Abbas tulis surat gesa Trump tidak pindah kedutaan AS ke Baitulmaqdis

RAMALLAH, 11 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Presiden Palestin Mahmud Abbas menggesa Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, tidak memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Menerusi surat yang dihantar kepada Trump, Abbas menyatakan risiko yang perlu dihadapi jika pemindahan kedutaan itu dilakukan.

Abbas mengingatkan, tindakan itu mungkin memberi kesan buruk terhadap proses damai, penyelesaian dua negara dan kestabilan serta keselamatan keseluruhan rantau.

Untuk bantahan ini, dilaporkan Abbas turut menghantar surat kepada kuasa dunia lain termasuk Russia, China dan Kesatuan Eropah, menggesa mereka tidak berlengah lagi menghalang AS daripada mengambil tindakan itu.

Sebelum ini, Trump memaklumkan, beliau bercadang untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Jurucakapnya, Kellyanne Conway bulan lalu memberitahu sebuah saluran radio AS bahawa memindahkan kedutaan itu adalah keutamaan amat besar buat presiden dipilih.

Lebih kritikal apabila David Friedman, seorang penyokong penempatan haram Israel di Tebing Barat telah dicalonkan sebagai duta ke negara Yahudi tersebut.

Sehingga hari ini, rakyat Palestin menganggap apa yang mereka lakukan adalah tindakan sebelah pihak, sehingga status bandar itu dipertaruhkan.

Bagaimanapun, sekutunya Israel menyokong tindakan itu dan menggalakkan presiden sebelumnya mengambil langkah sama namun tidak berjaya.

Kebanyakkan negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan status bandar itu menjadi satu isu besar dalam konflik berdekad Israel-Palestin. -Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *