a
Terkini
12/12/2017, 9:58 pm

KATA PEDANG: Mohd Faiz harumkan nama Malaysia, siapa yang ‘busukkan’ negara?

AKHIRNYA, ada juga anak berbangsa Melayu Malaysia mengharumkan nama negara dalam dunia bola sepak antarabangsa. Dinobatkan sebagai penjaring gol tercantik dunia sepanjang 2016, Mohd Faiz Subri mengungguli Anugerah Puskas FIFA 2016, yang berlangsung di Zurich, Switzerland, awal pagi tadi.

Sebelum ini, anak-anak Cina telah mengharumkan nama Malaysia dalam dunia badminton. Namun, tiada rakyat Malaysia yang mampu bersaing merebut anugerah antarabangsa di padang bola.

Pedang bersama jutaan rakyat Malaysia turut ucap tahniah di atas anugerah yang diterima oleh Mohd Faiz. Bukan senang untuk menggenggam anugerah yang menjadi rebutan pemain bola profesional di seluruh dunia.

Jaringan Mohd Faiz ketika Pulau Pinang menentang Pahang, bersaing dengan sembilan lagi penjaring terhebat dunia iaitu Daniuska Rodriguez dari Venezuela; Johnath Marlone (Brazil); Mario Gaspar (Sepanyol); Hlompho Kana (Afrika Selatan); Lionel Messi (Argentina); Neymar (Brazil); Saul (Sepanyol); Hal Robson-Kanu (Wales) dan Simon Skrabb (Finland).

Pada peringkat akhir Mohd Faiz terpilih sebagai antara tiga penjaring gol tercantik dan terbaik, sebelum mengetepikan Rodrigue dan Marlone.

Puskas FIFA mula diperkenalkan pada 20 Oktober 2009 untuk dianugerahkan kepada pemain bola sama ada lelaki atau wanita, yang melakukan jaringan paling cantik dalam aksi yang diiktiraf FIFA setiap tahun. Ia dinamakan Anugerah Puskas sempena nama penyerang Real Madrid pada lewat 1950 berasal dari Hungary, Ferenc Puskas.

Walaupun, ada sesetengah pihak yang terkilan kerana Mohd Faiz tidak berucap dalam bahasa Melayu selepas menerima anugerah itu, Pedang menerima alasan yang diberikan oleh pemain Pulau Pinang itu. Pihak penganjur tidak membenarkan beliau berucap dalam bahasa Melayu.

Begitu juga apabila beliau tidak berbusana Melayu kerana cuaca sejuk menghalang.

Apa yang Pedang perhatikan sekarang ini ialah bidang sukan mampu mengikat silaturahim antara kaum, walaupun bermusim.

Buktinya, ketika anak-anak Cina Malaysia bertempur di gelanggang badminton. Seluruh Malaysia tanpa mengira kaum memberi sokongan. Begitu juga ketika Mohd Faiz dicalonkan sebagai penerima Puskas FIFA.

Komen dan undian diterimanya bukan hanya daripada anak bangsa Melayu, namun merangkumi semua kaum di Malaysia, hatta di seluruh dunia.

Pedang berharap, perpaduan ini tidak bermusim. Pedang juga berharap tiada pihak, terutama parti politik seperti MCA, MIC, Gerakan, DAP atau persatuan kaum memainkan isu undang-undang Islam, sehingga boleh memecahbelahkan kaum.

Parti-parti politik dan pertubuhan inilah yang menentang keras usaha memperkukuh dan memartabatkan undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah, menyebabkan umat Islam marah dan benci kepada kaum mereka. Sedangkan, penguatkuasaan undang-undang Islam itu langsung tidak membabitkan orang kafir.

Tahniah juga Pedang ucapkan kepada Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, yang berjaya mendaftar Kelab Bolasepak Isma (Isma FC) dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Semoga, akan lahir bakat-bakat terpendam.

Kata Pedang: Dalam laman sosial sudah ada pihak yang mengemukakan persoalan antara Mohd Faiz Subri dan Mohd Najib Razak, siapa yang mengharumkan nama negara.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

Comments
  • Sepertimana orang Melayu memenuhi stadium ketika perlawanan Badminton yang diwakili oleh anak muda Cina diharap orang Cina juga memenuhi stadium ketika Pasukan Bolesepak Kebangsaan beraksi.

    10/01/2017
  • Pedang,

    Sukan berjaya memupuk perpaduan. Kenapa sebut tentang syariah? Tak puas hati sebab syariah tak disambut dengan hati terbuka oleh orang bukan islam? Terimalah hakikat bahawa undang2 syariah yang semestinya ditentang MCA, MIC dll tidak dapat menyatukan rakyat pelbagai agama. Tiada jaminan pun yang syariah takkan melibatkan orang bukan islam.

    Jangan salah faham; saya bukan tak sokong syariah, saya hanya rasa bahawa cubaan Pedang untuk samakan penyatuan dalam sukan dan usaha menegakkan syariah sebagai agak tidak kena pada tempatnya; sukan dan penerapan undang2 syariah adalah hal berbeza.

    11/01/2017

Leave A Comment