Berita Utama

Gabungan NGO Melayu syor moratorium tanpa faedah semua pinjaman hingga 31 Disember

Lebih 41 NGO berharap BSH RM1,200 sebulan diberikan selama 6 bulan

BANGI, 5 Zulkaedah 1442H, Rabu – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam – diketuai Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) – menyokong cadangan melaksanakan serta-merta  moratorium automatik tanpa faedah atas semua pinjaman sehingga 31 Disember atau negara berjaya mencapai imuniti kelompok.

Gabungan yang dianggotai lebih 40 NGO itu turut mencadangkan supaya moratorium automatik diperluaskan skop merangkumi sektor peminjam berlesen dan penjualan secara kredit tanpa mengenakan sebarang caj tambahan, faedah, lesen perniagaan serta bayaran sewaan selama tempoh dikuatkuasakan.

Koordinator gabungan, Ahmad Yazid Othman berkata, selain syor moratorium, pihaknya juga mengemukakan beberapa cadangan lain bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara yang dibentang semalam, dapat membantu meringankan bebanan fiskal rakyat secara tuntas.

Beliau berkata, Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh enam bulan perlu diberikan kepada mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah.

“Bantuan ini seharusnya dapat dinikmati bersama oleh sektor ekonomi informal termasuk pertanian dan lain-lain.

“Pemberian subsidi upah untuk PMKS untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan tanpa potongan PERKESO,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, kerajaan juga dicadangkan mempertimbangkan penangguhan bayaran sewa kepada penyewa – jika premis terbabit menerima manfaat moratorium – dan tidak membenarkan pengusiran serta pengisytiharan muflis sekurang-kurangnya sehingga enam bulan selepas moratorium berakhir.

“Menggunakan kuasa-kuasa darurat untuk mengarahkan syarikat perbankan agar melonggarkan syarat-syarat kewangan mereka, khususnya dana yang disalurkan daripada kerajaan agar lebih ramai PMKS menerima bantuan serta kemudahan kredit.

“Bank Negara perlu pastikan KPI atau skala pematuhan yang berlainan khusus bagi menangani suasana ekonomi yang getir atau ketika fasa pemulihan berkuat kuasa,” katanya.

Gabungan itu turut meminta kerajaan memastikan semua dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat GLC, bank-bank dan pusat zakat dapat digunakan sebaiknya supaya tiada rakyat menderita sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sediakan dana ‘revolving fund’ atau dana pusingan sekurang-kurangnya RM8 bilion untuk pemulihan serta pembangunan PMKS Bumiputera yang akan dikendalikan secara bersama oleh Kementerian Kewangan (melalui TERAJU) dan NGO-NGO Ekonomi Melayu Perdana sebagai kejayaan pelaksanaan Tabung Pemulihan Usahawan 1984-1986 bagi menangani krisis ekonomi.

“Perkenalkan juga Waktu Anjal Bekerja (WAB) dan dimasukkan ke dalam Akta Pekerja 1950 untuk mengurangkan kesesakan waktu kerja dalam membendung penularan wabak COVID-19 berbanding memendekkan waktu perniagaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button