TARBIYAH: Rebutlah peluang beribadah di 10 malam terakhir Ramadan

lailatul qadar

10 malam terakhir Ramadan bermula pada malam hari ke-21 dan berakhir setelah habisnya bulan sama ada lengkap 30 hari atau 29 hari.

10 malam ini mempunyai kelebihan yang tiada ada pada malam-malam lain.

Pada 10 malam ini, baginda Nabi SAW mengejutkan keluarga beribadah, dan pada 10 malam ini terdapat Malam Al-Qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Baginda Nabi SAW melipatgandakan amalan pada 10 malam ini dan amat menjaga setiap saatnya agar tidak terlepas daripada melakukan kebaikan.

Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Sayyidah Aisyah RA berkata, “Sesungguhnya Nabi ketika masuknya 10 akhir Ramadan mengetatkan pakaiannya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya.”

‘Mengetatkan pakaian’ adalah perumpamaan kepada tidak menggauli isteri manakala ‘menghidupkan malamnya’ bermaksud baginda memenuhkan masa malam itu dengan ibadah solat dan tilawah Al-Quran sehingga waktu sahur.

Oleh itu, adalah digalakkan bagi setiap muslim memanfaatkan kehadiran 10 malam terakhir Ramadan ini dengan kefahaman ibadah yang betul dan bersungguh-sungguh, begitu juga memfokuskan pensucian jiwa, membersihkan hati dan mengumpul bekalan kebaikan sebanyak mungkin.

Antara amalan yang boleh dilakukan pada 10 malam terakhir ialah:

1. Beriktikaf
Beriktikaf di masjid adalah satu amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada 10 malam terakhir Ramadan.

2. Tilawah Al-Quran
Ramadan adalah bulan diturunkan Al-Quran. Oleh itu digalakkan memperbanyakkan tilawah dan tadabbur. Baginda Nabi SAW saling mempelajari Al-Quran dan Jibril pada setiap hari di bulan Ramadan.

3. Bersedekah di jalan Allah
Digalakkan memperbanyakkan sedekah di jalan Allah. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah manusia yang paling dermawan dan baginda paling banyak menderma pada bulan Ramadan.

Kesimpulannya, ambillah manfaat sebaiknya daripada 10 akhir Ramadan ini. Selepas ini, kita belum tentu akan bertemu Ramadan yang berikutnya dan jika dipanjangkan umur, kita hanya akan bertemu Ramadan dalam tempoh setahun lagi.

Abu Nizar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *