Ceramah saya tunjuk persamaan bukan perbezaan: Dr Zakir Naik

al-hijrahOleh Nur Shafiqah Mohamad Shamsul

BANGI , Khamis – Penceramah Islam terkenal dari India, Dr Zakir Naik sekali lagi menegaskan bahawa ceramah yang beliau sampaikan berkaitan perbandingan agama bukan untuk membezakan Islam dengan kepercayaan lain.

Beliau yang juga pakar dalam perbandingan agama Islam dan Hindu berkata, ceramah yang disampaikan bertujuan menunjukkan persamaan antara agama itu.

“Terdapat persamaan di dalam al-Quran dan kitab veda Hindu antaranya menyebut mengenai Tuhan hanya satu dan tiada imej Tuhan,” katanya pada program khas bertajuk ‘Islam First Class’ bersama TV Al-Hijrah, malam tadi.

Sebelum ini, beberapa pertubuhan penganut Hindu membantah kehadiran beliau untuk berceramah di Malaysia yang bermula 10 April lalu dengan mendakwa kononnya Dr Zakir Naik menghina agama lain.

Ceramah beliau bertajuk ‘Persamaan antara Hindu dan Islam’ yang dijadualkan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 17 April lalu pada awalnya dibatalkan, tetapi diteruskan dengan tajuk lain.

Mengulas lanjut, Dr Zakir Naik berkata, penentangan terhadap usaha dakwah beliau itu menjadikan beliau lebih kuat, malah menerima sokongan daripada umat Islam di negara ini.

“Kritikan mereka untuk saya perbaiki diri dan saya sedikit pun tidak berkecil hati. Umpama ketika orang membaling kita dengan bata, kita ambil untuk membuat rumah,” katanya.

Dalam program itu, juga beliau sekali lagi menyeru umat Islam supaya bersatu berdepan segala rintangan.

“Apabila umat Islam bersatu padu mereka akan bertambah kuat menghadapi segala rintangan. Akan tetapi apabila mereka berpecah-belah mereka akan menjadi lemah dan musuh senang untuk menjatuhkan Islam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *