Pendapat

Menilai dokumen kerajaan Ryukyu mengenai kewujudan Hang Tuah: Megat Mohd Hisemudin

hang tuah
APAKAH Hang Tuah wujud seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu dan juga Hikayat Hang Tuah? Setelah lebih 500 tahun berlalu, persoalan ini ditimbulkan kembali.

Saya amat teruja untuk memberikan sedikit pandangan daripada perspektif yang berlainan daripada beberapa hujahan dan kajian yang dibuat oleh beberapa pihak.

Cuba kita imbas kembali beberapa pendapat daripada pakar-pakar pelbagai bidang ilmuan.

Karyawan Tamu Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Emeritus Dr Ahmat Adam mengatakan bahawa Hang Tuah adalah watak fiksyen yang wujud dalam teks klasik Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Malah tegasnya perkataan Hang Tuah itu sebenarnya tidak wujud pada abad ke-15 dan ke-16 sebaliknya ia dikesan buat pertama kalinya dalam Hikayat Acheh yang ditulis pada hujung abad ke-17.

Manakala sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai oleh Prof Emeritus Dr Hashim Musa, dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM mendakwa menemui dokumen primer kerajaan Ryukyu di Jepun dan dokumen sekunder daripada catatan pengembaraan Alfonso de Albuquerque.

Saya lebih berminat untuk berbicara mengenai dokumen yang dikatakan daripada kerajaan Ryukyu, Jepun.

Sebelum kita menjelajah lebih jauh berkenaan ketetapan dokumen ini, kita harus mengetahui di manakah lokasi kerajaan Ryukyu itu?

Daripada catatan China mengatakan, tulisan “Han” mula diperkenalkan di kerajaan Ryukyu dalam abad ke-13 dan ia menerima pembudayaan China dan agama Buddha. Sebelum itu ia tidak mempunyai bentuk tulisan.

Direkodkan orang daripada kerajaan Ryukyu yang merantau menuntut ilmu di China dan kembali untuk menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan Ryukyu.

Dokumen kerajaan Ryukyu yang dikatakan sebagai bukti kewujudan Hang Tuah.
Dokumen kerajaan Ryukyu yang dikatakan sebagai bukti kewujudan Hang Tuah.

Oleh itu pembudayaan China adalah lebih awal daripada pembudayaan Jepun. Jepun menakluki Ryukyu dalam tahun 1872. Dalam tahun 1873, kerajaan Ryukyu diisytiharkan terbubar. Maka Jepun menguasai sepenuhnya jajahan takluk kerajaan Ryukyu.

Kini kepulauan Okinama di selatan Jepun adalah sebahagian daripada bekas jajahan takluk kerajaan Ryukyu. Dari segi geografinya, kedudukan jajahan takluk kerajaan Ryukyu adalah antara Pulau Kyushu, Jepun dengan Taiwan.

Seperti Melaka yang mendapat naungan China dan terlepas daripada ancaman Siam, kerajaan Ryukyu juga mendapat naungan China.

Dalam catatan China menyatakan pada zaman pemerintah raja kedua, antara tahun 1478 hingga 1525 adalah zaman kegemilangan kerajaan Ryukyu dengan memperluaskan jajahan takluknya termasuklah kegemilangannya dalam perdagangan. Dikatakan pedagang-pedagang Ryukyu telah belayar ke China, Korea, Jepun dan Nusantara, termasuklah Melaka.

Maka tidak hairanlah kerajaan Melaka juga mempunyai hubungan rasmi dengan kerajaan Ryukyu.

Semasa saya menuntut di sebuah universiti di Taiwan dalam tahun 1983 – 1987 dahulu dalam jurusan kejuruteraan, saya sempat mengambil peluang ini untuk menyelongkar banyak catatan dan manuskrip yang ditulis dalam bahasa Cina klasik maupun bahasa Cina moden.

Ini memandangkan peluang seperti ini tidak akan terdapat di negara kita. Saya sempat menyiapkan satu kajian mengenai pengIslaman di Nusantara berdasarkan manuskrip China. Ia diterbitkan sebanyak tiga siri dalam Majalah Dakwah, terbitan Yayasan Dakwah Islamiah di tahun 1987 dahulu.

Ketika itu, saya amat teruja ingin mendapatkan butiran nama Hang Tuah, sama ada pernah tercatat dalam mana-mana catatan China. Ini bermakna, hampir 30 tahun dahulu, saya sudah mengkaji kewujudan Hang Tuah daripada catatan China.

Begitu juga saya membaca catatan pelayaran Laksamana Cheng Ho dalam tujuh kali ekspedisi ke Asia Selatan. Laksamana Cheng Ho biasanya akan mencatatkan pelbagai aspek termasuk bahasa, budaya dan orang tertentu di mana dia singgah.

Laksamana Cheng tidak pernah menitipkan apa-apa mengenai Hang Tuah, walaupun Hang Tuah begitu gahnya dalam catatan Hikayat Hang Tuah.

Yang peliknya, tiba-tiba para penyelidik dari UPM mendakwa menemui dokumen yang mengaitkan kewujudan Hang Tuah yang dikatakan manuskrip kerajaan Ryukyu, yang diperolehi daripada penyelidik Jepun.

Pada 28 Disember 2015, Berita Harian Online telah menyiarkan dokumen tersebut. Ia dikatakan sebagai dukumen mengesahkan kewujudan Hang Tuah.

Ia terdapat dalam empat muka surat yang bertulis dalam tulisan Cina. Tidak dapat dipastikan lagi sama ada ia merupakan catatan China ataupun catatan daripada kerajaan Ryukyu yang sememangnya menggunakan tulisan Cina ketika itu.

Daripada empat muka surat itu, hanya ada dua muka surat yang tercatat perkataan Melaka yang ditulis sebagai “Man-li-jia”. Dalam dua muka surat yang lain mencatatkan mengenai Sumatera yang ditulis sebagai “Su-men-ta-li”. Daripada dua muka surat yang tercatat “Man-li-jia”, hanya satu sahaja yang mengaitkan kerajaan Melaka.

Oleh kerana manuskrip itu ditulis dalam bahasa Cina klasik serta tulisan yang agak kecil dan tidak berapa terang, maka saya hanya dapat membuat tafsiran secara ringkas sahaja. Penelitian yang lebih lanjut hanya dapat dilakukan sekiranya terdapat sumber yang lebih jelas dan mengaitkan tarikh yang terdapat dalam catatan itu dengan kalendar lunar China.

Antara intipati transkrip ialah “Ke bawah Duli Tuanku Raja Melaka yang bijaksana telah mengirimkan “Dun-Man-Pu tungsi” dengan membawa pelbagai hadiah persembahan sebagai tanda persahabatan dan keeratan perhubungan dagangan.”

Perkataan “tungsi” bermakna utusan. Ini bermakna utusan yang dimaksudkan ialah “Dun-Man-Pu”. Untuk pengetahuan, terjemahan “Dun-Man-Pu” adalah dibunyikan dalam sistem fonetik Rumi Cina (Chinese Romanization). Dalam bahasa Melayu, ia dibunyikan sebagai “Tun-Man-Pu”.

Memang kelazimannya para pembesar Melaka ketika itu diberikan gelaran “Tun” berdasarkan kedudukannya. Dalam catatan Cina, bunyi seperti “ma” dalam bahasa Melayu, mungkin ditulis sebagai “ma” ataupun “man”.

Apakah nama pembesar yang dicatatkan sebagai “Man-Pu” itu ialah Hang Tuah? Maka adalah menjadi kewajiban para pengkaji di Malaysia untuk mengaitkan siapakah sebenarnya yang dinamakan sebagai “Man-Pu” itu.

Dengan lebih jauh, para penyelidik dari UPM telahpun membuat ketetapan bahawa utusan ini ialah Hang Tuah. Di manakah kredibiliti sebagai penyelidik akademik di pusat pengajian tinggi tersohor membuat ketetapan yang kurang bijak dalam menterjemahkan manukrip yang bukan dalam bidang mereka.

Megat Mohd Hisemudin Bin Megat Kasim

Saudara Megat adalah guru matematik, guru Bahasa Cina, jurutera, penulis blog dan pembaca Ismaweb.net. Beliau boleh dihubungi melalui emel megathisemudin@gmail.com.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana. Ia juga tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Pesanan Editor: Wacana mengenai Hang Tuah adalah satu perkara yang menarik untuk diketengahkan kepada masyarakat Melayu. Ia mendedahkan sisi positif kehebatan bangsa Melayu satu ketika dahulu. Sebarang komen dan pandangan kepada pihak Editor Ismaweb adalah amat dialu-alukan. Kami juga sedia menyiarkan hasil penulisan anda berkenaan isu semasa jika didapati bersesuaian. Hantar artikel anda di emel editor.ismaweb@gmail.com.

Papar selanjutnya

2 komen

  1. “catatan Cheng Ho dalam tujuh kali ekspedisi… tidak pernah menitipkan apa-apa mengenai Hang Tuah”
    tkasih krn fakta anda beri
    sesetengah Melayu tidak boleh terima hakikat bhw ungkapan “takkan Melayu hilang di dunia” sebenarnya hanya fiction

  2. “SKetika itu, saya amat teruja ingin mendapatkan butiran nama Hang Tuah, sama ada pernah tercatat dalam mana-mana catatan China. Ini bermakna, hampir 30 tahun dahulu, saya sudah mengkaji kewujudan Hang Tuah daripada catatan China.’

    Boleh En Megat sertakan link kepada journal yang published tulisan kajian En Megat ini…Pengkaji UPM ni dah published tulisan mereka mana kekurangan kita counter dalam kajian yang berkaitan dan dipublish supaya dapat dilihat oleh pengkaji yang lain….

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close