Hukum qada solat fardu adalah khilaf: Pengerusi Majlis Ulama Isma


RAMAINYA
orang bertanya berkenaan dengan hukum qada solat fardu yang ditinggalkan secara sengaja. Minta maaf. Tertinggal isu agaknya saya ni.

Kenapa isu khilaf “kecil” sebegini tiba-tiba menjadi hangat, sehingga ada yang tulis: “Insya-Allah, saya tak akan sebarkan pandangan Dr. Hanya untuk kegunaan diri saya sendiri saja“.

Jawapan ringkas saya:

Isu ini adalah isu khilaf.

Pandangan jamahir fuqaha adalah wajib qada solat fardu yang ditinggalkan secara sengaja. Ini juga adalah muktamad di dalam mazhab.

Hujah mereka juga pelbagai, termasuklah penggunaan qiyas awlawi. Bahkan Imam Nawawi menaqalkan ijma dalam hal ini.

Terdapat pandangan segelintir fuqaha yang menyatakan tidak wajib qada. Hujah mereka juga pelbagai. Ada yang menyatakan sebab tak perlu qada kerana tiada nas yang sarih.

Jadi untuk menghapuskan dosa tersebut, maka perlulah solat sunat dengan sebanyaknya. Ada yang lebih memberatkan dan menyatakan tidak perlu qada kerana dengan meninggalkan solat dengan sengaja, maka orang itu telah jatuh kafir. Jadi dalam keadaan tersebut, maka yang wajib hanyalah perlu bertaubat sungguh-sungguh.

Adapun mereka yang menyatakan wajib qada juga berbeza pandangan. Ada yang agak ketat lalu mewajibkan qada secepat mungkin dan tidak menggalakkan (bahkan ada yang tidak membenarkan) solat sunat sehinggalah selesai qada yang wajib.

Ada juga yang memberikan kelonggaran dengan membenarkan solat sunat selagi mana dia berterusan qada.

Pada pandangan peribadi saya, qada solat fardu yang tertinggal adalah wajib dilakukan. Namun kewajiban ini tidaklah secara berterusan sehingga beliau tidak boleh buat kerja lain atau tidak boleh buat solat sunat langsung.

Pada pandangan saya, beliau adalah dianggap melakukan qada sekiranya itu menjadi amalan berterusan (dawam) beliau. Contohnya, beliau akan solat qada setiap kali beliau bersolat fardu. Zohor dengan Zohor. Asar dengan Asar dan begitulah seterusnya. Insya-Allah, jika beliau meninggal sebelum habis qada, Allah akan mengampunkan beliau. Kesungguhan beliau untuk qada tersebut adalah menjadi salah satu bukti kesungguhan taubat beliau. Dalam masa yang sama beliau masih boleh melakukan solat-solat sunat yang lain. Namun dalam masa terluang, perbanyakkanlah qada solat fardu tersebut.

Dengan cara ini, ia akan memudahkan orang yang ingin bertaubat dan telah lama meninggalkan solat, dan ia juga tidak membuka ruang untuk orang bermudah-mudah meninggalkan solat.

Ini pandangan peribadi saya. Namun ini adalah isu khilaf yang tak perlu diperbesarkan.

Wallahu A’lam

Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama Isma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *