Berita Utama

PAS enggan bubar DUN bukan kerana takut hilang kuasa

Ia dilakukan demi kepentingan rakyat: Pemuda PAS Kelantan

BANGI, 15 Rabiulawal 1444H, Rabu – Keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bukan disebabkan takut kehilangan kuasa sebaliknya langkah berkenaan lebih kepada pertimbangan demi kepentingan dan kemaslahatan rakyat.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal berkata, pihaknya tidak mahu bertindak terburu-buru seperti sesetengah pihak yang mengecewakan Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak timbul juga soal takut menghadapi pilihan raya tetapi ini dilakukan demi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Hariri Mohamed Noor mencabar, kerajaan negeri supaya membubarkan DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilangsungkan secara serentak.

Mohamad Kamal pada masa sama menjelaskan, Pemuda UMNO tidak seharusnya gopoh membuat cabaran kepada PAS Kelantan agar DUN dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen.

Beliau berpandangan, Pemuda UMNO seharusnya lebih terbuka selain menerima dapatan kajian yang dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkaitan penolakan undi anak muda terhadap Barisan Nasional (BN).

Malah, beliau meminta Pemuda UMNO supaya menyemak melalui kajian yang dijalankan sendiri atau dapatan lain yang memuaskan hati.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button