Memahami pentingnya menulis wasiat

KUALA LUMPUR, 1 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Kesedaran tentang pentingnya menulis wasiat masih rendah di kalangan masyarakat.

Ramai yang beranggapan mereka tidak perlu menyediakan wasiat kerana masih muda dan belum mempunyai aset yang cukup.

Walhal menurut Abdul Aziz Peru Mohamed, Presiden dan CEO as-Salihin Trustee Berhad, perancangan untuk pengagihan harta pusaka sepatutnya dimulakan sebaik sahaja seseorang individu itu mula bekerja.

“Semasa muda kita mengumpul kekayaan seperti rumah, dana dan macam-macam lagi. Kemudian kita akan lindungi harta itu dengan insurans dan sebagainya, tetapi sayangnya, ramai yang lupa bahagian terakhir, iaitu pengagihan harta selepas kematian.

“Mungkin terlupa yang kita sebenarnya tidak akan hidup selama-lamanya,” kata beliau.

PENGURUSAN HARTA PUSAKA

Abdul Aziz Peru menerangkan kepada Bernama lima langkah penting berkaitan pengurusan harta pusaka bagi yang beragama Islam. 

Pertama ialah urusan pengkebumian; iaitu waris atau pihak yang bertanggungjawab terhadap urusan itu berhak mendapatkan ganti perbelanjaan yang telah mereka keluarkan.

Kedua ialah melangsaikan hutang-piutang si mati, yakni terbahagi pada hutang dunia dan hutang akhirat.

“Hutang dunia ialah hutang pada individu atau organisasi seperti cukai dan  pinjaman bank, manakala hutang akhirat adalah seperti zakat dan fidyah puasa,” jelas beliau.

Langkah ketiga ialah memastikan jika si mati ada mewasiatkan satu pertiga daripada hartanya untuk mana-mana pihak.

“Ini kerana mengikut hukum, hanya dua pertiga daripada harta si mati yang diwajibkan untuk agihan mengikut faraid.

“Sebagai contoh jika arwah ada berwasiat satu pertiga hartanya kepada anak angkat atau diwakafkan untuk badan kebajikan, maka pentadbir perlulah memastikan hasrat itu dilaksanakan,” katanya.

Keempat, ialah menyelesaikan tuntutan harta sepencarian pasangan, dan kemudian, iaitu langkah kelima, barulah baki harta diagihkan pada waris yang berhak.

MELANTIK WASI

Bagi memastikan proses itu dituruti dengan penuh amanah, Abdul Aziz Peru menekankan pentingnya melantik wasi atau pentadbir wasiat.

“Tanggungjawab wasi bukan untuk pengagihan harta sahaja, tetapi juga memastikan lima proses tadi terlaksana.

“Kedengaran seperti mudah tetapi sebenarnya banyak cabaran,” tegas beliau.

Sebagai pihak yang telah menguruskan banyak wasiat dan harta pusaka, Abdul Aziz Peru telah bertemu pelbagai ragam manusia.

Dedah beliau, perbalahan yang berlaku di kalangan waris selalunya terjadi akibat kurang ilmu pengetahuan tentang pengagihan harta pusaka khususnya yang  mengikut shariat Islam.  Antara ialah kekeliruan tentang faraid.

Jelasnya, faraid adalah kiraan pengagihan yang telah dimaktubkan oleh Al-Quran.

Namun jika para waris sama-sama bersetuju untuk mengikut wasiat si mati atau berpakat sesama mereka untuk pengagihan yang sama rata, maka tidak perlu lagi pada kiraan faraid.

“Tetapi jika ada perbalahan, ada yang tidak bersetuju, maka hukum yang akan digunakan ialah hukum faraid tadi,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 75 hingga 80 peratus daripada kes yang pernah diuruskan pihaknya, keluarga atau waris akan menurut apa yang telah diwasiatkan oleh si mati.

“Apabila kita bacakan pesanan si arwah, seolah-olah suara si arwah itu ada dalam kita dan kita boleh rasakan kesedihan ahli keluarga semasa mereka mendengar wasiat ayah mereka misalnya.

“Kadang-kadang surat itu bertulisan tangan, dikepilkan di tepi, diasingkan daripada dokumen wasiat, itulah pesanan dan perasaan si arwah, minta anak-anak menjaga ibu mereka dan sebagainya,” cerita Abdul Aziz Peru.

Tambahnya lagi usaha mendidik masyarakat khususnya umat Islam tentang proses pengagihan harta pusaka perlu dipergiat dan diteruskan.

PENAMBAHBAIKAN POLISI PENAMAAN KWSP

Dalam perkembangan berkaitan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan polisi penamaan baru yang akan berkuatkuasa pada 1 Jan 2017.

Bagi ahli beragama Islam, Borang Penamaan Baru (Borang KWSP 4) akan mula digunakan.

Borang itu akan menekankan peranan dan tanggungjawab ‘Penama’ sebagai pentadbir atau wasi bagi simpanan KWSP si mati dan bukannya pemilik mutlak. ‘Penama’ juga akan dikehendaki mengisi “Perakuan Penama/Penerima Simpanan Ahli Beragama Islam” semasa mengemukakan permohonanan pengeluaran kematian.

Perakuan itu bertujuan mengingatkan peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan wasi iaitu mengagihkan simpanan si mati kepada waris yang berhak mengikut undang-undang Islam.

Selain itu, pembatalan kuatkuasa penamaan bagi ahli beragama Islam  diperluaskan kepada penama yang belum mencapai umur 18 tahun ketika permohonan pengeluaran kematian dibuat, dan apabila penama, sebagai wasi, tidak membuat permohonan pengeluaran kematian dalam tempoh satu tahun daripada tarikh kematian ahli.

“Ini kerana tanggungjawab sebagai wasi hanya boleh dilaksanakan jika wasi berumur 18 tahun.

“Sementara tempoh satu tahun itu bertujuan mempercepatkan proses tuntutan pengeluaran simpanan ahli oleh waris yang berhak.”

Penambahbaikan lain, yang melibatkan semua ahli, termasuk penyelarasan bayaran pendahuluan bagi pengeluaran kematian yang dinaikkan daripada RM20,000 ke RM25,000 bergantung pada baki simpanan, serta saksi tidak lagi diperlukan semasa membuat penamaan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *