Pecutan akhir Ramadan dan pencarian Lailatulqadar

photo_2016-06-26_11-58-46

Alhamdulillah, sekarang kita sudah berada di dalam sepuluh hari dan malam terakhir Ramadhan, waktu dan saat yang ditungu-tunggu oleh pencinta kebaikan dan keampunan Allah SWT kerana terdapat satu malam yang istimewa yang hanya diturunkan sekali sahaja setahun iaitu malam al-Qadar atau turut disebut Lailatulqadar.

“Sesungguhnya Kami turunkannya (Al-Quran) pada malam Al-Qadar. Dan tahukah kamu apa itu malam al-Qadar? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahteralah (malam itu) sehingga terbit fajar.”(Surah al-Qadr:1-5).

Lailatulqadar adalah malam yang diturunkan al-Quran dan ditetapkan qada’dan qadar. Ianya lebih baik daripada seribu bulan, satu kebaikan dan keistimewaan yang sangat luarbiasa anugerah Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang soleh dan ikhlas beribadah kepadaNya.

Daripada Aisyah R.A.: “Nabi SAW bila memasuki sepuluh akhir (bulan Ramadhan), baginda mengetatkan kain sarungnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarga baginda.” (Riwayat Al-Bukhari).

Antara amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan dalam sepuluh malam terakhir ini ialah iktikaf dan qiamullail iaitu menghidupkan malam dengan amalan-amalan sunat seperti solat-solat sunat seperti solat tarawikh dan tahajjud, membaca dan tadarus al-Quran serta beristighfar dan berdoa meminta keampunan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan (agar diampunkan dosa), akan diampunkan oleh Allah SWT segala dosa-dosanya yang terdahulu”
(Riwayat Al-Bukhari & Muslim).

Antara doa yang disarankan dibaca pada malam-malam Ramadhan dan Lailatulqadar ialah:

عَنِّي فَاعْفُ الْعَفْوَ تُحِبُّ عَفُوٌّ إنَّكَ اَللَّهُمَّ

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan mencintai keampunan, maka ampunkanlah (dosa-dosa)ku.”

Daripada perbahasan para ulamak, tedapat beberapa tanda malam al-Qadar seperti suasana hening, hati terasa tenang dan sebagainya. Walaupun begitu, disarankan untuk kita semua menghidupkan sepuluh malam akhir Ramadhan ini dengan semaksimum mungkin samada tanda-tanda Lailatulqadar itu hadir atau tidak. Sekiranya kita menghidupkan sepuluh malam terakhir ini dengan ibadah-ibadah yang dilakukan dengan tulus ikhlas dan semaksimum mungkin, Insya Allah kita akan mendapat Lailatulqadar tanpa memikirkan pada malam yang manakah tahun ini Lailatulqadar akan datang.

Mungkin inilah antara sebab apabila ditanya tentang bilakah Lailatulqadar, Rasulullah SAW bersabda: “Carilah Lailatul-Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan.” (Riwayat Al-Bukhari).

Akhir kata, selamat beribadah di hari-hari dan malam-malam terakhir Ramadhan tahun ini, semoga mendapat Lailatulqadar dan diberikan keampunan oleh Allah SWT serta menjadi orang yang bertaqwa hasil daripada didikan dan tarbiyyah di dalam madrasah Ramadhan tahun ini.

“Ramadhan Bulan Tarbiyyah”

Kelab Remaja Isma (KRIM) Kota Bharu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *