Masih tersisakah nikmat tarbiyah Ramadan?

faqih aqili
RAMADAN
hampir sebulan meninggalkan kita. Bulan yang sinonim dengan bulan Tarbiyyah. Dengan erti kata ia menjadikan diri kita mudah untuk melakukan amal. Berpuasa pada bulan Ramadan tidaklah terasa lapar dahaga berbanding tidak makan minum dalam bulan lain. Bacaan AlQuran pula terasa mudah, seolah-olah helaian mushaf terasa ringan untuk diselak dan dibaca. Bersedekah banyak seolah-olah tidak mengganggu bajet bulanan. Mulut pula terasa berat untuk berkata sia-sia, apalagi timbul rasa bersalah apabila berkata jahat.

Ia sebenarnya mungkin dapat dijelaskan dengan sebuah hadis yang menyebut “Apabila datang bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, manakala syaitan pula dirantai.” [HR Syaikhan].

Kita termotivasi melakukan kebaikan kerana terbukanya pintu syurga dalam bulan ini. Seolah-olahnya kita tertarik ke arah suasana kebaikan yang banyak. Ruang untuk melakukan kejahatan pula ditutup seolah-olah kita tidak langsung teringin melakukannya. Syaitan pula, menurut AlQadhi Iyadh, ditegah daripada mengganggu dan memperdaya orang yang beriman.

Cuma kita perlu tanya pada diri kita, adakah perubahan dalam Ramadan ini berjaya kita teruskan ke dalam bulan Syawal ini dan seterusnya? Tidak rasa bersalahkah kita pada prestasi puasa kita, maka janganlah ditinggalkan langsung, carilah masa untuk berpuasa enam. Tilawah, hafazan dan solat malam; jangan terus dilupakan, cuba untuk teruskan walaupun dengan kadar sedikit. Yang penting ialah konsisten dan istiqamah.

Begitu juga dengan ruang-ruang jahat yang wujud, tahanlah diri agar tidak mudah terjatuh lagi pada lubang yang sama. Teruslah tinggalkan dosa, baik bersifat peribadi atau menzalimi orang lain. Suasana buruk pula jangan didekati. Jika sebulan di masjid pun susah untuk dilazimi, jangan pula mencabar iman dengan konsert hiburan satu hari. Takut-takut tak sempat ketika Ramadan untuk hati basah dengan tarbiyyah, Syawalnya terus sengsara kekeringan dan kegersangan.

Cuma ada tips untuk kita teruskan istiqamah dengan tarbiyyah Ramadan ini. Ia sebenarnya boleh menjadi mudah apabila kita melazimkan diri menyertai program tarbiyyah seperti usrah. Sinonimlah dengan sifat Ramadan sebagai bulan tarbiyyah. Biasakan diri juga dengan majlis ilmu dan sahabat-sahabat yang baik. Isikan masa dengan perkara yang berfaedah. Mudah-mudahan dengan kelaziman ini menjadikan kita masih merasa nikmat tarbiyyah Ramadan, walaupun selepas beberapa bulan meninggalkan kita.

Perbandingan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi . Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi, atau engkau akan membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, mungkin (percikan apinya) mengenai pakaianmu, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak enak. [HR Syaikhan]

Faqih Aqili Ahmad Shuhaili
Timbalan Pengerusi Isma UK-Ireland

Artikel ini telah disiarkan di laman web rasmi Isma Eropah.

One thought on “Masih tersisakah nikmat tarbiyah Ramadan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *