Hari Wanita Kebangsaan: Islam telah lama memuliakan kaum Hawa

wanita quran

Orang yang membaca sejarah Islam dan meneliti kedudukan wanita dalam syarak akan sedar betapa mulianya kaum hawa ini disisi Islam.

Namun para orientalis barat dan juga mereka yang tidak faham mengenai Islam mendakwa bahawa Islam merupakan agama yang kolot di mana ia telah memenjara serta mengikat kebebasan wanita dan wanita hanya disuruh berada di rumah sahaja.

Mereka tidak dibenarkan keluar daripada rumah melainkan untuk menziarahi kubur. Dakwaan ini sama sekali tidak berasas dan hanya bertunjangkan kepada akal mereka yang lemah dan dipenuhi najis kejahilan.

Gambaran asas akan kedudukan wanita digariskan oleh Al-Quran iaitu menjadikan lelaki dan wanita sebagai dua gandingan yang bersepakat dalam memikul tanggungjawab yang besar dalam kehidupan Islam iaitu urusan dalam menunaikan konsep ‘amar makruf nahi munkar‘ (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran).

Ini dapat dilihat melalui maksud ayat 71 surah at-Taubah : 

وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍ۬‌ۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥۤ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬ 

“Dan mereka yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka (adalah) menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf mencegah daripada yang munkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan rasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Dalam merealisasikan asas yang telah disebut dalam ayat tersebut maka telah tercatat dalam sejarah Islam di mana ada seorang wanita telah mengkritik pendapat Sayyidina Umar al-Khattab dalam masjid ketika beliau berucap atas minbar kepada orang ramai.

Kritikan wanita itu menyebabkan beliau telah menarik pendapat beliau mengenai penetapan kadar mas kahwin dan menerima kenyataan yang telah dikeluarkan oleh wanita tadi. Beliau selepas itu menyatakan kepada orang ramai : ” Telah benar wanita ini dan telah salah Umar!”.

Sabda Nabi S.A.W :  “Menuntut ilmu itu fardhu ke atas setiap muslim”. (Riwayat Ibnu Majah) 

Para ulama’ telah bersepakat bahawa maksud sebenar hadis di atas menjelaskan terminologi ‘muslim’ adalah turut merangkumi kaum perempuan sehingga perempuan juga diwajibkan membetulkan aqidah, cara beribadat memperelokkan akhlak dengan adab Islam pada pemakaian, perhiasan dan sebagainya agar tidak terkeluar daripada garisan Islam.

Kewajipan menuntut ilmu ini juga bertujuan untuk memastikan perempuan sentiasa berada dalam garisan Islam pada perkara halal dan haram, tanggungjawab dan kewajipan sehingga Islam membenarkan kaum wanita belajar sampai ke tahap mampu berijtihad.

Dalam fiqh ada disebut bahawa tidak boleh seorang suami melarang isterinya daripada menuntut ilmu yang wajib sekiranya dia sendiri tidak mampu untuk mengajar isterinya. Suami juga tidak boleh mengabaikan kewajipan menuntut ilmu terhadap isterinya.

Sesungguhnya para isteri para sahabat baginda sentiasa pergi bertemu dengan nabi untuk bertanya beberapa masalah yang timbul. Perasaan malu tidak menghalang mereka daripada memperdalamkan ilmu agama.

Manakala isu solat berjemaah tidak diwajibkan kepada kaum wanita walau pun ianya diwajibkan kepada lelaki juga adalah satu lambang kemulian kepada wanita, ini kerana solat perempuan di rumah lebih afdhal bersesuaian dengan keadaan mereka untuk elak daripada fitnah tetapi Islam juga menggariskan kaum lelaki tidak boleh melarang kaum wanita daripada datang solat berjemaah di masjid.

Ini diambil daripada sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Ibnu Umar yang bermaksud :  “Jangan kamu menegah orang menuju Allah ke masjid-masjid Allah”
   

keluarga islam

Dakwaan Islam mengurung wanita di dalam rumah juga tidak tepat kerana perempuan juga diharuskan keluar daripada rumahnya untuk menunaikan hajatnya sendiri atau pun hajat suami dan anaknya seperti keluar ke kebun, sawah dan juga  pasar.

Ini dapat diambil daripada kata-kata Asma’ binti Abu Bakar :  “Aku telah menjunjung tamar atas kepalaku dari tanah az-Zubair(suaminya) dan ia dari Madinah kira-kira satu pertiga farsakh ( kiraan lama )”.

Bahkan dalam urusan paling besar bagi sebuah negara Islam iaitu jihad, perempuan diharuskan keluar bersama-sama tentera dalam peperangan bagi menjalankan tugas merawat dan membantu mereka yang sakit dan cedera dan juga tugas yang seumpamanya yang sesuai dengan fitrah dan kemampuan mereka.

Imam Ahmad dan Bukhari telah meriwayatkan daripada ar-Rubai’ binti Mu’awwiz al-Ansariah telah berkata :  “Adalah kami berperang bersama Rasulullah S.A.W dalam memberi minum kepada kaum dan memberi khidmat serta membawa pulang mangsa yang terbunuh dan cedera ke Madinah “.

Diriwayatkan daripada imam Ahmad dan Muslim daripada Ummu ‘Atiyyah telah berkata : “Aku telah berperang bersama Rasulullah S.A.W sebanyak tujuh peperangan. Aku berada di belakang mereka dalam perjalanan, aku menyediakan bagi mereka makanan, aku merawat orang cedera dan aku mengerjakan masa diperlukan “.

Ini merupakan kerja-kerja yang sesuai dan bertepatan dengan fitrah perempuan dan tugas mereka. Manakala kerja mengangkat senjata dan berperang itu bukanlah daripada tugas kaum wanita melainkan jika tenaga mereka begitu diperlukan dalam keadaan tertentu.

Ketika ini barulah mereka dibenarkan untuk bersama dengan kaum lelaki dalam berperang menentang musuh setkat yang mereka mampu. Ini pernah berlaku dalam sejarah Islam yang mana pada suatu hari Ummu Salim telah mengambil pisau besar dalam peperangan Hunain.

Apabila suaminya Abu Talhah bertanya kepadanya maka dia menjawab :   “Aku mengambilnya adalah bertujuan jika ada sesiapa daripada musyrikin yang mara ke arahku nescaya aku akan tikam perutnya”.

Ummu ‘Amarah al-Ansariah pula telah ditimpa percubaan yang baik pada peperangan Uhud sehingga Rasulullah S.A.W memujimya.

Dalam peperangan dalam memerangi kaum yang murtad pada zaman Sayyidina Abu Bakar pula, dia telah menyaksikan serta menyertai peperangan itu sehingga matinya Musailamah al-Kazzab. Dia pulang dan ditubuhnya mempunyai sepuluh kesan luka akibat daripada peperangan itu.
   
Berkesinambungan daripada semua kisah ini dapatlah kita fahami bagaimana Islam tidak pernah menafikan hak wanita dalam bekerja,menuntut ilmu dan keluar dari rumah disebabkan menjalankan tugas yang sesuai dengan mereka.

Islam sejak daripada dahulu lagi tidak pernah memenjarakan wanita diceruk dapur dan menjadikan mereka sebagai perhiasan. Ini adalah kerana Islam melihat betapa pentingnya kebebasan selagi mana tidak bertentangan dengan syarak dan juga peranan wanita yang begitu penting dalam masyarakat terutama dalam membina generasi mendatang.

Hakikatnya Syarak bagitu memuliakan wanita hinggakan saat khutbah ketika Haji Wada iaitu nasihat dan wasiat utama sebelum Rasulullah saw wafat, Baginda masih menjadikan isu wanita sebagai antara intipati utama pada syariat Islam itu sendiri

اِتَّقُوا اللهَ فِـي النِّسَـاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوْهُنَّ بِأَمَـانَةِ اللهِ

“Bertakwalah kepada Allah dalam perihal wanita. Karena sesungguhnya kalian mengambil mereka dengan amanat Allah (Hadis Riwayat Muslim)

Wanita, Muliamu hanyalah dengan Islam!

Ustazah Hayati Zari
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *