a
Terkini
14/12/2017, 2:56 am

Lelaki ini kongsi pengalaman sambut kelahiran anak pertama dalam Myvi

Oleh Nor Aizat Rahimi Rostam Rahimi

PENGALAMAN menjadi ‘pak bidan’ kepada anak sulung sendiri memang sebuah pengalaman yang sukar dilupakan dan sukar untuk diulangi (harap lain kali sempat minta doktor tolong sambut).

Pada 17 Disember lepas, kurang seminggu daripada tarikh yang sepatutnya, isteri saya, Khadijah Afifah A S selamat melahirkan putera sulung kami, Anas Malek di dalam sebuah kereta Perodua Myvi kepunyaan seorang insan budiman, seorang penyelamat (memang kerjanya sebagai ahli bomba), “abang bomba i’m really luv you.”

Pada jam kira-kira menghampiri jam 4 petang, setelah melepasi Tol Seremban, isteri saya mula terasa ‘contraction‘ (sakit nak bersalin). Dalam keadaan itu, saya memecut laju kereta dengan tujuan untuk menuju ke hospital berhampiran yang sesuai dengan keadaan isteri saya iaitu Hospital Serdang.

Dalam kereta, tanpa kami sedar (kami tiada pengalaman, ingatkan ‘contraction‘ biasa), air ketuban isteri telah pecah (hanya sedar lepas lakukan post-mortem malam tu, masa kejadian ingatkan terlepas air besar). Kami hanya mengingat ini adalah situasi normal bagi ibu yang baru bermula ‘contraction‘ yang selalunya berlanjutan berjam-jam.

Dalam keadaan cemas itu, saya memecut laju. Secara tiba-tiba, terasa sesuatu tersangkut pada tayar kereta saya. Selepas memperlahankan kelajuan kereta dan ke tepi, tayar kereta saya meletup dan pecah. Ya, pecah dalam keadaan sedang kecemasan menuju ke hospital.

Saya berhenti di tepi jalan, melambai tangan meminta bantuan di kala sang isteri sedang kesakitan di dalam kereta. Selepas 4-5 buah kenderaan berlalu begitu sahaja, sebuah kereta Perodua Myvi berhenti dan kami bergegas menumpang kenderaannya.

Dalam kereta, saya sempat berkenalan. Beliau merupakan seorang ahli bomba yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Dalam perjalanan itu, isteri saya kembali mengeluh kesakitan. Saya yang duduk di sebelahnya memujuknya untuk bersabar. Dipendekkan cerita, dalam keadaan itu, saya ternampak rambut bayi sudah mula keluar dari salur peranakan dan saya tidak memberitahu isteri. Secara tiba-tiba, kerana tidak tahan dengan ‘contraction‘ itu, isteri meneran dan terus meluncur keluar seorang bayi lelaki yang pantas disambut oleh saya.

Perjalanan seterusnya yang memakan masa 15-20 minit dalam hujan renyai dan kesesakan dirasakan seakan berjam-jam lamanya.

Dipendekkan cerita lagi, akhirnya kami selamat sampai di Wad Kecemasan Hospital Serdang dan kedua-dua ibu dan bayi selamat diuruskan oleh doktor-doktor di sana.

Sekalung ucapan terima kasih diucapkan buat abang bomba, Fadzli Linda. Semoga Allah SWT mengganjari sebaiknya dan mengabulkan doa abang dan isteri Linda Fadzli. Tanpa mengambil sebarang upah (bukan upah sebab tolong, tapi untuk cuci balik ‘seat‘ kereta tu), budi dan jasa abang memang takkan dilupakan.

Terima kasih juga buat pihak PLUS yang memberi tol percuma kepada kami (sebab tak jumpa kad TnG di mana masa kelam kabut tu). Haha.

Juga pada pihak Hospital Serdang yang cekap menguruskan situasi dengan baik. Doktor dan staf yang dedikasi, dan bijak menguruskan keadaan serta situasi cemas (pada perasaan saya) ketika itu.

Dan tak ketinggalan ikhwah akhawat yang membantu ketika situasi itu, al akh Muhammad Faisal Kamarul Zaman dan isteri yang menyelamatkan kereta saya, Ustaz Suhail Sufian dan isteri yang meminjamkan kami kelengkapan, ikhwah bujang Bangi (Asyraf Farique, Luqman Abd Hamid dan lain-lain) yang berikan tempat menumpang malam tu sekejap, Dr Aiman Zainal atas nasihat kedoktoran yang diberi, dan semua lain yang mendoakan.

Moga Allah SWT merahmati semuanya. Dan kami memohon doa daripada semua semoga keluarga kecil kami ini sentiasa dalam keredaan Allah SWT.

#wu

Artikel ini telah disiarkan lebih awal di Facebook Aizat Rahimi.

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment