Pengembaraan Michael Ruppert membawanya kepada Islam dan cinta

ruppet1

Gambar Bernama

Oleh Murni Nasri

KISAH pengembaraan Michael Ruppert, 29, sudah banyak direncanakan dan disiarkan oleh pelbagai akhbar, blog dan juga stesen televisyen sama ada di Malaysia atau Indonesia.

Pemuda yang memiliki dua kerakyatan ini (Belanda dan Belgium) telah mengembara ke 60 buah negara dalam masa empat tahun selepas beliau memulakan kembaranya.

“Selepas sekolah saya menyertai angkatan tentera Belanda selama hampir empat tahun, sebelum memasuki universiti. Saya sudah berusia 24 tahun apabila mengambil keputusan untuk menjadikan impian saya mengelilingi dunia satu kenyataan,” kata Ruppert melalui e-mel kepada Bernama Lifestyle and Youth, baru-baru ini.

Ruppert telah mengembara ke negara-negara di benua Eropah, Amerika Utara, Afrika dan Asia. Beliau juga sudah beberapa kali melawat Malaysia dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘pangkalan’ sebelum mengembara ke negara-negara Asia yang lain.

POSKAD DAN STARRING YOU

Ruppert turut berkongsi pengalaman beliau mengembara mengelilingi dunia dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui poskad yang beliau hantar sepanjang pengembaraan.

“Ada antara rakan-rakan kepada ahli keluarga dan sahabat saya yang saya tidak kenali juga mahukan poskad daripada saya. Ketika itulah saya mengambil keputusan untuk mewujudkan laman ‘Starring You’ di Facebook,” kata Ruppert.

Melalui Starring You, sesiapa sahaja yang berminat boleh menghantar nama dan alamat mereka kepadanya dan mereka kemudian akan ‘dikejutkan’ dengan kehadiran poskad yang Ruppert kirimkan dari negara yang beliau sedang lawati tanpa apa-apa bayaran.

Kebanyakan penerima poskad daripada Ruppert sangat berbesar hati dengan inisiatif yang beliau mulakan ini menyebabkan mereka turut memberikan sumbangan kepada beliau untuk terus mengembara.

“Kita sudah lupa perasaan teruja menerima kiriman yang dihantar oleh posmen. Poskad yang bertulis tangan dengan mesej peribadi yang dikirim oleh seseorang yang berada jauh di negara orang adalah sangat istimewa berbanding e-mel yang diterima kerana apabila sudah dibaca ia akan dipadamkan,” kata Ruppert.

PENGALAMAN PENGEMBARAAN DAN ISLAM

Ruppert sedia maklum yang tidak semua orang memiliki masa, wang ringgit dan peluang untuk mengembara dan beliau berharap dengan usahanya menghantar poskad dan berkongsi pengalaman pengembaraannya beliau dapat ‘membawa’ mereka sekali di dalam pengembaraan itu.

Natijah daripada pengembaraan beliau ini, Ruppert sering diundang oleh sekolah dan universiti untuk berkongsi pengalaman yang dikutip ketika berada di negara yang telah dikunjungi.

“Bagi saya, lokasi bukanlah sesuatu yang penting. Saya berjaya melihat dan menikmati keindahan pantai-pantai, bandar-bandar, hutan-hutan dan gunung-ganang di seluruh dunia tetapi yang menjadikan sesuatu pengembaraan itu tidak dapat dilupakan adalah orang-orangnya,” kongsi Ruppert.

Menurut Ruppert, jangka masa beliau berada di sesuatu lokasi sepanjang pengembaraan bergantung kepada orang yang beliau temui. Pada tahun ini beliau banyak menghabiskan masa (beberapa bulan) di Jakarta, Indonesia kerana beliau menemui ramai orang yang menarik di sini, katanya.

Ruppert yang baharu sahaja memeluk Islam mengakui sedang di dalam proses menyiapkan sebuah buku mengenai pengembaraannya mengelilingi dunia yang membawa beliau kepada Islam.

TERILHAM UNTUK MEMPELAJARI ISLAM

Ruppert tidak pernah tinggal di hotel ketika mengembara memandangkan beliau lebih suka menginap bersama keluarga tempatan di rumah mereka untuk beliau mengenali dan mempelajari adat dan adab mereka.

Ketika di Malaysia dan Indonesia, kebanyakan keluarga angkat Ruppert adalah keluarga Muslim yang mengamalkan cara hidup Islam.

“Mereka tidak pernah memaksa saya bertukar agama. Saya terinspirasi untuk belajar lebih lanjut mengenai Islam di masjid-masjid tempatan di Kuala Lumpur dan Jakarta setelah memerhatikan cara hidup mereka,” kata Ruppert.

Walaupun beliau telah mula mempelajari Islam, beliau masih belum ada niat untuk memeluk agama itu dan para guru yang mengajarnya menghormati keputusan itu.

“Selepas beberapa minggu belajar dan berbincang mengenai Islam, membaca al-Quran dan berlatih mendirikan solat, saya mula yakin yang memeluk Islam adalah perkara yang betul yang perlu saya lakukan di dalam hidup ini,” tambah Ruppert.

Ruppert mengakui yang beliau masih orang yang sama dan tidak perlu mengubah pemikiran atau bertukar kawan- kawan walaupun beliau telah menjadi seorang Muslim.

Beliau juga turut berkongsi pengalaman mendirikan solat lima kali sehari menjadikan beliau lebih fokus terhadap perkara-perkara yang penting di dalam hidup, di samping menjadi lebih tenang dan penuh tekad.

ruppet2

Gambar Bernama

INDONESIA, CINTA DAN PERANCANGAN STARRING YOU

Ketika ini Ruppert menjadikan Indonesia sebagai tempat tinggalnya memandangkan beliau mengakui sememangnya sudah jatuh cinta dengan negara Republik itu.

“Bukan itu sahaja, saya juga sudah jatuh hati terhadap seorang gadis Indonesia,” kata Ruppert.

Pengembara tegar ini juga sedang berusaha mempelajari bahasa Indonesia untuk memudahkan beliau berinteraksi dengan orang-orang tempatan.

Bercerita mengenai perancangan masa hadapan untuk beliau dan Starring You, Ruppert berkata: “Saya sangat bersemangat untuk mendalami Islam memandangkan saya baharu sahaja memeluk Islam setahun yang lalu.

Untuk Starring You pula, saya akan terus berkongsi pengalaman sebagai seorang pengembara dan mualaf. Setiap hari saya menerima banyak mesej bertanyakan tentang Islam. Mereka yang bukan Islam bertanya mengapa saya memeluk Islam dan yang beragama Islam pula mahu tahu tentang Islamofobia di Eropah dan Amerika Syarikat.

Sebagai orang Barat yang beragama Islam Ruppert berada di satu kedudukan yang istimewa dan mengharapkan beliau dapat menyumbang kepada interaksi yang lebih baik di antara orang Islam dengan bukan Islam serta merapatkan hubungan antara mereka melalui Starring You dan kisah pengembaraannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *