Feminisme rungkai ikatan kekeluargaan, runtuh institusi keluarga: Presiden Isma

TRANSKRIP KENYATAAN PRESIDEN ISMA KETIKA SIDANG MEDIA PERSIDANGAN WANITA ISLAM ANTARABANGSA (PERWANIS) 2016

Screen Shot 2016-04-27 at 4.51.31 PM

PERTAMA sekali saya ucap terima kasih kepada semua wartawan dan rakan media yang datang. Sebagaimana yang kita maklum, kita baru saja merasmikan Persidangan Wanita Islam Antarabangsa yang kali pertama dianjurkan oleh Wanita Isma. Bagi saya ini satu langkah ke depan.

Walaupun Isma sendiri sebelum ini telah banyak mengadakan program bersama di peringkat Asia Tenggara, atas asas kita merasakan bahawa di sana ada concern bersama, keprihatinan bersama, pengalaman yang sama, sejarah yang sama yang dilalui oleh umat Islam di rantau ini dan mereka mempunyai ruang perkongsian yang sangat luas.

Walaupun dipisahkan oleh politik, tetapi mereka mempunyai persamaan dalam banyak aspek yang saya sebutkan tadi. Sebab itu, kita sentiasa memandang penting untuk apa sahaja usaha untuk merapatkan hubungan antara bangsa-bangsa yang ada di sini lah. Walaupun pada saya kita semua adalah satu rumpun, tetapi politik telah memisahkan satu rumpun ini menjadikan mereka bangsa-bangsa yang terpisah, tapi sebenarnya mereka mempunyai cita-cita yang sama, hasrat yang sama dan sebagainya.

Ini adalah satu bidang yang menjadi fokus persidangan kali ini, iaitu berkaitan dengan wanita, ancaman feminisme dan sebagainya yang juga melibatkan wanita dan generasi baru Islam, ataupun bangsa Melayu ini, yang juga turut terjejas ataupun secara amnya, berdepan dengan persoalan besar tentang ke mana hala tuju, apa identiti yang mahu mereka pertahankan dalam berdepan dengan situasi baru, dunia moden, dan pengaruh global yang menyerang ataupun yang melibatkan semua wanita.

Ini satu tajuk yang saya rasa sangat penting mengenai peranan wanita dan juga tugas utama mereka dalam membangunkan generasi. Tema yang diutarakan di sini ialah satu PENEGASAN KEPADA NILAI KETIMURAN ISLAM KITA, IAITU KITA TETAP BERPEGANG KEPADA INSTITUSI KELUARGA DAN PERANAN WANITA ISLAM YANG UTAMA IALAH YANG SESUAI DENGAN FITRAH MEREKA UNTUK MENJALANKAN TUGAS-TUGAS DI RUMAH DALAM MENBANGUNKAN INSTITUSI KELUARGA KHUSUSNYA MENDIDIK ANAK-ANAK.

Itu satu komitmen yang penting, di mana di zaman sekarang komitmen kepada institusi ini tidak lagi diletakkan dalam perkiraan. Kebebasan dan feminisme ini telah merungkai semua ikatan termasuklah keluarga. Institusi keluarga tidak lagi penting dalam falsafah manusia moden dan akibat daripada itu, ia telah membawa implikasi yang sangat banyak kepada kehidupan wanita dan khususnya generasi baru umat Islam.

Jadi saya rasa ini satu persidangan yang sangat tepat pada waktunya dan saya harap ia membawa kepada satu kesimpulan yang terbaik iaitu komitmen bersama wanita Islam di rantau ini untuk sama-sama mempertahankan nilai ketimuran yang saya maksudkan tadi, yang berasaskan kepada Islam, yang meletakkan fungsi wanita sesuai dengan fitrah semulajadinya.

Itu sebagai mukadimah kalau ada soalan.

Soalan 1: Isu hak wanita

Jawapan Ustaz Abdullah: Dari segi hak, kita tidak menafikan hak, maksudnya hak lelaki dan wanita untuk bekerja, itu disebut dalam Al-Quran “Laha ma kasabat wa alaiha maktasabat”. Maknanya sebagaimana lelaki, mereka ini berhak untuk memilih dan berusaha dan memiliki apa yang mereka usahakan. Itu dari sudut fungsi dan hak, tetapi dari sudut tugasan dan peranan, Allah juga mencipta manusia ini berbeza, lelaki dengan lelaki pun berbeza, apa lagi lelaki dengan perempuan. Jadi ia ada beza.

Jadi perbezaan itu menjadi asas kepada penentuan peranan menguruskan kehidupan termasuk dalam hal rumah tangga. Sebab itu saya sebutkan tadi bahawa fungsi wanita, walaupun dia boleh menceburi bidang kerjaya tetapi tidak boleh meletakkannya prioriti melebihi daripada tugas asas yang perlu dia mainkan. Sebab jika sekiranya perkara ini dibiarkan terus berlaku, maka berlaku kekosongan yang sangat luar biasa dalam institusi keluarga. Di mana anak-anak yang perlukan kepada kasih sayang, perlukan kepada kprihatinan daripada ibunya secara khusus, tidak lagi dapat dimainkan dan menyebabkan kekosongan jiwa yang terlalu dahsyat kepada generasi anak-anak dan menyebabkan mereka mencari pengisian di tempat-tempat lain yang mungkin akan berlaku secara tidak bertanggungjawab, atau membawa implikasi buruk kepada pembentukan diri mereka sendiri. Sebab itu kita berhajat kepada wanita yang mengisi kekosongan tersebut.

Soalan 2: Isu feminisme

Jawapan Ustaz Abdullah: Bila wanita bekerja dan sistem kehidupan hari ini, saya rasa sangat memihak kepada fahaman feminisme yang memberikan ruang kepada wanita terlalu luas. Mungkin perjuangan wanita itu terlalu dominan sehingga mereka diberi ruang yang begitu luas dalam kehidupan secara menyeluruh. Itu satu. Jadi penglibatan wanita ataupun cara hidup ini diolah, cara hidup moden diolah dengan bentuk yang tidak lagi membezakan fungsi, (contohnya) wanita boleh masuk semua bidang, tak seperti dulu.

Masa dahulu, ada bidang yang dilaksanakan oleh lelaki dan tidak mampu dilaksanakan oleh wanita. Tapi hari ini semua bidang yang ada (wanita) bahkan wanita nampak lebih kompeten berbanding lelaki dalam banyak bidang yang ditawarkan dalam kehidupan menyebabkan wanita mengisi semua bidang itu, dan menyempitkan ruang lelaki untuk berfungsi, sebab dia dah sama dan tak ada lagi kehidupan yang khusus untuk lelaki. Tak ada fungsi yang membezakan.

Bila keadaan begitu, maka wanita keluar bersosial. Keluar bekerja, berpolitik, bersosial, sama dengan lelaki, dan membina rangkaian mereka masing-masing. Dan rangkaian sosial ini telah meruntuhkan semua benteng. Walaupun kita kata (wanita) berada di rumah, hakikatnya dia masih berada di alam yang luas. Alam sosial yang luas, alam maya. Walaupun tutup pintu. (Juga tiada had) masa. Walaupun dah pukul 11, 12 malam, dia patut dihadkan di rumah, tapi alam maya tidak menghadkan mereka berada di rumah memainkan fungsi-fungsi tertentu. Lalu kita dapat lihat wanita duduk di rumah atau duduk di mana-mana, mereka berada di alam maya sama seperti tidak di rumah.

Jadi, sosial di tempat kerja, atau rakan sosial di tempat lain, mempengaruhi dia. Dia tak nampak apa yang perlu dilakukan di rumah tidak lagi penting atau tidak lagi menjadi keutamaan, tidak lagi menjadi perkara yang dia ambil berat. Soal rumah, soal anak sudah (diabaikan), kadang dia peluk telefon (selalu), daripada pagi sampai malam. Betul tak? Rumah tunggang langgang, anak entah mana-mana pun dia tak kisah.

Bukan setakat itu, tapi telah mengakibatkan kes-kes perceraian, kes (masalah) rumah tangga. Yang kita tak nampak kesan langsung ialah kesan kepada anak-anak, secara jangka panjang, mungkin mereka rasa terbiar, mereka rasa tak dapat kasih sayang ibu bapa, ibu bapa tak tanya soalan, tak tanya tentang kerja sekolah, tak ajar dia apa yang dia tak faham tentang pelajaran, tak jawab soalan-soalan tentang masalah keremajaan dia, dan berbagai-bagai persoalan yang dia perlukan jawapan tapi dia tak dapat jawapan daripada ibu dia yang patut jadi orang yang paling hampir kepada dia.

Soalan 3: Adakah Ustaz berfikir feminisme adalah ancaman bagi umat Islam seperti liberalisme?

Jawapan Ustaz Abdullah: Dengan mafhum Barat itu, dia memberi impak negatif kalau dia tidak ditapis oleh budaya setempat atau pegangan agama. Budaya setempat (sepatutnya) menapis pengalaman-pengalaman kita, agama kita sepatutnya menyaring. Mungkin pengalaman yang ada di Barat sesuai dengan mereka tapi tak semua itu sesuai dengan kita. Tetapi oleh kerana pengaruh evolusi teknologi itu, dia telah memasuki ruang udara kita, rumah kita dan sebagainya tanpa kita dapat tapis secara fizikal. Tapi kita perlukan kekuatan dalaman untuk menapis segala yang datang, apa yang bertentangan dengan nilai kita, apa yang bertentangan dengan kepentingan kita, kita seharusnya dapat urus dia dengan baik.

Dan saya terbaca artikel-artikel yang terbaru ini, sebenarnya Barat pun sudah mula merasai masalah. Feminisme ini telah menyebabkan kehidupan tidak seimbang. Dominasi wanita dalam kehidupan. Kita bercakap ini adalah apa yang telah berlaku di Barat, Amerika dan sebagainya, dan telah menjadi masalah pun di tempat mereka. Jadi kita tak mahu mengimport budaya sehingga apa yang buruk pun kita terima juga daripada mereka.

Soalan 4: Isu perkahwinan kanak-kanak.

Jawapan Ustaz Abdullah: Kita kena tengok perkahwinan dalam sudut tanggungjawab. Kita kena tafsirkan hukum hakam dari sudut sosial, tanggungjawab sosial, bukan sahaja melihat kepada hukum hakam, halal haram secara nas atau teks. Tapi melihat kepada konteks iaitu ada tanggungjawab, apa lagi kalau disebutkan dalam konteks menyembunyikan salah laku dan akan menjadikan mangsa di situ adalah anak itu sendiri. Dan tanggungjawab sosial yang lebih besar akan datang iaitu masalah kelangsungan generasi bersih, generasi yang. Anak luar nikah walaupun dia berkahwin, (ibunya) telah dirogol dan mengandung, lalu berkahwin, anak itu tetap anak luar nikah, walaupun dia dah kahwin. Dia berkahwin untuk menyembunyikan sesuatu yang tidak betul itu. Kemudian apabila anak itu berkahwin nanti dia jadi wali, sekali lagi anak itu akan berkahwin tanpa sah. Jadi kita membenarkan sesuatu yang tidak halal, berterusan dengan dilindungi oleh hukum, memang dalam Islam secara fekahnya boleh, tetapi kita kena konteksnya, bukan tengok kepada teksnya saja.

Soalan 5: Tugas suami dan tugas isteri di rumah.

Jawapan Ustaz Abdullah: Konsep tanggungjawab dalam apa pun dalam Islam, diletakkan kepada lelaki pada asasnya. Begitu juga dalam keluarga, tanggungjawab yang pertama sekali ialah pada lelaku. Tapi kita tidak ambil secara melampau, (contohnya) lelaki buat semua benda. Ada juga yang bawa idea macam itu, lelaki buat semua benda. Dia tidak ada konsep penugasan. Sebenarnya dalam pengurusan lain pun begitu juga. Pengurus dalam Islam, konsep penanggungjawaban dalam Islam terletak pada pengurus. Jadi kalau penguruslah yang mengagihkan tanggungjawab kepada ahli-ahli jawatankuasa.

Begitu juga dalam konteks rumah tangga. Dalam konteks rumah tangga, suami diletak punca tanggungjawab, tetapi tidak semua tugas dilaksanakan oleh lelaki. Dan tidak semua dilaksanakan oleh orang lain. Maksudnya kena imbang dan kena ada pembahagian tugas dalam institusi rumah tangga, sesuai dengan fitrah, sesuai dengan uruf, sesuai dengan suasana masyarakat sekitar, uruf ini bermakna masyarakat sekitar. Ada setengah yang dilaksanakan di negara Arab umpamanya, tidak sesuai dengan Islam, tapi itu adalah suasana sekitar, tapi kita tak boleh ikut uruf tempat lain untuk kita adapt di tempat kita, yang meletakkan wanita ini macam…

Di negara Saudi contohnya, masih berbincang isu wanita boleh memandu atau tidak, sedangkan wanita kita… Sebab itu saya sebut Timur Islam. Dalam ucapan saya, saya sebut Timur Islam sebab di Asia kita menerima penglibatan wanita dalam bermasyarakat sejak awal. Wanita bekerja, wanita naik motosikal, wanita bawa kereta, diterima dalam uruf masyarakat kita, jadi kita terima sebagai satu sistem pembahagian.

Ada fungsi lelaki dalam mengurus, dalam mentadbir, dalam menjalankan kerja-kerja tertentu di rumah, tetapi tidak semua dilakukan oleh lelaki, dan tidak semua juga dilakukan oleh wanita. Saling perlu ada kombinasi antara peranan lelaki dan wanita dalam hal mengendalikan rumah.

Tapi kalau berlaku keadaan lelaki melakukan tugas wanita dalam konteks itu, dan berlaku kepincangan kepada lelaki itu juga, maknanya dia dia tak perform dalam fungsi dia sebagai pimpinan dalam masyarakat, tugas-tugas dia di luar, dan sebagainya, dia tidak akan dapat perform. Sebab dia kena fikir nak buat susu anak, basuh lampin, basuh baju, balik kejar masak nasi tengah hari, macam mana dia nak perform sebagai suami dan juga perform sebagai ketua dalam masyarakat? Sebab dia ditugaskan dengan tugas perempuan di rumah, benda itu bagi saya perlu pembahagian yang adil dan seimbang.

Perkara yang melibatkan tugas yang sesuai dengan wanita, dilakukan oleh wanita. Jangan bebankan kepada lelaki. Begitu juga tugas lelaki dilakukan oleh lelaki, tidak dibebankan kepada wanita. Mana-mana yang tak seimbang di situ telah berlaku, maka akan berlaku masalah. Kalau dikatakan wanita terasa banyak kerja, dia kena imbangkan kerja di luar dengan kerja di rumah. Kalau saya jadi pemerintah, saya akan kurangkan kerja wanita di luar, saya akan bagi waktu kerja di luar, insentif-insentif wanita di luar sesuai dengan dia punya fungsi di rumah. Maknanya, kita bagi markah kerja di rumah walaupun bukan kerja yang formal.

Banyak insentif yang boleh dibuat, negara praktis benda itu. Kalau kita kurangkan kerja dia kepada setengah hari ke, enam jam ke, dan dia diberi gaji yang sama, saya rasa kita dapat menyelamatkan institusi keluarga dan juga tidak menghadkan dia daripada peluang dia, ruang dia, hak dia untuk menyertai kehidupan di luar. Benda itu boleh diurus. Tapi oleh kerana dasar kerajaan tidak melihat aspek-aspek ini, lalu kita ikut semua benda sebagaimana yang dicadangkan oleh orang luar lalu kita langgar nilai-nilai kita sendiri dan menjejaskan institusi keluarga kita dan pembinaan masyarakat kita sendiri.

VIDEO: Sidang Media PERWANIS 2016

2 thoughts on “Feminisme rungkai ikatan kekeluargaan, runtuh institusi keluarga: Presiden Isma

  1. Setakat pengalaman rakan dan kenalan yg ada di sekeliling saya, saya perhatikan, si isteri terpaksa bekerja untuk menanggung keperluan rumah seperti bil2, loan kereta/rumah dan persekolahan anak2. Si suami tidak menjalankan tanggungjawab dgn amanah, lepas tangan. Lebih banyak membuang masa dan duit dengan kawan2 untuk kebebasan bergaul bukan bekerja. Ada dua orang kawan saya, saya juga berkawan dgn si suami mereka, si isteri datang kerja dalam keadaan muka bengkak2 tapi duit si isteri dicuri (untuk pengetahuan si suami bukanlah penagih dadah). Hal kawan sy yg lain, sampai ada yg terpaksa bercerai. Lebih baik hidup sendiri jika ada si suami pun tak membantu dalam perjalanan hidup berumahtangga mereka. Tambah membebankan pula bila si suami pula yg minta duit.
    Sepatutnya orang Melayu cuba ubah cara didik anak lelaki supaya mereka lebih bertanggungjawab dan amanah bila dewasa. Saya tau bukan semua begitu tapi ramai begitu. Ada yg kekal berumahtangga tetapi mereka ada cerita disebaliknya yg ramai orang luar tak tahu. Saya seorang pendengar yg agak baik, jadi mereka senang datang mengadu nasib disebalik senyuman yg ceritanya Tuhan shj yg lebih tahu. Orang perempuan ada yg terlampau penyabar dan ada yg malas nak ambik kisah, pendamkan shj sampai hilang KEADILAN dalam kehidupan, bukan setakat dlm alam perkahwinan shj tapi KEADILAN sangat dituntut oleh Tuhan juga untuk apa sahaja dlm bermasyarakat, yang Tuhan banyak kali ulang dalam Quran dan amat ditekankan. Perkahwinan bukan semata untuk ada zuriat, ada tempat melepaskan nafsu masing2, ada orang jaga pakaian makan minum. Perkahwinan mengikut Quran ada juga mengatakan pasangan untuk kita berasa tenang. Apa guna kahwin jika tidak tenang. Amalan perkahwinan sekarang(bukan semua) seolah orang perempuan hanya pelengkap lelaki tapi tidak lelaki pelengkap perempuan. Sepatutnya lelaki dan perempuan adalah saling melangkapi. Barulah sempurna dan lengkap. Masing2 ada tanggunjawaab dan fitrah masing2. Saya cuma dapat cuba tenangkan mereka,kawan2 saya, dgn mengatakan, sabar, di dunia tidak apalah jika tidak dapat atau susah nak dapatkan keadilan tetapi di kemudian hari Allah akan bagi keadilan yg tiada langsung silapnya. Tidak perlu sedih dgn kata2 manusia termasuk ahli mahkahmah syariah yg tidak membantu, percaya janji Tuhan itu benar.

  2. jangan salahkan feminism. ramai wanita dipaksa melanggar kudrat sebagai ibu rumahtangga disebabkan kos hidup meningkat/ekonomi teruk dan memikul dua tanggungjawab sekaligus, iaitu homemaker dan pembantu suami jadi pencari nafkah sampingan.

    lebih baik jika ISMA bergerak lebih agresif untuk menyokong gaji minima. gaji minima ini akan membantu negara kita mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing murah/separa mahir dan memperbaiki distorsi pasaran pekerja, sekaligus memperbaiki tahap ekonomi kita dan membuka peluang kepada warga lelaki tempatan menjadi pencari nafkah utama. dengan itu, wanita lebih bebas untuk menjadi ibu rumahtangga seperti visi ISMA!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *