Malam Inspirasi Pejuang bangkit semangat patriotik negara

Pejuang 16x rgb

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, Rabu – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) sekali lagi menganjurkan Malam Inspirasi Pejuang 2016 sebagai menyuntik serta membangkitkan semangat patriotik rakyat untuk berjuang kepada negara dan umat.

Timbalan Pengarah program, Eqwan Roslan berkata, kebangkitan semangat ini dapat mengembalikan semula rakyat yang sentiasa berfikir apa yang terbaik untuk negara dan umatnya.

“Keluar daripada memikirkan hal peribadi semata-mata, yang akhirnya melahirkan usaha untuk bersama-sama membangunkan umat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.

Selain itu, beliau berkata objektif penganjuran kali kedua ini adalah untuk menyampaikan konsep kenegaraan Malaysia melalui kefahaman sejarah dan Perlembagaan selain menonjolkan pemikiran beberapa tokoh pejuang kemerdekaan berkenaan konsep kenegaraan.

Program anjuran bersama Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) itu dijadualkan berlangsung pada 24 September 2016 di IDCC Shah Alam.

Mengulas lanjut katanya, penganjuran kali ini bakal memberi suntikan kelainan berbanding tahun lalu dengan mengetengahkan beberapa tokoh baharu yang telah menyumbang ke arah pembentukan identiti tanah air.

“Tokoh-tokoh ini akan diketengahkan dari semasa ke semasa di Facebook Page ‘Inspirasi Pejuang’.

“Malah, VVIP yang akan hadir pada malam itu juga akan diumumkan kelak,” katanya.

Malam Inspirasi Pejuang 2015 telah mengenengahkan jasa bakti tokoh-tokoh silam yang telah melakar sumbangan untuk bangsa dan agama seperti Pendeta Zaaba, Dr Burhanuddin Al-Hilmy, Dato’ Onn Jaafar, Maarof Zakaria, Tan Sri Hajah Zainun Munshi Sulaiman (Ibu Zain) dan Tun Abdul Razak Hussein.

Ia juga turut dihadiri oleh beberapa tokoh kenamaan antaranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *