Mengapa Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab?

bahasa-arab-bahasa-alquran
APABILA
kita membaca Al-Quran, kita akan mendapati banyak ayat yang menceritakan perihal penurunan kitab suci ini dalam Bahasa Arab.

Sudah tentu terfikir di benak kita, mengapakah Bahasa Arab? Mengapa tidak bahasa lain di dunia?

Sebelum menjawab soalan ini, kita lihat dahulu beberapa ayat yang menceritakan Al-Quran itu diturunkan dalam Bahasa Arab.

1. Surah Yusuf, ayat 2
2. Surah An-Nahl, ayat 103
3. Surah As-Syuara’, ayat 192-195
4. Surah Taha, ayat 113
5. Surah Az-Zumar, ayat 27-28
6. Surah Fussilat, ayat 1-3
7. Surah As-Syura, ayat 7
8. Surah Az-Zukhruf, ayat 1-3

Kesemua ayat di atas secara kesimpulannya menerangkan bahawa Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab.

Ulama tafsir menjelaskan perkara ini dengan panjang lebar dan saya ringkaskan seperti berikut:

1. Meskipun Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab, ia tidak menafikan penurunannya untuk seluruh umat manusia di dunia ini. Risalah Islam tidak terhad hanya untuk bangsa Arab walaupun Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab.

2. Al-Quran memiliki kelebihan dan ciri-ciri yang tiada pada bahasa lain di dunia. Kehebatan Bahasa Arab terlalu banyak untuk dijelaskan antaranya dari segi susunan, huruf, balaghah dan sebagainya.

3. Kelebihan yang ada pada Bahasa Arab itu telah mensabitkan Kemukjizatan Al-Quran (I’jaz Al-Quran). Sebagai mukjizat yang Allah kurniakan kepada Nabi Muhammad, Allah telah mencabar bangsa Arab ketika itu untuk mencipta ayat membuat ayat yang boleh mengalahkan ayat suci Al-Quran tetapi mereka tidak mampu. Rujuk Surah Al-Baqarah, ayat 23 yang bermaksud:

Dan kalau kamu ada menaruh syak mengenai¬†apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu.”

4. Bahasa Arab adalah bahasa yang digunakan oleh bangsa Arab. Sudah tentulah mereka memahami bahasa Arab, tidak bahasa lain. Jika Al-Quran diturunkan dalam bahasa lain, bangsa Arab yang merupakan mad’u Nabi Muhammad ketika itu tidak akan memahaminya. Firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 4 bermaksud:

Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.”

Ada pula yang bertanya, mengapakah Allah memilih bangsa Arab untuk diutuskan Nabi dan diturunkan risalah Islam? Mengapa tidak bangsa Melayu atau bangsa lain di dunia?

Persoalan ini tidak mempunyai jawapan yang betul-betul tepat kerana ia berkait dengan kehendak dan pemilihan oleh Allah. Allah berhak dan mampu untuk menurunkan risalah ini kepada mana-mana bangsa di dunia.

Akan tetapi, dalam membahaskan perkara ini, ulama menulis beberapa hikmah di sebalik pemilihan bangsa Arab. Antaranya ialah:

1. Kita bertanya dahulu, pada ketika awal Islam diturunkan, bangsa manakah di dunia ini yang layak menerima risalah Islam dan memandu umat manusia ke jalan kebenaran?

Ketika itu, terdapat dua kuasa besar dunia iaitu Rum dan Parsi. Rum adalah penganut ajaran Kristian yang terseleweng. Parsi pula beragama Majusi yang menyembah api.

Bangsa lain pula seperti Yahudi menganut ajaran Nabi Musa yang juga telah terseleweng. Bangsa Yunani pula menyembah berhala.

Adakah bangsa-bangsa ini layak memimpin umat manusia berdasarkan ajaran Islam?

2. Semenanjung Tanah Arab ketika itu agak kurang terkesan dengan pengaruh ajaran-ajaran sesat yang dipegang oleh bangsa lain.

Begitu juga dari segi geografi, Tanah Arab berada di tengah-tengah dan kehidupan Arab adalah lebih dekat dengan fitrah manusia.

Jahiliyahnya bangsa Arab ketika itu dimaksudkan dengan jahil mengenal Tuhan di samping akhlak yang teruk tetapi tidak dinafikan terdapat unsur-unsur yang baik pada bangsa Arab.

Berbalik kepada persoalan, mengapakah bangsa Arab?

Secara mudahnya kita menjawab ia adalah pilihan dan ilmu Allah berdasarkan ciri-ciri yang ada pada bangsa Arab yang tiada pada bangsa lain.

Mohd Firdaus Salleh Hudin
Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS)

One thought on “Mengapa Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab?

  1. Mu-ham-mad Bin Ra-zak

    As-sa-la-mu-‘a-lai-kum! Se-bab Al – Qur-a-nul-ka-rim ia-lah ki-tab kum-pu-lan ha-sil wah-yu Al-lah s.w.t. ke-pa-da ar-wah Na-bi Mu-ham-mad s.a.w. Tak-bir! Al-la-hu-ak-bar! Al-la-hu-ak-bar! Al-la-hu-ak-bar! Was-sa-la-mu-‘a-lai-kum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *