Berita Utama

Kes dera kanak-kanak di Perak meningkat tahun lepas

Bantuan RM250 untuk keluarga sanggup jaga mangsa dera

IPOH, 20 Zulhijjah 1443H, Rabu – Sebanyak 357 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di Perak pada tahun lepas, meningkat 15 kes berbanding 342 kes pada tahun sebelumnya, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diberitahu hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKM) Perak telah membantu mangsa penderaan dengan memberi pemeliharaan dan perlindungan awal serta membuat pemantauan dan lawatan susulan terhadap mangsa.

“JKM turut menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta perkhidmatan sokongan kepada kes kanak-kanak hamil luar nikah dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual dengan memberi penempatan di institusi JKM iaitu di Taman Seri Puteri, Batu Gajah.

“Bantuan kewangan juga disediakan bagi keluarga yang sanggup memberi penjagaan dan pemeliharaan kepada mangsa penderaan yang disenaraikan daripada Program Anak Pelihara melalui Bantuan Anak Pelihara dengan kadar RM250 sebulan untuk seorang kanak-kanak dan maksimum RM500 sebulan sekeluarga yang memelihara dua orang kanak-kanak atau lebih,” katanya dalam sesi soal jawab lisan.

Dr Wan Norashikin (BN-Kampung Gajah) menjawab soalan Leow Thye Yih (DAP-Pokok Assam) yang ingin tahu bilangan kes penderaan kanak-kanak yang dilapor di Negeri Perak pada kedua-dua tahun itu dan inisiatif yang dilakukan oleh jabatan yang berkenaan dalam menangani hal tersebut.

Beliau berkata, menurut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, sebanyak 29 kes pada 2020 dan 23 kes dilapor pada tahun lepas.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button