala untuk menangkap ikan.
Photo (3) Anak lelaki seusia 6-7 tahun mengikat dan menjinjing kayu api.
Photo (3) Anak-anak yang menjual makanan dan mengumpul air di ruang terbuka di kem.

Mereka mengharapkan sesuatu daripada kami, namun faktor-faktor keselamatan, kami tidak dibenarkan memberi apa-apa bantuan. Hanya sekadar memerhati dan merancang sesuatu apabila berada di luar kem nanti.

Catatan:
30 Dec 2016
Kem Pelarian Kutupalong, Uthiya, Cox Bazar, Burma

Jejak Rohingya (5): Kanak-kanak dan Pelajaran

Sesuatu yang sangat menguntungkan kita dan anak-anak kita bila pelajaran dan pendidikan formal menjadi agenda besar setiap kanak-kanak di Malaysia.

Namun, perkara sebegini tidaklah terjadi kepada kanak-kanak Rohingya kerana keadaan kem pelarian yang sangat daif. Ada beberapa pondok didirikan dan mereka diajar asas-asas agama oleh beberapa orang ustaz atau orang alim di kalangan Rohingya sendiri.

Majoriti kanak-kanak sibuk bermain atau melakukan kerja-kerja harian kerana mereka perlukan sesuap nasi untuk hidup. ‘Sesuap nasi’ jauh lebih penting daripada perkara lain. Ini sangat berlawanan dengan kanak-kanak di tempat lain.

Photo (1) Pengajian al-Quran di pondok
Photo (2 & 3) Pengajian al-Quran di tempat terbuka kerana tiada pondok
Photo (4) Sekumpulan kanak-kanak yang berkesempatan belajar di luar pondok

Kem Pelarian Kutupalong, Ukhiya, Coc Bazar, Bangladesh
30 Dis 2016

Jejak Rohingya (6): Tiada bekalan air bersih

Kita terputus air, Kita ‘bising’
Mereka tiada punca air bersih😭😭

Sebaik sahaja kami melepasi sungai utama sebelum masuk ke kem, telah terasa ‘bahang’ kehidupan yang pastinya sesak dan padat.

Bayangkan 150,000 pelarian di hutan penempatan yang langsung tiada infrastruktur asas untuk mereka. Bekalan air bersih dan sistem saliran dan kumbahan sangat kritikal. Ya, sangat asas untuk setiap kita. Bekalan elektrik dan kemudahan lain juga tiada disediakan.

Cuba anda bayangkan…itulah kehidupan mereka saban hari, saban tahun dan kem Kutupalong ini telah didirikan sejak 1994 lagi!! Ini bermaksud sesetengah pelarian Rohingya telah hidup disitu selama 22 tahun. Allahuakbar!!!!

Saya berjaya mengambil beberapa photo berkenaan ‘tubewell pump‘ yang digunakan sebagai sumber air kegunaan minum dan basuhan harian.

Ya, hanya itu sumber yang ada dan bilangannya sangat terhad. Air itu ada sumbernya air masin, berkeladak, tanpa tapis dan pasti tanpa klorin.

Kami berhasrat untuk membuat projek ‘tubewell pump‘ yang lebih sesuai terutamanya di penempatan baru yang masih tiada sumber air.

Anda ingin menyumbang ke projek ini? Ini adalah salah satu ‘amal jariah’ dan ribuan pelarian pasti mendapat manfaat.

Kem Kutupalong, Ukhiya, Cox Bazar,
Bangladesh.
30 Dec 2016

Jejak Rohingya (7): Kesengsaraan hidup tiada penghujungnya…..

Mengikut maklumat terkini melalui rakan-rakan warga Bangladesh, penduduk Rohingya di Arakan masih terus ditindas, diseksa dan diperkosa serta dihalau supaya meninggalkan kampung halaman mereka.

Dianggarkan lebih kurang 1.5 juta Rohingya atau 30-35% dan selebihnya dihuni oleh penganut Buddha (Rakhein) Myanmar di Arakan. Ini bermaksud ‘penghapusan etnik’ sedang dan terus berlaku. Hanya dengan alasan mereka seorang Muslim. Sedangkan hak mereka sebagai penduduk jati di Arakan wajib terpelihara.

Akibat daripada situasi di Arakan, menyebabkan mereka terpaksa menyeberang laut dan masuk ke sempadan Bangladesh untuk menyelamatkan diri dan nyawa.

Ya, sehelai sepinggang itulah perkataan yang paling sesuai untuk mereka terus hidup.

Di kem pelarian pula, azab sengsara berlainan pula kerana mereka perlu bina bangsal atau khemah daripada batang kayu, beratap nipah dan berdinding tanah liat…..itulah hakikatnya.

Kem Kutupalong, Cox bazar, Ukhiya,
Bangladesh
30 Dec 2016

Jejak Rohingya (8): ‘Sesi Persekolahan’ mimpi kanak-kanak Rohingya….

Semalam dan hari ini adalah sesi baru 2017 persekolahan di Malaysia. Kanak-kanak, ibu bapa dan guru-guru sekolah turut meraikan hari ini dan memulakan ‘hidup’ baru di alam persekolahan. Setiap anak diberi ‘layanan’ istimewa terutamanya yang berada di darjah 1.

Hati saya masih teringat kanak-kanak Rohingya di Kem Kutupalong, walaupun telah sampai ke Malaysia. Saya pasti mereka tak tahu bila ‘tarikh hari dan bulan malah tahun’ kerana tiada suasana sesi persekolahan yang sangat meriah di Malaysia.

Mereka perlu membantu diri sendiri seawal umur kanak-kanak tadika atau darjah 1 untuk ‘survive’ dan ‘hidup’ di kem pelarian. Jangankan baju sekolah, seluar, kasut dan bag sekolah..bangunan sekolah tersergam indah sepertimana di Malaysia mereka belum pernah saksikan….sangat wajar kanak-kanak Malaysia dan kita semua bersyukur.

Namun ‘riak’ kegembiraan terpancar di muka mereka kerana mungkin itu ‘dunia pelajaran’ tidak formal yang mereka pelajari. Mereka tiada pilihan. Walaupun tiada peluang, saya pasti ‘mimpi’ mereka juga inginkan apa yang kanak-kanak Malaysia perolehi…..😪😪😪

Catatan Terakhir ‘Untukmu Rohingya’

Titisan air mata yang tiada erti jika….

Saya akhiri catatan jejak Rohingya ini dengan beberapa kesimpulan:

1) Inilah perjalanan ‘Relief & Humanitarian’ mission walaupun bentuk serta tujuan sedikit berbeza daripada misi-misi lain, namun pengalaman ‘psychological trauma’ post-mission sangat terkesan di jiwa setiap ahli misi kali ini.

2) Penderitaan saudara kita Muslim Rohingya bermula sejak ratusan, puluhan tahun, dan sehingga hari ini, belum nampak apa-apa ‘sinar’ untuk mereka boleh tersenyum lebar. Masa hadapan yang belum pasti bila dikategorikan sebagai ‘stateless refugee‘.

3) Keadaan dan suasana kem yang sangat sesak ditambah pula tanpa infrastruktur asas untuk kehidupan normal sebagai manusia, ini bukanlah tempat untuk mereka hidup. Suasana penempatan ini tidak terucap dengan perkataan yang sesuai sekalipun kamus yang dirujuk dengan ribuan helai tebalnya.

4) Sokongan sosial yang sangat terhad. Bantuan dari dunia luar disekat malah bantuan khusus penduduk dan NGO lokal juga tidak dibenarkan. Ya, bantuan yang sangat terhad. Nah…pandai-pandailah bawa diri untuk hidup!!!

5) I-Medik bersama rakan akrab Yayasan Ikhlas sedang dan akan merancang beberapa tindakan susulan untuk membantu mereka dalam ruang lingkup yang terhad sebaik sahaja maklumat misi ini lengkap. Kita harus dan wajar mencuba serta bersusah payah membantu mereka yang dizalimi.

Kepada rakan-rakan yang membantu misi kali ini Prof Dr Zainur Rashid, Br Nayem, Tn Hj Kamarudin Kasim, Sdr Syafiq, JKP I-Medik, dan semua kenalan dan rakan NGO di Bangladesh, semoga usaha dan pertolongan anda semua akan perolehi pahala dan rahmat daripada Allah. Juga sokongan isteri dan anak-anak yang tersayang…

Kepada saudaraku Muslim Rohingya…penderitaan yang anda telah, sedang dan akan lalui itu sebagai satu takdir qada’ & qadar yang Allah Maha Esa. Namun sekiranya kalian redha dan taat pada Allah, syurga pasti menanti kalian semua, malah kalian lebih mudah masuki pintu-pintu Jannah nanti daripada kami……ini kerana ujian yang kalian hadapi itu sangat mencabar….

Kami akan tetap dan terus berdoa walaupun dek kejauhan, kami tetap berusaha untuk memudahkan penderitaan yang kalian tanggung, insyaallah.

Semoga Allah Rahmati, Berkati dan Bantu kalian semua….Ameen…

Sekian
Dr Azizi Ayob
31 Dec 2016
Dhaka, Bangladesh.

Editor: Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Prof Dr Zainur Rashid dan Prof Dr Azizi atas perkongsian berharga ini. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada saudara seagama kita etnik Rohingya dalam meneruskan kehidupan. Semua pihak diseru untuk tampil memberikan apa jua bantuan menerusi I-Medik dan Yayasan Ikhlas.

Banyak lagi gambar di kem pelarian boleh didapati di Facebook Dr Zainur Rashid dan Facebook Dr Azizi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *