Tiada usaha bentuk kerajaan perpaduan dengan UMNO: Abdul Hadi

hadii
SHAH ALAM, Isnin – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyangkal dakwaan bekas Naib Presiden parti itu Datuk Husam Musa bahawa beliau merancang untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan UMNO.

Beliau berkata dakwaan itu tidak berasas kerana PAS hanya bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam perkara yang menyentuh mengenai kepentingan negara dan rakyat sahaja.

“PAS pernah masuk BN pada tahun 70-an dan perkara itu tidak akan berulang (lagi)…namun kerjasama dengan BN itu biasa dan tidak terikat, contohnya dalam isu menangani jenayah dan ekonomi rakyat.

“Berkaitan kerajaan perpaduan, dia (Husam) ketinggalan zaman…kerajaan perpaduan itu bermaksud semua parti termasuk PKR, DAP dan BN menjadi kerajaan yang mana tidak akan ada pembangkang…pernah nak diusahakan pada 2008, tetapi disebabkan ada parti tidak setuju jadi perkara itu tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Hi Tea Dewan Muslimat’ di sini semalam.

Abdul Hadi diminta mengulas dakwaan Husam sebelum ini bahawa beliau (Hadi) pernah merancang untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Pendedahan itu dibuat melalui sedutan video rakaman ceramah di Pasar Kedai Mulong, Kota Baharu yang dikongsi di Facebook Husam baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan bahawa PAS akan meletakkan calon bukan Islam untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang termasuk di kawasan yang dimenangi DAP, Abdul Hadi berkata perkara itu telah dibincangkan di peringkat parti.

“Kita bincang dalam parti untuk sediakan calon-calon bukan Islam untuk diletakkan calon di tempat-tempat yang munasabah untuk bertanding (dalam PRU),” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *