KLS langkah awal kejayaan lepasan sekolah di peringkat lebih tinggi

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 17 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Setiap lepasan sekolah wajib menghadiri program Karnival Lepasan Sekolah (KLS) kerana di sinilah tapak permulaan pesertanya untuk berjaya, kata Pengarah Kelab Remaja Isma (KRIM) daerah Hulu Langat, Ibrahim Sharkawi.

Beliau berkata, keistimewaan KLS ini adalah kerana ia menyediakan mentor kepada setiap peserta bagi membolehkan peserta dipantau rapi perkembangannya.

“Mentor-mentor ini akan membantu dalam membimbing halatuju peserta, berkongsi tips tentang borang-borang biasiswa, laman web untuk ditemuduga dan sebagainya.

“Pelbagai tips persediaan ke alam institut pendidikan tinggi (IPT) akan diberikan kepada peserta melalui mentor masing-masing,” kata Ibrahim ketika ditemui Ismaweb, pada program KLS yang berlangsung Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata. KLS juga menyediakan pelbagai pameran kerjaya contohnya bidang kejuruteraan, kedoktoran, teknikal dan sebagainya.

KLS juga akan berkongsi rahsia kepada semua peserta berkenaan ‘survival campus‘.

“Lazimnya, apa yang berlaku kepada lepasan sekolah ialah dilema perpindahan daripada alam persekolahan ke alam IPT.

“Jadi, melalui ‘survival campus‘ ini, kita akan bercerita dan mendedahkan mengenai alam IPT supaya tidak menjadi ‘culture shock‘ kepada peserta.

“Selain daripada itu, kita menyediakan banyak tips untuk temu duga serta biasiswa dan tidak lupa juga terdapat slot motivasi untuk ke IPT dan ‘Career Talk‘,” katanya.

Program KLS 2017 merupakan kali kelapan ia dianjurkan dengan disertai seramai 4,000 peserta seluruh negara.

Ia diadakan di 22 cawangan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Program KLS yang diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) hari ini disertai oleh kira-kira 200 orang peserta.

Karnival sehari ini turut memberi peluang kepada peserta untuk mendengar penerangan dari panelis berkenaan alam kerjaya.

Antaranya ialah Geosaintis Petronas, Hanan Othman, Pegawai Perubatan Sarjana Obstentrik dan Ginekologi, Dr Norhasliza Ahmad Fauzi dan Timbalan Dekan Mahasiswa Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Dr Norziah Othman.

Ibrahim berkata, kepada mereka yang terlepas untuk menyertai KLS anjuran tahun ini, mereka masih berkesempatan menyertai sebuah lagi program yang diberikan nama ‘One Step Closer‘.

“Program ini adalah program di mana para peserta akan bermalam di IPT. Jadi kita akan merasa pengalaman prauniversiti. Bila peserta dapat rasa sendiri pengalaman itu, dia akan lebih seronok dan bersedia untuk memasuki alam IPT ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *