KATA PEDANG: Sebiji karipap, sebotol mineral simbolik amaran buat Najib, BN dan UMNO

tun-m1

MALAM tadi adalah kali pertama, seingat Pedang, selepas hampir 20 tahun tidak membuat liputan berita secara langsung ceramah atau ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sesuatu majlis.

Apa lagi setelah beliau dengan sukarela menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, tanpa melalui desakan atau mencetuskan suatu skandal kewangan dalam pentadbiran, sebaliknya, yang didengari ialah desakan supaya Tun kekal mentadbir negara dan parti. Pedang jarang sekali bersua muka dengan Tun Dr Mahathir.

Dan, seingat Pedang selama bergelumang dengan dunia kewartawanan lebih 30 tahun lamanya, tidak pernah membuat liputan majlis dan ucapan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Namun, malam tadi Pedang turut serta pada satu majlis yang dihadiri oleh Tun Dr Mahathir yang mana beliau menjadi jurubicara utama ‘Bicara Isu-Isu Semasa Selamatkan Malaysia’ di sebuah dewan di Pekan Napoh, Jitra, Kedah.

Kebetulan Pedang pulang ke kampung di mana Pedang membesar dan bersekolah – Kodiang – pekan berhampiran sempadan Kedah dan Perlis, yang suatu ketika dahulu menjadi ‘kubu’ kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan antara kawasan ‘kesayangan’ Tun Dr Mahathir.

Pedang, pada tahun 1980-an dahulu pernah bertugas sebagai wartawan di Alor Setar dan Tun Dr Mahathir ketika itu menjadi Perdana Menteri. Kerap kali juga Pedang ditugas untuk menyambut kepulangan Tun di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim atau apa-apa majlis yang dihadirinya di sekitar Kedah, bagi mendapatkan bahan berita.

Tiap kali majlis dihadiri Tun Dr Mahathir, pastinya ribuan rakyat pelbagai kaum, kecil besar, tua muda akan hadir.

Khususnya, di Kedah jika sebut Tun Dr Mahathir akan hadir pada sesuatu majlis, berpusu-pusu orang ramai akan datang untuk mendengar ucapannya.

Aura Tun Dr Mahathir membolehkan BN merampas semula Kedah daripada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, tidak boleh diketepikan, biarpun janji Datuk Seri Najib Razak untuk melantik anak Tun iaitu Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah juga memainkan peranan.

Tetapi, tidak sampai sepenggal mentadbir Kedah, Mukhriz digulingkan atas restu Najib juga.

Demikian pula malam tadi, Tun Dr Mahathir hadir dalam satu majlis bukan sebagai pemimpin parti malah, telah mengisytiharkan keluar daripada UMNO buat kali kedua, dan kini menjadi pendesak utama supaya rakyat bertindak menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri – kehadiran orang ramai di luar jangkaan.

Tanpa menerima arahan wajib hadir atau ‘dibayar’ untuk hadir atau dihidangkan pasembor Kodiang, kehadiran lebih 3,000 orang malam tadi adalah amaran awal penduduk Kubang Pasu kepada Najib, UMNO dan BN, biarpun rata-rata yang datang itu hanya menjamah sebiji karipap dan sebotol air mineral yang disediakan penganjur.

Pedang jarang membuat analisis politik kerana untuk mengkaji dan memberi pendapat mengenai geo-politik, seseorang mesti sekurang-kurangnya turun ke peringkat bawahan bagi melihat dan mendengar sendiri apa kata akar umbi.

Namun, dengan kehadiran yang dilihat sendiri malam tadi, Pedang setuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir ketika berucap pada majlis itu.

Dalam ucapannya, Tun Dr Mahathir menegaskan keyakinannya bahawa BN, Najib dan UMNO akan kalah pada PRU akan datang jika Najib tidak diturunkan sekarang.

“Banyak kesalahan dilakukan Najib. Sebab itu dia harus diberhentikan. Kalau dia tidak diturunkan sekarang, saya yakin UMNO akan habis hancur,” kata.

Sebab itu, Pedang juga yakin bukan setakat penduduk dan pengundi di Kubang Pasu sahaja yang akan menunjukkan amarah mereka kepada BN, Najib dan UMNO pada PRU akan datang jika Najib tidak turun dari kerusi Perdana Menteri, malah di seluruh negara juga rakyat akan bangkit, sama ada tidak keluar mengundi atau memilih parti lain pada PRU akan datang.

Tidak pula menolak kemungkinan, BN khususnya UMNO Kedah sekali lagi akan menjadi pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri, selepas PRU akan datang.

Tun Dr Mahathir sebenarnya masih sayangkan UMNO walaupun kini tidak lagi menjadi ahli. Sebab itu, beliau tidak mahu UMNO kalah pada PRU. Beliau tidak mahu parti lain yang memerintah negara, selain daripada UMNO dan BN…..

Kata Pedang: Sebab itu, Tun Dr Mahathir dan pasukannya kini bekerja keras meminta rakyat bersatu di bawah Deklarasi Rakyat untuk diserahkan kepada Majlis Raja-Raja bagi menurunkan Najib daripada kerusi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, bertujuan menyelamatkan Malaysia.

kata-pedang-baru

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

2 thoughts on “KATA PEDANG: Sebiji karipap, sebotol mineral simbolik amaran buat Najib, BN dan UMNO

  1. Saifulnizam MD johari

    Saya sokong Tun pada mulanya. Tapi bila Tun mula libatkan diri dengan parti pembangkang untuk jatuhkan Najib, ini tunjukkan Tun bukan pemimpin yang ikhlas untuk selamatkan Malaysia.

    Buat Tun, sorry I am not stupid like Mukhris, Muhyiddin and Shafie to join and sit together with Lim Kit Siang to ask Najib to step down. Tun adalah musuh saya dan orang Melayu yang menyokong UMNO bermula Tun bersekongkol dengan mereka.

  2. Dia sibuk dgn najib tapi membiarkan anaknya Marina tenggelam dlm kesesatan liberalism tanpa apa-apa komen. Terlampau gah nak selamatkan Malaysia tapi tak pedulipun nak selamatkan akidah anak sendiri. Kasihan kerana menghabiskan sisa umur yg tua dlm hal yg tidak membawa faedah utk bekalan nak mati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *