Berita Utama

Laksana semula moratorium automatik boleh bantu ekonomi terus ‘bertahan’

‘Banyak syarikat terkontang-kanting, jalan mudah terpaksa tutup premis’

BANGI, 13 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Kerajaan perlu melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman secara automatik selama enam bulan, seperti dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, perkara itu penting kerana ia mampu membantu sektor ekonomi untuk terus bertahan, selain mengurangkan kadar pembuangan pekerja secara besar-besaran.

Katanya, meskipun moratorium ketika ini masih berjalan, tetapi pelaksanaannya tidak menyeluruh.

Sebaliknya, ia hanya dikhususkan kepada individu yang benar-benar terkesan dengan keadaan ekonomi semasa sahaja.

Jelasnya, para peminjam yang terjejas akibat wabak COVID-19 boleh memohon secara terus kepada pihak bank untuk menyusun semula dan menangguhkan bayaran hutang mereka.

“Pada saya, ia mengambil masa dan menimbulkan banyak kerenah birokrasi kerana kita tahu para peminjam sama ada korporat atau individu memang amat terjejas dengan keadaan sekarang.

“Cuba bayangkan kalau masing-masing terpaksa jumpa bank, buat temu janji, buat kertas kerja dan perlu kemukakan bukti. Saya rasa tindakan ini sukar untuk dilakukan dan kurang produktif,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Shamsuddin berkata, MEF sebelum ini pernah mencadangkan kepada kerajaan supaya melanjutkan pelaksanaan moratorium yang tamat tempoh enam bulan.

Tetapi, katanya, kerajaan telah memperkenalkan moratorium secara bersasar.

“Kalau moratorium tidak diberi secara keseluruhan, banyak syarikat akan terkontang-kanting dan kemungkinan besar mengambil jalan mudah seperti mengurangkan pekerja atau menutup syarikat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button