Sistem kewangan Islam tidak wajar “dibebaskan” dari sistem konvensional: Penasihat Syariah

maxresdefaultKUALA LUMPUR, Khamis – Sistem kewangan Islam tidak wajar “dibebaskan” daripada sistem konvensional, sebaliknya kedua-dua sistem itu perlu digabungkan menerusi satu proses Islamisasi, kata Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Justeru itu, beliau mencadangkan supaya lebih banyak produk konvensional diubah menjadi produk patuh syariah di samping mewujudkan produk baharu yang tidak ditawarkan dalam pasaran konvensional.

“Perbankan Islam terpaksa hidup dalam suasana yang sama dengan perbankan konvensional. Mereka tidak ada banyak pilihan walaupun cuba buat inovasi kerana tertakluk kepada syarat minimum ekosistem yang ada di pasaran,” katanya, kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku pertama beliau berjudul ‘Minda Syariah dalam Kewangan Islam’ di sini hari ini.

Pelancaran buku itu disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Mohd Daud turut menggesa pengamal perbankan Islam dan konvensional agar menguasai bidang masing-masing bagi mempermudahkan proses Islamisasi sistem kewangan.

Di samping itu, penasihat syariah kewangan Islam perlu berani ke hadapan bagi membincangkan dan menerangkan isu berkaitan sistem kewangan Islam, katanya.

Beliau berkata mufti, ulama dan cendikiawan Islam mesti berani untuk memberi pandangan mereka berkenaan sistem kewangan Islam. Buku ‘Minda Syariah dalam Kewangan Islam’ setebal 350 muka surat yang dijual pada harga RM100 itu memberi tumpuan perbincangan berkaitan isu kewangan Islam dari sudut falsafah dengan menyusuri proses pemikiran penasihat syariah. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *