a
Terkini
14/12/2017, 9:19 pm

IPeguam selar matlamat kerjasama PH-PPBM

IPEGUAM memandang serius dan menyelar kerjasama di antara Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dimaktubkan dalam satu dokumen perjanjian yang ditandatangani pada 13 Disember 2016 yang lalu.

Kerjasama ini tidak lain dan tidak bukan merupakan satu bencana bagi masa depan dan kedudukan Islam di Malaysia bahkan ia tidak selari dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan khususnya Perkara 3 seperti yang didakwa dalam dokumen perjanjian tersebut.

Kandungan berkontroversi

IPeguam mempersoalkan satu petikan daripada dokumen perjanjian yang didapati bertujuan secara jelas atau tersirat berniat jahat dan bertujuan untuk melemahkan kedudukan Islam yang terkandung dalam Perlembagaan. Berikut adalah petikan tersebut:

“i. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan DAN agama-agama lain boleh diamalkan dengan BEBAS, aman dan damai di di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;”

IPeguam mengajak rakyat Malaysia untuk meneliti peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:

“Islam ialah agama bagi Persekutuan ; TETAPI agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman DAN damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Perbandingan petikan dan Perkara 3

Sekiranya dibandingkan dengan peruntukan Perkara 3 ini, ternyata terdapat dua perbezaan ketara yang sudah tentu membawa maksud yang berbeza dan perlu diberikan perhatian.

Pertama, petikan dokumen perjanjian tersebut telah menambah satu perkataan yang tidak terdapat dalam Perkara 3. Perkataan tersebut adalah ‘bebas’.

Kedua, petikan dokumen perjanjian tersebut telah menggantikan perkataan ‘tetapi’ yang termaktub dalam Perlembagaan dengan perkataan ‘dan’.

Perubahan-perubahan ini tidak boleh lari daripada kenyataan mahupun dakwaan bahawa kerjasama perjanjian PH dan PPBM ini bertujuan untuk membawa satu perjuangan dalam kerangka ‘kebebasan beragama’ yang berbeza daripada kerangka yang diamalkan sekarang.

Mengancam kedudukan Islam

Apakah kerangka tersebut? Kerangka tersebut adalah keutamaan dan keluasan pengaruh Islam di dalam Negara sepadan dengan peruntukan Perkara 3 yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan.

Kerangka ini turut diiktiraf dan disokong oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors yang memutuskan bahawa:

“Islam is not just a mere collection of dogmas and rituals but it is a complete way of life covering all fields of human activities, private or public, legal, political, economic, social, cultural, moral or judicial.”

Hasil daripada pengiktirafan ini, kedudukan disisi Perlembagaan diangkat menjadi satu agama yang boleh mempunyai pengaruh dalam segenap aspek kemasyarakatan dan kenegaraan di Malaysia, dan bukan terhad kepada amalan ‘ritual’ mahupun ‘ceremonial’ dalam kalangan umat Islam sahaja.

Kerangka kebebasan beragama di Malaysia ini seiring dengan maksud menjaga serta memelihara kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan yang harus diberikan keutamaan dan keistimewaan.

Penafian kesamarataan agama

Benar, Islam adalah agama bagi Persekutuan dan kedudukan serta pengiktirafan ini tidak boleh dilihat sebagai mencanangkan keperluan atau kefahaman untuk mencapai kesamarataan antara semua agama di Malaysia. Perkataan ‘tetapi’ membawa konotasi bahawa agama Islam adalah diutamakan, dijaga dan diberi keistimewaan berbanding dengan agama-agama lain.

Dalam erti kata mudah, agama Islam adalah satu keutamaan dan bersifat tunjang, namun selagi ia tidak menggugat kedudukan dan keistimewaan (ajaran, peraturan dan undang-undang) Islam, dan selagi ia tidak memprejudis umat Islam atau memurtadkan mereka, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Maksud ‘aman dan damai’

Apakah maksud ‘aman dan damai’ mengikut kerangka kebebasan beragama di sisi Perlembagaan? Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v. Menteri Dalam Negeri and Kerajaan Malaysia (The Herald) memutuskan bahawa:

[33] In short, Article 3(1) was a by-product of the social contract entered into by our founding fathers who collectively produced the Federal Constitution, which is recognized as the Supreme Law of the country. It is my judgment that the purpose and intention of the insertion of the words: “in peace and harmony” in Article 3(1) is to protect the sanctity of Islam as the religion of the country and also to insulate against any threat faced or any possible and probable threat to the religion of Islam. It is also my judgment that the most possible and probable threat to Islam, in the context of this country, is the propagation of other religion to the followers of Islam. That is the very reason as to why Article 11(4) of the Federal Constitution came into place.

IPeguam suka untuk memetik Perkara 11(1) yang memperuntukkan bahawa:

“11. (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.”
Berikut adalah Perkara 11(1) Fasal 4:

“(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”

Berdasarkan kedua-dua Fasal ini, ternyata bahawa kebebasan beragama terutamanya apabila ia melibatkan atau menggugat kedudukan Islam dan umat Islam, Islam dan umat Islam perlu diberikan keutamaan, keistimewaan dan perlindungan selayaknya menurut Perlembagaan.

Ini bermakna, penganut agama lain boleh mengamalkan agamanya namun mereka tidak boleh mengembangkan agama mereka kepada umat Islam. Larangan ini juga terpakai ke atas ajaran-ajaran tertentu yang diwartakan sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun Negeri.

Kebebasan beragama mutlak

Walaubagaimanapun, matlamat kerjasama yang dinukilkan dalam dokumen perjanjian tersebut dengan perubahan-perubahan berkontroversi itu sama sekali tidak mencerminkan pembawaan peruntukan, maksud dan semangat Perlembagaan yang seharusnya dipertahankan dan dihormati oleh parti-parti politik ini.

Dengan perkataan ‘bebas’ itu, mereka berhasrat untuk menanam ideologi sekularisme bagi menafikan kedudukan dan pengaruh Islam dalam aspek kemasyarakatan dan kenegaraan, juga fahaman pluralisme dan kebebasan beragama mutlak acuan liberal bagi memberi laluan kepada agenda Kristianisasi dan Syiah yang semakin bertapak di negara ini.

Tidak hairanlah sekiranya keputusan kes penggunaan kalimah Allah oleh makalah Kristian yang memihak kepada Islam bahkan mendukung aspirasi Perlembagaan dan serbuan pihak jabatan agama Islam terhadap penganut-penganut Syiah dikritik hebat oleh media dan pembangkang pro-liberal.

Tidak dilupakan juga hak beragama mengikut akal dan nafsu sendiri seperti yang diperjuangkan oleh puak ultra-liberal Melayu. Sehinggakan pada mereka, pihak jabatan agama Islam tidak boleh mencegah zina atau melakukan serbuan dan tangkapan khalwat. Bagi mereka, perlakuan dosa menurut agama Islam adalah tertakluk kepada individu semata-mata dan tidak boleh dihalang atas nama hak peribadi dan kebebasan beragama (mutlak).
Namun, seperti kata-kata Hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes The Herald:

“[36] … any freedom is not absolute. Freedom cannot be unfettered, otherwise like absolute power, it can lead to chaos and anarchy.”

Usaha mengubah Perlembagaan

Oleh yang demikian, IPeguam mengingatkan agar rakyat Malaysia peka dengan sebarang usaha dan fahaman untuk mengubah Perlembagaan, khususnya Perkara 3 yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ancaman ini turut dapat disaksikan melalui cadangan beberapa pihak yang mahu menambah ‘preamble’ kepada Perlembagaan Malaysia dengan ‘mission statement’ yang menjurus kearah mendukung fahaman liberalisme dan kebebasan mutlak dengan tujuan yang sama, iaitu antara lain melemahkan kedudukan Islam, menghapuskan keistimewaan orang Melayu dan menghakis kuasa Raja-Raja.

IPeguam mengutuk kerjasama perjanjian PH-PPBM yang bertujuan memperkenal dan menanam kerangka kebebasan beragama yang baharu dan bercanggah dengan peruntukan, maksud dan semangat Perlembagaan yang sedia ada sehingga boleh membuka laluan kepada perjuangan liberalisme, pluralisme dan sekularisme.

IPeguam juga ingin mengingatkan semua pihak khususnya pihak kerajaan dan semua anggota Parlimen (lebih-lebih lagi yang berugama Islam) supaya tidak tunduk atau sengaja menjadi penyebab kepada penularan wabak anti-Islam ke dalam batang tubuh Perlembagaan Malaysia atau menjadi pemudahcara kepada bertapaknya agenda COMANGO dan tuntutan-tuntutan IFC, Liberal, Syi’ah dan Evangelisma, yang benar-benar merupakan ancaman terbesar kepada umat Islam, keharmonian kaum dan kedaulatan undang-undang.

Keserakahan parti-parti politik untuk mendapat sokongan rakyat atau memenangkan agenda atau perjuangan politik masing-masing tidak boleh menjadi alasan untuk bereksperimen dengan Perlembagaan Malaysia sesuka hati mereka.

Mereka harus ingat bahawa rakyat melantik dan memberi mandat kepada mereka untuk menjadi wakil yang akan menjaga dan memelihara tunjang Perlembagaan, bukannya mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat demi muslihat politik masing-masing.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia agar bekerjasama membanteras dan menangkis anasir-anasir yang cuba mengubah lanskap kemasyarakatan di negara kita yang kaya dengan kepelbagaian agama dan budaya.

Rakyat juga berhak memuhasabah dan menghukum mana-mana pihak (termasuk parti-parti politik) yang berniat jahat untuk merosakkan atau mencabar kedaulatan Perlembagaan Malaysia.

Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
(IPeguam)

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

Comments
  • Semoga Allah selamatkan umat islam dari di rosakan oleh PH dan PPBM.

    15/01/2017
  • Amin.

    25/01/2017

Leave A Comment