TARBIYAH: Puasa adalah latihan melepaskan runtunan nafsu

ustaz-rushdan-abd-halim-yang-dipertua-isma-kuantan
PUASA ADALAH LATIHAN MELEPASKAN BEBANAN RUNTUNAN NAFSU UNTUK JIWA LEBIH TINGGI MENDEKATI PENCIPTA YANG MAHA TINGGI

Nafsu atau dalam bahasa Arabnya Al-Hawa الهوي membebankan seseorang apabila dia ingin memenuhi dan menuruti semua kehendaknya. Ia akan menghalang seseorang mukmin itu untuk sampai kepada ketinggian dan kemuncak keimanan. Dalam bahasa Arab, Hawa itu sendiri bermaksud rendah, dasar yang dalam yang akan membawa pemujanya ke lembah kehinaan.

Nafsu sentiasa menasihati seseorang supaya mengambil apa saja kelazatan untuk diri tanpa menghiraukan akibatnya. Bagi mereka yang menurutinya tanpa menimbang dengan akal yang waras akan terbeban dengan akibat perbuatannya yang menuruti nafsu tersebut. Seperti seorang yang suka dan merasa lazat dengan makanan manis dan berlemak maka dia akhirnya akan terbeban dengan penyakit yang disebabkan oleh berlebihan lemak dan gula di dalam badannya apabila dia menuruti nafsu makannya.

Begitulah juga bagi seseorang yang sukakan kuasa dan pengaruh. Dia akan terbeban dengan kuasa dan pengaruhnya apabila dia menuruti kelazatan nafsunya dalam mencari kuasa dan pengaruh tanpa dipandu oleh akalnya yang waras.

Al-Quran adalah kitab Hidayah daripada Pencipta membimbing akal dengan maklumat yang betul dan tepat mengenai kehidupan. Sama ada hidup di dunia atau hidup di Alam abadi. Setiap perbuatan atau tindakan diberitahu akibatnya sama ada baik atau buruknya, segala kelazatan itu ada akibatnya sama ada baik atau buruknya untuk kehidupan. Kehidupan di dunia atau kehidupan akhirat, kehidupan dalam lingkungan individu atau kehidupan bermasyarakat.

Nafsu yang terkawal oleh akal yang waras yang mendapat bimbingan hidayah al-Quran akan menjadikan seseorang memiliki jiwa yang bahagia kerana ia tidak terbeban dengan akibat buruk memenuhi runtunan nafsu.

Puasa apabila dilihat daripada sudut hikmahnya adalah untuk melatih nafsu supaya terkawal, latihan itu agak berat kerana tempoh sebulan penuh dan mengharamkan sesuatu yang dihalalkan pada bulan-bulan yang lain. Begitu juga tumpuan dalam latihan ini adalah daripada sudut makan minum dan seks yang merupakan perkara utama bagi nafsu dalam mendapat kelazatan hidup.

Apabila seseorang itu dapat mengawal nafsunya daripada dua sudut ini nescaya dia akan dapat mengawalnya daripada sudut-sudut yang lain.

Begitu juga apabila jiwa seseorang itu kuat dan dapat mengawal runtunan nafsunya maka lebih mudah dia menuruti arahan Tuhannya dan apabila dia menuruti arahan Tuhannya serta melakukan apa yang disukai oleh Allah maka dia akan lebih dekat kepada-Nya dan menjadi orang yang dikasihi-Nya.

Itulah kemuncak KETINGGIAN yang sepatutnya dicari oleh setiap Mukmin.

Ustaz Rushdan Abdul Halim
Ahli Jawatankuasa Pusat Isma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *