Lima pegawai diplomat UAE maut serangan bom di Afghanistan, duta turut cedera

Duta UAE ke Afghanistan, Juma Mohammed Abdullah Al Kaabi (dua dari kiri) dan Gabenor Kandahar, Hamayun Azizi (dua dari kanan) di rumah tamu gabenor, sebelum letupan.

KANDAHAR, 12 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Lima pegawai diplomatik dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) terbunuh dalam serangan bom di selatan Afghanistan, yang turut mencederakan duta UAE dan gabenor Kandahar, lapor pegawai diplomat UAE, hari ini.

Mangsa adalah pegawai UAE yang dalam misi memberi bantuan kemanusiaan, pendidikan dan projek pembangunan di wilayah itu.

Mereka yang terbunuh ialah Mohammad Ali Zainal Al Bastaki; Abdullah Mohammad Eisa Obaid Al Kaabi; AhmadRashid Salim Ali Al Mazroui; Ahmad Abdul Rahman Ahmad Al Tunaiji; dan Abdul Hamid Sultan Abdullah Ibrahim Al Hammadi.

Duta UAE ke Afghanistan, Juma Mohammed Abdullah Al Kaabi dan Gabenor Kandahar, Hamayun Azizi, dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Letupan itu adalah satu daripada siri serangan bom yang menggegarkan tiga bandar di Afghanistan semalam, yang mengorbankan 50 orang awam dan mencederakan 100 yang lain.

Serangan bom itu menyasarkan rumah tamu Hamayun ketika beliau menerima kunjungan kumpulan diplomat UAE untuk makan malam.

Kementerian Luar UAE mengesahkan kejadian itu kepada agensi berita Emirates News Agency (WAM) menerusi Twitter.

“Duta Al Kaabi berada di Kandahar dalam misi kemanusiaan, sebahagian daripada program bantuan UAE kepada rakyat Afghanistan.

“Beliau berada di situ untuk menemui Gabenor Kandahar bagi menandatangani memorandum persefahaman dengan Universiti Kardan bagi menyediakan biasiswa dengan kerjasama Yayasan Khalifa Bin Zayed Al Nahyan,” kata kenyataan Kementerian Luar UAE.

Sementara itu, militan Taliban menafikan mereka menanam bom yang meletup dan mencederakan Al Kaabi serta kakitangan diplomat yang lain.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Taliban menyalahkan puak tempatan berikutan serangan itu.

Bagaimanapun, mereka mengaku bertanggungjawab dalam serangan di Kabul yang mengorbankan sekurang- kurangnya 38 orang dan mencederakan puluhan yang lain. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *