Perutusan Hari Raya Aidiladha 1436H: Presiden ISMA

Presiden ISMA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك إن الحمد والنعمة لك والملك لا شريك لك

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala tahun ini, dalam keadaan Malaysia yang aman, kita bertemu dengan Hari Raya Aidil Adha bagi tahun 1436 Hijrah. Selawat dan salam ke atas Junjungan Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat yang telah melalui peristiwa Hijrah dalam menegakkan Agama Allah di muka bumi ini.

Perpaduan Ummah

Di saat ini, berjuta-juta umat Islam berada di Mekah bagi menunaikan ibadat Haji. Pakaian yang sama dikenakan tanpa mengira bangsa dan latar belakang, taraf kehidupan dan keturunan, kesemuanya menundukkan diri mematuhi perintah Allah. Manusia daripada pelbagai latar belakang saling membantu, menifestasi perpaduan hasil daripada ikatan akidah dan kasih sayang yang dikurniakan Allah kepada hamba-hamba yang dikehendakiNya.

“Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Al-Anfal, ayat 63)

Allah berfirman dalam Surah Al-Hajj yang bermaksud:

Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

(Al-Hajj, ayat 27)

Tiada ikatan perpaduan yang lebih kuat daripada ikatan hati yang lahir daripada keimanan dan ketundukan kepada Allah yang Maha Esa. Umat Islam pada hari ini dipecah-pecahkan atas kepentingan dunia baik harta dan kemewahan, ketamakan terhadap kuasa politik, pengaruh dan cita-cita untuk kekal berkuasa untuk kepentingan peribadi dan keluarga. Hasilnya umat yang ramai ini ditindas, nyawa melayang dengan begitu murah, begitu mudah dicaturkan kuasa-kuasa besar di Timur dan Barat.

Marilah kita sama-sama insaf dan kembali semula menjernihkan hati, mengembalikan keikhlasan amal kepada Allah semata agar Allah mempertaut hati-hati kita melangkaui kepentingan-kepentingan selain daripada ketundukan kepada Allah. Semoga umat Islam kembali menjadi umat yang kuat, beragenda dan memimpin.

Pengorbanan

Ketundukan kepada Allah Subhanahu Wata’ala membawa hamba-hambaNya kepada kesanggupan untuk berkorban untuk menunaikan arahan Penciptanya. Seperti mana yang ditunjukkan Nabi Ibrahim Alaihi Salam yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihi Salam semata-mata untuk menunaikan arahan Allah Subhanahu Wata’ala.

Pengorbanan yang tinggi lahir hasil daripada ketundukan yang menyeluruh kepada Allah, yang membawa kepada kesanggupan untuk menunaikan arahanNya baik dalam keadaan senang dan susah, ringan atau berat, peluh ataupun darah. Pada hari ini Umat Islam memerlukan cahaya hidayah dan petunjuk serta taufiq untuk mengambil agama ini sebagai cara hidup yang menyeluruh dan membawa kepada kesanggupan untuk berkorban demi melihat keamanan bumi di bawah naungan Islam.

Membesarkan Syiar Allah

Marilah kita sama-sama di hari yang besar ini menegakkan syiar-syiar Allah agar kita digolongkan di kalangan orang yang bertaqwa.

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”

(Al-Hajj, 32)

Islam bukan sekadar keimanan atau kepercayaan peribadi, Ia bukan pegangan sekadar untuk ketenteraman peribadi. Ia adalah agama masyarakat dan negara. Syiar-syiar agama merupakan simbol yang memperkenal identiti sesebuah masyarakat dan negara. Antara syiar Islam ialah laungan azan, solat berjemaah, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat, perundangan Islam, amar makruf nahi mungkar dan lain-lain. Jika kita dituntut untuk menghormatinya, maka mempertahankannya adalah lebih utama.

Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha bagi tahun 1436H kepada semua ahli ISMA dan seluruh muslimin dan muslimat di seluruh dunia.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Salam Ukhuwwah, Salam Mahabbah.

والسلام عليكم ورحمة الله و بركاته

Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *