Artikel Khas

Mat Kilau langkah pertama ke arah kesepakatan bangsa Melayu

Umat perlu diperlengkapkan dengan agenda melakar watan berdaulat

SAYA tidak ingin menyentuh aspek-aspek teknikal, pengarahan, skrip, mutu lakonan dan jalan cerita filem epik sejarah perjuangan Melayu ini yang telah diulas dan dikomen oleh ramai orang di media sosial (baik pujian mahupun kritikan) dan masih diperkatakan lagi sehingga hari ini.

Terlalu banyak rumusan yang boleh dibuat hasil dari tayangan filem yang memakan masa hampir dua jam itu dalam ruang waktu dan kesempatan yang terbatas. Dalam konteks ini, saya ingin utarakan satu pemerhatian saya yang berfokus kepada sejarah masa lampau dan agenda masa depan bangsa Melayu, dengan berlatar belakangkan episod kebangkitan dan perlawanan bangsa Melayu terhadap penjajah Inggeris.

Latar belakang sejarah

Detik-detik penjajahan dan campur tangan Inggeris di Tanah Melayu telah bermula secara efektifnya melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada tahun 1874, iaitu 18 tahun sebelum penjajah Inggeris campurtangan di Pahang.

Justeru itu, penglibatan Inggeris di Pahang secara khusus bukanlah secara semberono akan tetapi sudah ada contoh awal (precedent) di Perak hampir dua dekad terdahulu.

Saya berpandangan bahawa Perjanjian Pangkor 1874 merupakan detik pertama ketuanan Melayu dan kedaulatan Syari’at Islam (di mana kedua-dua aspek ini mempunyai penaungnya iaitu Sultan) mula dihapuskan di Tanah Melayu oleh penjajah Inggeris.

Sebelum inipun (tahun 1824 yang menyaksikan termeterainya perjanjian Inggeris-Belanda, di mana kepulauan tanah Melayu difaraidkan (dibahagi) antara penjajah Inggeris di sebelah Utara dan Belanda di sebelah Selatan. Pulau Pinang, Dinding, Melaka dan Singapura kemudiannya bertukar menjadi negeri-negeri Selat (wilayah pentadbiran Inggeris).

Namun, keserakahan penjajah Inggeris tidak ada batasannya. Tanah Melayu secara khusus dan kawasan Nusantara umumnya kaya dengan bahan-bahan mentah semulajadi yang sangat penting dan diperlukan oleh pihak Barat/Eropah ketika itu. Keserakahan ini jugalah yang mendorong penjajah Inggeris memusatkan perhatiannya kepada Perak (bijih timah) dan Pahang (emas).

Antara yang menghalang impian penjajah ialah peranan dan kekuasaan Sultan ke atas negeri-negeri tersebut bermula dengan Perak. Kemelut dan konflik untuk menguasai industri dan lombong-lombong bijih timah di kalangan para pembesar istana kemudiannya secara tidak sedar telah membuka jalan kepada penjajah Inggeris untuk campurtangan dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan negeri.

Perjanjian Pangkor dan gugurnya simbol kedaulatan Melayu/Islam

Antara syarat-syarat Perjanjian Pangkor yang menyayatkan hati ialah Sultan terpaksa menerima kehadiran seorang Residen Inggeris di istana, di mana Residen diberi kuasa penuh ke atas pemungutan dan pengawalan hasil eksport, niaga, cukai dan juga pentadbiran negeri kecuali berkaitan dengan agama dan adat-adat orang Melayu.

Kesan dan akibatnya ialah Sultan hanya berkuasa di dalam ruang lingkup agama Islam yang sangat terbatas kepada undang-undang peribadi (agama) dan urusan-urusan adat resam semata-mata. Sedangkan sebelumnya Sultan berkuasa di atas perkara-perkara kewangan, cukai, pertahanan, keselamatan, pentadbiran negeri dan seumpamanya.

Perjanjian Pangkor ini juga membawa kepada pembunuhan Residen Inggeris yang pertama di Perak iaitu Sir James W.W. Birch pada tahun 1875 di Pasir Salak.

Banyak pihak yang semuanya orang Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditangkap dan dihukum bunuh. Antaranya Dato Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan lain-lain. Sultan Abdullah pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles.

Niat sebenar penjajah Inggeris

Tujuan sebenar kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu bukanlah kerana dorongan atau faktor penguasaan bahan-bahan mentah semata-mata tetapi yang lebih besar ialah untuk menyekat berkembangannya Syari’at Islam dari berdaulat dan dilaksanakan di seluruh negeri-negeri Tanah Melayu.

“There can be no doubt that Moslem law would have ended by becoming the law of Malaya had not British law stepped in to check it […]”.

Terjemahan bebas: Tidak dapat disangkal lagi bahawa Undang-Undang Islam akhirnya akan menjadi undang-undang Tanah Melayu kalaulah bukan kerana campurtangan perundangan British untuk menghalangnya …

Richard James Wilkinson, pegawai Pentadbir penjajah British dan anak kepada Konsul British di Greece. Dia mendapat pendidikan di Trinity College, Cambridge, dan bermula sebagai kadet di Negeri-negeri Selat pada 1889. Dia kemudian dilantik sebagai inspektor kebangsaan bagi sekolah-sekolah pada 1903 sehingga 1906 sebelum menjadi residen memangku Negeri Sembilan pada 1910.

# [Petikan dari William R. Roff, “Patterns of Islamization in Malaysia, 1890s–1990s: Exemplars, Institutions, and Vectors”, Journal of Islamic Studies 9, no. 2 (1998), 211].
Ungkapan di atas telah memberi satu perspektif yang baru kepada saya – bahawa faktor-faktor ekonomi dan bekalan bahan-bahan mentah semulajadi telah jatuh kepada kepentingan atau keutamaan kedua di sebalik kedatangan penjajah Inggeris ke Tanah Melayu.

Dari sudut inilah saya ingin memberi sorotan kepada episod-episod penentangan bangsa Melayu/umat Islam terhadap penjajah Inggeris yang dipelopori oleh para ulamak dan pahlawan Melayu di Tanah Melayu.

Dalam konteks realiti geo-politik serantau dan keadaan umat Islam secara global pada ketika itu, dunia Islam (yang diwakili oleh kerajaan Turki Uthmaniyah) sedang berada di ambang kejatuhannya dengan pelbagai masalah dalaman dan luaran, yang telah melemahkan kekuatannya. Inggeris pada ketika itu merupakan musuh kerajaan Uthmaniyah dan sangat aktif di dalam percaturan politik antarabangsa melibatkan banyak negara Eropah termasuk kerajan Uthmaniyah sendiri.

Maka penentangan umat Islam di Tanah Melayu tidak mendapat sokongan atau dokongan yang kuat dari “Induk” umat iaitu kerajaan Uthmaniyah berdasarkan banyak faktor juga. Empayar British yang sedang terbentuk menjejaki Nusantara dengan kekuatan persenjataan, ekonomi, ketenteraan dan logistik yang besar di samping berbekalkan pengalaman politik dan diplomasi yang licik dan penuh tipu muslihat.

Akhirnya apa yang dikhuatiri telah berlaku ke atas Tanah Melayu dan umat Islam. Sepanjang tempoh 80 tahun lebih (dari tahun 1874 hingga 1957), penjajah Inggeris telah melaksanakan agenda kolonialis mereka dengan berjaya, meskipun terdapat beberapa penentangan di sana sini, yang dapat ditumpaskan juga.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, tidak terdapat walau satupun penentangan terhadap keberadaan penjajah Inggeris.

Kenapa boleh berlaku demikian?

“Kemerdekaan” yang dinikmati oleh bangsa Melayu dan umat Islam lahir dari perkembangan yang sangat harmonis dan tidak diwarnai dengan episod-episod perjuangan berdarah dan kepahlawanan yang boleh dibanggakan. Kewujudan kaum bukan-Melayu yang didatangkan oleh penjajah Inggeris sebelum ini telah meletakkan bangsa Melayu dalam keadaan terpaksa tunduk kepada kehendak dan syarat-syarat kemerdekaan yang dikemukakan oleh pihak penjajah.

Kewibawaan dan harga diri telah lama dicabut dari jiwa para pemimpin Melayu. Bangsa Melayu dan umat Islam bagaikan dipasung dengan jiwa perhambaan yang telah kalah dan ruh keperwiraan yang lesu. Kitaran hidup hanya berlegar dari pembaikan peribadi melalui amalan tariqat dan keutamaan kepada amalan-amalan lahiriah dari sudut ibadah yang sempit sahaja.

Kehidupan sosial pula lebih kepada pertelingkahan, perbalahan, perpecahan, pengkhianatan dan perbahasan yang sengit dalam urusan remeh temeh. Masing-masing hidup untuk diri sendiri dan kepentingan kaum keluarga dan kelompok terdekat.

Umat dan bangsa tidak pernah memberikan sambutan dan respon yang besar kepada usaha-usaha untuk penyatuan dan kesepakatan, kerana seringhkali usaha tersebut tidak diikutsertakan dengan keikhlasan dan kejujuran ataupun berakhir dengan pengabaian kepentingan bangsa dan umat. Para pemimpin politik Melayu/Islam lebih mementingkan maslahat parti dan kelompok dari menjuarai kepentingan umat dan bangsa.

Terdapat jurang yang luas antara pemerintah dan rakyat, ulama dan umara, bangsawan dan marhaen. Arus “kemodenan” dan “pengisian kemerdekaan” telah menjadi satu “agen penghakis” kepada sejarah kepahlawanan dan perjuangan besar yang ditinggalkan oleh para pendahulu ketika menentang kekuatan Inggeris beberapa puluahn tahun sebelum merdeka.

Kisah dan contoh menginspirasikan dari para pahlawan dan ulamak Melayu dimomokkan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan sehingga generasi muda tidak sedar, meremehkan dan akhirnya melupakan sejarah yang membakar semangat ini. Kewujudan mereka hanya tercatat ringkas dalam helaian-helaian buku teks atau sukatan pelajaran yang terpisah dari pergelutan hidup generasi muda dan masa depan bangsa.

Sosok penjajahan masa kini

Negara pasca-Merdeka sudah tentu digembar-gemburkan sebagai permulaan hidup yang lebih bahagia, maju, makmur dan aman damai. Pembangunan dan kemajuan yang melimpah ruah, arus kemodenan dan kemewahan fizikal sering menjadi umpan dan “candu” yang berkesan untuk melalaikan umat dan bangsa dari melihat hakikat atau realiti sebenar yang berlaku di sekeliling.

Serentak dengan “keluar”nya penjajah Inggeris dari Tanah Melayu, satu barisan pelapis dan penerus warisan penjajah Inggeris telah mendominasi pemerintahan dan pemikiran umat dan bangsa. Kumpulan ini menguasai koridor-koridor kuasa, memegang jawatan-jawatan utama di institusi-institusi yang penting, menduduki pusat-pusat kajian dan pemikiran, menjadi pembuat dasar dan polisi serta dan ramai juga yang menjadi ketua-ketua jabatan atau agensi-agensi kerajaan.

Kerangka pemikiran Barat menjadi objektif utama untuk diarusperdanakan dan sasaran pertama mereka adalah anak-anak bangsa yang masih mentah minda mereka dari perangkap dan agenda songsang dari Barat. Peradaban Barat dipersembahkan sebagai satu pilihan terbaru/terkini yang kononnya lebih mengasyikkan dan “happening” dari warisan budaya Melayu dan peradaban Islam yang dilabelkan sebagai “kuno”, “mundur”, “lapuk” dan “menindas”.

Sedikit demi sedikit “barah” baru ini mula menjangkiti umat dan bangsa, menguasai pemikiran generasi muda, menjadi ideologi pilihan yang dipelopori oleh golongan cendikiawan dan ahli-ahli akademik dan diberikan seluas-luas ruang untuk berkembang.

Ideologi dan fahaman Liberal, Atheisma, Sekularisma, Hak-hak Asasi, Feminisma dan Kebebasan Individu kini menjadi Mantera Abad 21 yang semakin sebati di jiwa anak-anak muda. Tumpuan hidup kini beralih kepada aktiviti-aktiviti dan kegiatan yang menitikberatkan kesenangan diri peribadi lebih daripada mengutamakan kepentingan masyarakat, umat dan bangsa. Budaya hiburan menjadi pilihan pertama daripada mempersiapkan diri dengan unsur-unsur kekuatan dan kewibawaan.

Lama-kelamaan, bangsa dan umat hanya memiliki generasi yang ketandusan jatidiri dan hilang matlamat hidup.

Menghidupkan legasi kepahlawanan Melayu

Di sebalik senario yang menyesakkan dada itu masih terdapat harapan bahawa awan kelabu yang suram itu tidak akan kekal selama-lamanya. Secebis harapan itu jelas terpancar pada fakta bangsa Melayu dan umat Islam berduyun-duyun membanjiri pawagam-pawagam terdekat untuk menyaksikan filem Mat Kilau.

Penulis sendiri menyaksikan seorang lelaki Melayu yang sudah lanjut usia dipimpin masuk ke dalam pawagam oleh anaknya. Hal ini tidak pernah berlaku sebelumnya.

Ratusan malah mungkin ribuan maklumbalas tentang kehebatan filem Mat Kilau ini dan bagaimana ia telah memberi kesan positif dan memberangsangkan kepada para penonton tidak boleh dipandang remeh.

Adalah diakui bahawa filem ini hanyalah satu media yang pengisiannya telah digarap dengan begitu berkesan sekali. Bagaimanapun, proses perubahan dan transformasi umat dan bangsa perlu melangkaui wasilah yang terhad ini.

Kesedaran baru telah dikesani. Semangat yang lahir dari menonton filem Mat Kilau tidak boleh dibiarkan hanyut dalam realiti hidup yang tenat di luar pawagam. Keghairahan untuk menjadi pahlawan dan “anak-anak jantan” hanya boleh bertahan dalam beberapa hari sahaja. Setelah realiti hidup sebenar menyapa minda sedar umat dan bangsa, tidak mustahil arus kehidupan mereka akan kembali seperti biasa, seperti yang direncanakan oleh para pewaris agenda penjajah.

Justeru itu, kesedaran ini perlu dikekalkan momentumnya. Umat dan bangsa yang mula mengenali agenda dan tipu muslihat pihak musuh, yang mula menyedari potensi, kekuatan dan kemampuan diri sendiri perlu dibentuk, diasuh dan dibimbing suapaya bertukar menjadi satu kekuatan raksasa merakyat, yang bersatupadu, bersepakat, berkasihsayang dan bersaudara.

Umat dan bangsa sudah lama menderita penyakit perpecahan dan perbalahan. “Senjata” yang dahulunya diarahkan sesama sendiri perlu dilaraskan supaya menepati “sasaran” sebenar.

Saya tidaklah menyarankan suapaya kita mengangkat senjata, akan tetapi bermula dengan mengenali musuh dan agenda mereka, membina kekuatan sebelum pertarungan dan sudah tentu kekuatan utama dan pertama yang perlu diakartunjang dan dipasakbumikan adalah kekuatan akidah dan ukhuwah.

Adalah menjadi keyakinan saya bahawa filem Mat Kilau merupakan satu langkah pertama ke arah membawa kesepakatan bangsa Melayu, seterusnya menjayakan hasrat dan cita-cita untuk mendaulatkan Islam. Kejayaan inisiatif ini sedikit sebanyak akan menggagalkan perancangan Inggeris (dan Barat) terhadap potensi Syariat Islam mendominasi sistem nilai dan cara hidup masyarakat seluruhnya sebagaimana yang diungkapkan oleh Richard James Wilkinson di atas.

Cabarannya tentu hebat, besar dan memakan masa yang lama serta menuntut banyak pengorbanan. Akan tetapi itulah kemuncak hidup seorang Muslim – untuk berbakti kepada agamaNya dan mendapat keredhaan Allah.

Umat yang bangkit dan sedar ini perlu diperlengkapkan dengan agenda untuk melakar watan yang berdaulat!

 Mohd Luttfi Abd Khalid 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button