Pada hari Kota Konstatinople dibebaskan…

pembukaan konstantinople
Syeikh Agha Shamsuddin adalah rahsia kejayaan Sultan Muhammad al-Fatih membebaskan Kota Konstantinople daripada tangan tirani, Empayar Byzantium.

Beliau telah melakukan pendidikan yang rapi terhadap Muhammad al-Fatih daripada aspek akhlak, kerohanian, ilmu perang, ilmu mentadbir negara dan menguasai 6 bahasa utama dunia sehingga Muhammad al-Fatih berjaya melaksanakan misi yang disabdakan Nabi SAW ketika umurnya hanya 22 tahun!

Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera.” (Riwayat Ahmad)

Di dalam Kitab al-Badr at-Toli’ tulisan Imam Syaukani, dicatatkan satu peristiwa Maha Hebat sebaik sahaja Kaum Muslimin berjaya membuka kota Konstantinople daripada Empayar Byzantium:

Keesokan harinya (sehari selepas pembukaan Konstantinople), Sultan Muhammad al-Fatih datang ke khemah Syeikh Agha Shamsuddin. Ketika itu, syeikh sedang berbaring dan tidak berdiri langsung menyambut kedatangan Sultan (Sultan Muhammad  telah berjaya menundukkan Empayar Byzantium, merealisasikan sabda Nabi SAW  yang menjadi cita-cita umat Islam sejak zaman Muawiyah RA lagi dan menggerunkan Eropah dengan kuasa Islam).

Sultan pun mencium tangan syeikh dan berkata: “Beta datang kerana ada satu permintaan. Beta ingin bersendirian denganmu (berbincang dan meluahkan rasa gembira)”. Syeikh Agha Shamsuddin menolak permintaannya. Namun Sultan mendesak berkali-kali , dan setiap kali jugalah Syeikh menjawab: “Tidak!”

Sultan pun murka lalu berkata:

“Dulu ada seorang rakyat Turki biasa mahu berbincang bersendirian denganmu dan engkau benarkan hanya dengan satu permintaan. Tetapi ketika beta sendiri memintanya, engkau menolak pula!”.

Syeikh Shamsuddin menjawab:

Jika engkau bersendirian, engkau akan rasa keseronokan hingga leka daripada urusan pemerintahan. Itu akan menggugat urusan pemerintahan dan Allah akan memurkai kita kerana itu. Tujuan kita bersendirian ini ialah melaksanakan keadilan. Engkau sepatutnya lakukan itu dan ini.”

Syeikh pun memberikan Sultan beberapa nasihat. Selepas itu, Sultan menghantar seribu dinar emas tetapi syeikh tidak mahu menerimanya. Ketika keluar dari khemah, Sultan Muhammad berkata kepada pengikutnya: “Syeikh tidak berdiri pun menyambut saya.

Seorang pengikutnya berkata:

Mungkin beliau melihat ada perasaan bangga pada diri Tuanku kerana kemenangan ini. Ia satu perkara yang sukar dielak oleh sultan-sultan yang hebat. Mungkin syeikh mahu membuang sedikit perasaan bangga ini daripada Tuanku.

Oh Allah! Betapa tinggi dan indahnya hidup bersama dengan orang-orang salih yang sentiasa mengingatkan kita.

Walaupun kita sudah mencapai puncak kuasa sekalipun, hati ini akan sentiasa berbolak-balik. Peristiwa ini mengajar kita bahawa jalan tarbiyah tidak akan berhenti meskipun kita sudah melalui tempoh yang panjang dan mencapai sesuatu kejayaan.

Meninggalkan jalan tarbiyah akan mendedahkan kita kepada tipu daya syaitan dan musuh-musuhnya.bHanya guru yang ikhlas dan sahabat yang benar akan menunjuki kita jalan yang lurus.

ustaz izzuddin selamat
Ustaz  Izzuddin Bin Selamat
NYDP ISMA Kuala Lumpur

**Beliau sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam bidang Sejarah dan Tamadun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *