a
Terkini
20/01/2018, 3:18 pm

SPRM guna akta cukai banteras rasuah

CYBERJAYA, 11 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggunakan Akta Percukaian Negara bagi memperkukuh usaha membanteras golongan perasuah, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Inisiatif terbaharu memerangi rasuah dan salah guna kuasa itu terhasil melalui perjanjian antara SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dimeterai melalui Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di sini hari ini.

Beliau berkata, penggunaan akta tersebut akan memastikan perasuah tidak sewenang-wenangnya merasa bebas apabila Akta SPRM dan Akta Penggubahan Wang Haram yang digunakan suruhanjaya itu ketika ini gagal bertindak ke atas mereka.

“Golongan perasuah beranggapan mereka tidak perlu mengisytihar pendapatan kepada SPRM tetapi mungkin lupa perkara itu tidak boleh berlaku jika babitkan LHDN.

“Mereka kena ingat LHDN tidak mengira daripada mana sumber itu diperoleh sama ada secara halal atau haram…jadi, hasil dari rasuah juga dikira sebagai hasil yang perlu dicukaikan,” katanya ketika berucap sebelum menyaksikan majlis menandatangi ikrar tersebut di ibu pejabat LHDN di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah.

Dzulkifli berkata, penggunaan ketiga-tiga akta tersebut diyakini akan membantu serta memperkasa usaha SPRM membanteras rasuah, sekaligus satu amaran kepada golongan perasuah bahawa mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Mengenai ikrar yang ditandatangi, beliau berkata, selain mencatat sejarah sebagai agensi kerajaan pertama menandatangi IBR, ia juga akan memastikan kedua-dua agensi dapat bekerjasama lebih rapat dalam membanteras rasuah dan berkongsi maklumat mengenai kes yang sedang disiasat.

Dzulkifli berkata, langkah kepimpinan LHDN dan warganya menandatangani IBR memperlihatkan keikhlasan, komitmen dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas rasuah. – Bernama

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment