Penduduk gesa kerajaan negeri jelas isu projek tambak laut di Bayan Bay


GEORGE TOWN, 1 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Lebih 1,000 penduduk sekitar Bayan Bay menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP memberi penjelasan berhubung kelulusan projek tambakan laut di kawasan itu sehingga mengganggu keselesaan penduduk.

Wakil penduduk, S. Geeta mendakwa kerja-kerja pembangunan projek tebus guna tanah di situ bukan sahaja menyebabkan pencemaran udara malah mengeluarkan bunyi bising sehingga meresahkan mereka setiap hari.

“Mereka (pemaju) memulakan kerja seawal 7 pagi sehingga lewat malam setiap hari dan penduduk tidak selesa dengan gangguan seperti bunyi bising dari tapak projek itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Geeta mendakwa projek itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di sekitar Jalan Sultan Ahmad Shah sehingga Jalan Aziz Ibrahim di sini, kerana penduduk terpaksa meletakkan kenderaan mereka secara berganda.

“Kami ‘berperang’ secara mental sejak projek ini bermula pada 2014 malah lebih serius apabila kerja-kerja penambakan laut ini mula digiatkan tahun lepas,” katanya.

Menurut Geeta, penduduk sudah menghantar beberapa surat bantahan antaranya kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), namun mendakwa tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Kami juga mempersoal sikap kerajaan negeri yang sering melaungkan slogan Pulau Pinang ke arah yang bersih, sihat, hijau dan selamat tetapi situasi ini (kerja penambakan laut) tidak melambangkan itu semua,” katanya.

Geeta berkata, penduduk berharap Ketua Menteri, Lim Guan Eng memandang serius masalah itu dan memberi penjelasan segera mengapa kerajaan negeri boleh meluluskan projek seumpama itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *