Berita Utama

Majikan main peranan tangani kes COVID-19 babitkan pekerja

Ambil berat isu penginapan, kebersihan diri pekerja

BANGI, 13 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa pihak majikan memainkan peranan lebih besar dalam menangani penularan COVID-19, khususnya membabitkan pekerja bukan warganegara tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementeriannya memandang serius penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja, terutama dalam kalangan pekerja bukan warganegara.

Seperti yang ditekankan KKM sebelum ini, beliau berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit di kalangan pekerja, seperti isu penginapan, kebersihan diri dan persekitaran tempat tinggal.

“Selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), masalah penginapan pekerja bukan warganegara yang sempit dan sesak perlu ditangani dengan segera bagi memastikan ia tidak menjadi punca penularan COVID-19 dan lain-lain penyakit berjangkit.

“Sehubungan itu, KKM menyambut baik tindakan penguatkuasaan Akta 446 ini oleh pihak Kementerian Sumber Manusia ke atas pihak majikan yang gagal mematuhi ketetapan akta tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan meninjau aktiviti di lapangan bagi Klusteru Tapak Bina Awan Baru.

Katanya, kluster membabitkan daerah Kepong dan Cheras, Kuala Lumpur itu telah diisytiharkan semalam susulan kes-kes positif COVID-19 yang dikesan, hasil saringan bersasar ke atas pekerja di sebuah tapak pembinaan di Bandar Baru Sentul.

Beliau berkata, sehingga  28 November 2020 jam 8 malam, seramai 482 individu telah disaring, di mana 410 kes telah dilaporkan positif.

“Penilaian risiko dan pengesanan kontak rapat di kawasan tapak bina dan kawasan sekitar tempat kerja telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Kepong pada 27 November 2020.

“Tapak bina ini telah ditutup di bawah Seksyen 18 (1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada 27 November 2020 bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button