Yang di-Pertuan Agong ada kuasa singkir PM, kata peguam

mohamed_haniff_khatri_abdulla_0611b

SHAH ALAM, Khamis – Peguam kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah salah untuk mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa menyingkir Perdana Menteri.

Mohammed Haniff Khatri Abdulla malah berkata, undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dengan jelasnya menyatakan, “kuasa melantik termasuk kuasa untuk menolak,”.

“Ada pihak mempersoal kuasa Agong terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak). Bagi saya, jawapannya ada dalam perlembagaan.

“Perkara 40 (2) (a) menyatakan Agong boleh bertindak menurut budi bicara dalam pelantikan Perdana Menteri. Ia tidak menyentuh soal kuasa memecat Perdana Menteri.

“Tetapi dalam Seksyen 29 Jadual ke-11, undang-undang bertulis menyatakan bagi individu atau pihak yang diberi kuasa membuat pelantikan ke mana-mana pejabat, kuasa yang sama hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk membuang kerja atau menggantung individu yang dilantik dan melantik orang lain buat sementara bagi menggantikan individu yang digantung sedemikian.

“Oleh itu, jawapannya ada di sana, tetapi kita tidak melihatnya. Apabila kita tidak melihatnya, maka kita tidak akan tahu,” kata pakar undang-undang itu dalam satu forum yang diadakan di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan Barisan Nasional (BN) yang menolak percubaan pergerakan Selamatkan Malaysia melibatkan yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk menjatuhkan Najib.

BN berkata, Agong tidak mempunyai kuasa menjatuhkan perdana menteri dan satu-satunya cara untuk menggulingkan “pemimpin yang dipilih secara demokrasi dan menerusi kerajaan” adalah pilihan raya umum.

“Ia salah. Lagipun, Perkara 43 (6) Jadual 6 memerlukan seorang Perdana Menteri mengangkat sumpah untuk menegakkan, melindungi dan mempertahankan perlembagaan,” katanya.

Komen tersebut timbul selepas pertemuan Dr Mahathir dengan Agong pada 15 September lalu di mana beliau dilapor menyerahkan set kedua dokumen Deklarasi Rakyat yang mengandungi 1.4 juta tandatangan menuntut penyingkiran Najib.

Najib kemudian mendakwa Agong memberitahu Dr Mahathir tiada apa yang boleh dilakukan menerusi perisytiharan itu yang “tidak mengikut perlembagaan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *