a
Terkini
12/12/2017, 11:55 pm

KATA PEDANG: Fasih berbahasa Melayu baru dapat kad pengenalan biru

ISU bahasa Melayu bukan sahaja menarik perhatian, malah kerap kali juga menjadi perbincangan hangat di kalangan rakyat Malaysia.

Dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 152 memperuntukkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu, tetapi bahasa lain pun boleh digunakan. Semestinyalah, mereka yang mengaku atau menjadi rakyat Malaysia boleh bertutur bahasa Melayu dengan lancar. Bukan setakat memperoleh A+ dalam pemeriksaan sekolah.

Apatah lagi tokoh-tokoh politik, pemimpin rakyat dan menteri-menteri, sepatutnya fasih berbahasa Melayu. Jangan pula menggantikan perkataan ‘malu’ kepada ‘kemaluan’ ketika berucap. Jangan lah pula menyebut ‘bulung-bulung’ merujuk kepada ‘burung’.

Bukannya Pedang berhasrat menyuruh mereka belajar semula asal usul bahasa Melayu. Bukan Pedang suruh mengaji semula Hikayat Merong Mahawangsa; Sejarah Melayu; Hikayat Inderaputera; Hikayat Bayan Budiman atau Hikayat Patani, yang bahasanya memang kaum lain sukar hendak memahaminya.

Sekarang pun mungkin orang Melayu sendiri sukar memahami bahasa dulu-dulu. Bolehkah faham perkataan dan ayat di bawah:

Wa ba’adahu adapun kemudian dari itu telah berkata fakir yang insaf akan lemah keadaan dirinya, dan singkat pengetahuan ilmunya; dan pada suatu masa bahawa fakir duduk pada suatu majlis dengan orang-orang besar bersenda gurau. Pada antara itu ada seorang orang besar, terlebih mulianya dan terlebih besar mertabatnya daripada yang lain. Maka berkata ia kepada fakir, “Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, dan boleh diingatkan oleh segala mereka itu. Dan adalah beroleh faedah ia daripadanya.

Cuma Pedang tertarik sangat pendapat seorang tokoh akademik iaitu Datuk Dr Zainal Kling dalam Wacana Bahasa Melayu Wasiat Keenam Raja-Raja Melayu, semalam. Kata beliau, rakyat Malaysia yang tidak tahu berbahasa Melayu sepatutnya mendapat kad pengenalan merah atau kerakyatan sementara, sehingga mereka tahu berbahasa Melayu.

“Sebelum mendapat kad pengenalan, kalau dia tidak tahu berbahasa Melayu iaitu bahasa negaranya, jangan bagi kad pengenalan biru. Sebaliknya, bagi kad merah kalau mereka tidak tahu bahasa Melayu,” kata beliau.

Memang patut pun langkah sedemikian diambil. Lainlah orang Melayu. Dah nama pun bangsa Melayu, sudah tentulah boleh bertutur Melayu dengan fasih. Tapi belum tentu faham kalau disebut:

Setelah itu maka titah baginda yang maha mulia, junjungkan ke atas jemala fakir, demikian titah yang maha mulia: ‘Bahwa hamba pinta perbuatkan hikayat pada tuan, peri peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya boleh diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita ini, serta dikurnia dengan sejarahnya’.

Pedang rasa apa yang dimaksudkan oleh Datuk Zainal Kling tu sebenarnya kaum selain daripada bangsa Melayu, terutama yang sekarang ini sedang menunggu untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia. Sejak merdeka, kaum paling ramai mendapat kerakyatan Malaysia ialah Cina dari China.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), sejak merdeka hingga 31 Januari tahun lalu, 688,766 kerakyatan Malaysia diberikan, dengan China memegang rekot tertinggi iaitu 69,904 penerima Sijil Warganegara, diikuti Indonesia (38,024) dan India (19,301).

Sebab itu, dalam wacana berkenaan Zainal turut mengingatkan kerajaan supaya bersiap sedia menghadapi kedatangan warga asing yang membeli rumah di negara ini.

“Ini sangat penting difahami kerana Kuala Lumpur akan menerima banyak penghuni dari luar negara sebagai pembeli rumah dalam bandar Malaysia. Ratusan ribu orang asing juga akan membeli rumah dalam bandar Diraja di Johor.

“Bayangkan selepas 15 tahun atau anak-anak mereka yang lahir di sini akan mendapat status penduduk tetap atau ‘PR’ tanpa menguasai bahasa Melayu. Suatu hari nanti mereka akan dapat kerakyatan pula, maka kita harus mula dari sekarang,” kata beliau.

Kegagalan kaum Cina menguasai bahasa Melayu dengan baik turut mengecewakan pakar bahasa, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong yang menyifatkan sesuatu yang malang bagi Malaysia apabila memiliki warganegara yang tidak fasih, bahkan ada yang langsung tidak tahu berbahasa Melayu.

Beliau mempersoalkan erti kerakyatan pihak yang langsung tidak tahu berbahasa Melayu, terutamanya belia Cina.

“Kita dapat lihat pada hari ini orang bukan Melayu, belia Cina misalnya yang tidak fasih berbahasa Melayu sedangkan itu bahasa negara. Jadi bagi saya, malang sekalilah, (mereka adalah) warganegara, tapi tak tahu bahasa negara, jadi saya selalu bercakap isunya di mana erti kerakyatan? Ini sesuatu yang malang,” katanya.

Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Pheng Yin Huah, pula mendedahkan ada sekurang-kurangnya 100,000 kaum Cina yang menjadi penduduk tetap di Malaysia belum lagi memperoleh kewarganegaraan.

Oleh itu, Pedang rasa lebih baik syarat pemberian taraf kerakyatan, kewarganegaraan kepada orang asing itu diperketatkan, terutama memastikan mereka fasih berbahasa Melayu. Bukan lagi hanya “mempunyai pengetahuan memadai dalam bahasa Melayu” sebagaimana yang disebut dalam Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kedaulatan negara bukan saja terletak kepada tanah, tetapi juga bahasa Melayu!

Kata Pedang: Orang Cina di Tanah Besar bukan lagi mahu menjadikan ‘Malaysia sebagai rumah kedua’ tetapi ‘Malaysia sebagai negara kedua’.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Belia Cina tak reti berbahasa Melayu, di mana erti kerakyatan?

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment