RUU 355: MUIS sokong seruan Mufti Wilayah Persekutuan

muis sokong seruan mufti wilayah
1. Majlis Ulama ISMA (MUIS) berpendirian menyokong sepenuhnya akan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutan, SS Dato’ Dr Zulkifli al-Bakri bahawa cadangan pindaan Akta 355 hendaklah disokong oleh seluruh Ahli Parlimen sama ada muslim atau pun tidak.

2. Pendirian ini bukanlah baharu, MUIS sendiri pernah mengeluarkan kenyataan menyokong pindaan tersebut serta kewajipan Ahli Parlimen Muslim menyokong pindaan itu sejak bulan Jun yang lepas iaitu beberapa hari selepas cadangan itu diusul oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat. Baca: http://muis.org.my/2016/06/muis-menyokong-rang-undang-undang-ruu-mahkamah-syariah-bidang-kuasa-jenayahpindaan2016/

3. Perlu difahami di sini, cadangan pindaan Akta 355 adalah satu perkara yang jelas dan mudah difahami iaitu ia berkait pemerkasaan bidangkuasa Mahkamah Syariah dan bukanlah perincian secara mendalam mengenai hukuman dan lain-lain. Ini kerana penentuan bentuk hukuman akan sesuatu kesalahan jenayah syariah adalah di bawah kuasa Dewan Undangan Negeri bukan Dewan Rakyat. Maka pindaan ini hanyalah sekadar memungkinkan perluasan bidangkuasa, ia adalah mudah dan jelas melainkan kepada mereka yang terus mencari alasan untuk menolak.

4. Boleh jadi, atas sebab kejelasan di dalam pindaan inilah Mufti Wilayah mengeluarkan kenyataan bahawa semua umat Islam khususnya Ahli Parlimen perlu menyokong pindaan ini walaupun belum dibentangkan di Dewan Rakyat. Kerana ia tidak terlalu teknikal, dan tidak terlalu payah untuk difahami.

5. Pihak MUIS berasa hairan dengan tindakan Naib Presiden parti Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang begitu cepat memperlekehkan pandangan yang dikeluarkan oleh SS Mufti dengan alasan ia masih belum dibincangkan dan belum melalui proses legislatif seperti yang diperuntukan di dalam Perlembagaan, tetapi dalam masa yang sama tidak pula menempelak mereka yang menolak cadangan pindaan ini sebelum ia dibentangkan di Parlimen. 

Sepatutnya beliau menjadikan saranan dan hujah-hujah SS Mufti tersebut sebagai landasan untuk beliau berhujah menyokong pindaan tersebut nanti apabila ia melalui proses legislatif yang berkaitan. Begitu juga, kelemahan di dalam pelaksanaan undang-undang Islam yang ada bukanlah alasan kukuh untuk menolak cadangan pindaan ini. Sebaliknya bersifat proaktiflah dengan memberikan cadangan-cadangan membina yang perlu dibuat untuk memperbaiki apa juga kelemahan yang ada. Berpolitiklah, antara lain untuk kepentingan Islam dan umatnya di bumi Malaysia. Bukan semuanya dilihat daripada kaca mata blok politik semata-mata.

6. Akhirnya, sekali lagi pihak MUIS menyeru umat Islam, terutama Ahli-Ahli parlimen Muslim untuk mengundi menyokong cadangan pindaan tersebut di Parlimen kelak. Semoga pengamalan agama Islam akan lebih subur di bumi Malaysia ini.

Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

2 thoughts on “RUU 355: MUIS sokong seruan Mufti Wilayah Persekutuan

  1. Awang Zakaria Jahar

    Setakat ini, dah 2 orang Islam yg. begitu takut dengan RUU 355 ni……. 1 Mujahid ( Serbannya Besar ) & 1 lagi Siti ( Rambutnya warna coklat ).
    Maka terkapai kapai lah orang bukan Islam mencari keBENARan.
    Kasian ……… orang bukan Islam.

  2. Mu-ham-mad Bin Ra-zak!

    As-sa-la-mu-‘a-lai-kum! Yang ta-ku pa-da RUU 355 yang tak ta-kut pa-da Al-lah s.w.t Ta-kut-lah pa-da Al-lah s.w.t ke-ra-na dia-lah yang men-cip-ta-kan ka-mu. Was-sa-la-mu-‘a-lai-kum!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *