Berita Utama

Vernakular ‘modal’ ampuh politikus menangi peti undi

Pemimpin tidak pernah serius wujudkan sekolah satu aliran

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 7 Rabiulawal 1443H, Khamis – Vernakular merupakan senjata paling ampuh dalam kalangan politikus untuk memenangi hati pengundi setiap kali datangnya pilihan raya.

Atas faktor itu, usaha untuk menyaksikan wujudnya sekolah satu aliran di negara ini adalah tidak mudah atau pun mustahil untuk direalisasikan.

Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim menyifatkan, perbuatan berkenaan sebagai taktik kotor yang tidak memberi manfaat kepada perpaduan negara.

“Ini permainan kotor dan hanya retorik untuk menyatupadukan perpaduan, sedangkan semasa berkuasa mereka langsung tidak mahu jalankan tanggungjawab yang sebenar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain itu, katanya, sikap acuh tidak acuh pemimpin dalam memperjuangkan usaha penghapusan vernakular juga merupakan antara punca kegagalan selama ini.

Malah, dakwanya, pemimpin dilihat tiada niat untuk membentuk perpaduan menerusi sekolah satu aliran dengan membiarkan kaum Cina dan India membuat ‘hal’ sendiri.

“Saya tidak nampak pemimpin kita serius dalam menangani masalah sekolah vernakular hari ini, mereka hanya menganggap perkara ini adalah remeh.

“Hakikatnya kita tahu sistem pendidikan adalah platform untuk menyatu padu kaum namun sekiranya sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dibiarkan, keadaan ini menyebabkan mereka hanya mengenali ruang lingkup kaum mereka sahaja dan keadaan menyebabkan mereka semakin hilang semangat cintakan negara sendiri.

“Hal ini tidak baik dalam perpaduan kaum dan hanya merugikan kita semua sedangkan kita perlu harmoni dalam menjalani kehidupan walaupun memiliki pelbagai kaum,” katanya.

Sepatutnya tegas beliau, pemimpin perlu keberanian untuk mengubah sekolah vernakular kepada sistem pendidikan satu aliran.

“Menerusi sekolah satu aliran, kita yakin hubungan antara kaum semakin erat dan perpaduan boleh dibentuk,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ustaz Zamani menaruh harapan kepada pemimpin untuk mengubahnya demi kepentingan agenda perpaduan.

“Saya gesa supaya pemimpin hari lebih berani dan utamakan perpaduan kaum selain bertegas melakukan perubahan dengan menjadikan sistem pendidikan negara dengan satu aliran sahaja,” tegas beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button