Awal sesi persekolahan untuk guru kenal murid: NUTP

Gambar hiasan

MELAKA, 1 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Awal sesi persekolahan yang akan berlangsung beberapa hari sahaja lagi perlu dijadikan tempoh para guru mengenal murid mereka, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak.

Beliau berkata, mereka sepatutnya tidak dibebankan dengan tugas misalnya memasukan data-data.

“Bulan pertama merupakan bulan transisi guru dan murid hendak berkenalan. Tapi murid belum sempat kenal guru, guru sudah hilang kerana hendak ‘key in’ data pula, guru terpaksa tinggalkan kelas pula,” katanya.

Kamarozaman berkata, NUTP mahukan supaya jangan diganggu para guru dan sekolah pada bulan Januari agar guru lebih berada di dalam kelas.

Beliau berkata, NUTP memohon agar sebarang pengurusan pentadbiran sekolah terutama melibatkan memasukkan data berkaitan murid dilaksanakan pada penghujung bulan Januari.

NUTP juga turut meminta Jabatan Pendidikan Negeri agar tidak melaksanakan sebarang sistem atas talian yang menyebabkan kerja berulang untuk guru, katanya.

“Ini adalah antara faktor yang membuatkan tugas dan beban guru bertambah.

Berdasarkan pekeliling (sistem yang mahu dilaksanakan) perlu mendapatkan kelulusan daripada kementerian terlebih dahulu,” tambahnya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *