‘Haram Raja Kamarul Bahrin makan hasil Ahli Parlimen’

satipul-baiah

Satipul Bahri menunjukkan gambar Raja Kamarul Bahrin membaca dan menandatangani sumpah di hadapan Abdul Hadi pada 2013 lalu.

KUALA TERENGGANU, Isnin – Haram bagi Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad memakan atau menggunakan hasil daripada pendapatan yang diterimanya sebagai Ahli Parlimen apabila menyertai Parti Pekerja Malaysia yang bakal bertukar nama menjadi Parti Amanah Negara (PAN), 16 September ini.

Ini berdasarkan kepada lafaz sumpah dan baiah yang ditandatangani beliau pada 18 April 2013 di Rusila, Marang, sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), lalu.

Pesuruhjaya PAS negeri, Satipul Bahri Mamat, berkata Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu secara sukarela melafazkan sumpah baiah di depan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, saksi-saksi, kepemimpinan PAS dan calon PAS untuk PRU-13 pada 2013.

“Antara yang terkandung dalam lafaz sumpah itu ialah beliau perlu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen sekiranya meninggalkan parti, melompat parti atau dipecat.

“Selain itu, lafaz sumpah yang dibaca ialah sekiranya beliau melakukan perkara tersebut, maka pendapatannya dan elaun yang diterima sebagai wakil rakyat itu adalah haram.

“Sebab PAS Terengganu mendesak agar beliau segera meletak jawatan kerana beliau sendiri yang bersetuju untuk melakukan baiah ini ketika mahu menjadi calon,” katanya.

Bagaimanapun, Satipul berkata, lafaz baiah bagi calon PAS di Terengganu tidak membabitkan taklik perceraian talak tiga bersama isteri mereka kerana ia hanya dilaksanakan di Kelantan.

Beliau berkata, desakan itu juga adalah selari dengan gesaan Abdul Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mahu ahli PAS yang memenangi kerusi DUN serta Parlimen supaya meletakkan jawatan sekiranya mereka menyertai PAN.

PAN dianggotai oleh pemimpin dan bekas serpihan PAS yang sebelum ini menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) dilancarkan secara rasmi di peringkat Terengganu di Dungun, Jumaat lalu.

One thought on “‘Haram Raja Kamarul Bahrin makan hasil Ahli Parlimen’

  1. Serahkan urusan tu pada Allah dan tak perlulah kita ungkit apa yang telah dibaiahkan kepadanya. Bukankah sumpah yang dibuat itu adalah antara dia dan Allah. Siapakah kita seolah olah mendesak Allah menjatuhkan hukum segera pada dia sedangkan Allah maha mengetahui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *