YAP AH LOY: TOKOH ATAU PETUALANG?

KL-Yap-Ah-Loy

Yap Ah Loy[1]

Pengasas sebenar Kuala Lumpur

HARI ini kita dimomokkan dengan kenyataan seolah-olah Yap Ah Loy adalah pengasas atau pembuka sebenar kota Kuala Lumpur sehingga menjadi bandar raya terpenting pada hari ini. Hakikatnya, Yap Ah Loy merupakan kapitan ketiga yang datang ke Kuala Lumpur, Hiew Siew yang datang pada tahun 1861 merupakan kapitan Cina pertama di sini.

Terdapat rekod yang jelas menyatakan bahawa Raja Abdullah bin Raja Ja’afar, Ketua daerah Klang, telah membawa 87 orang pelombong Cina daripada Lukut dan membuka lombong di Ampang, di kawasan pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Klang. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1857, iaitu jarak masa hampir puluhan tahun dengan kedatangan Yap Ah Loy di Kuala Lumpur.[2] Menurut JM Gullick, golongan inilah yang sebenarnya bertanggungjawab membawa kepada pembukaan Kota Kuala Lumpur.

Fakta yang paling kuat jelas menunjukkan orang Melayu Mendeling, Minangkabau dan Rawa yang berasal dari Sumatera sebagai golongan pertama yang tiba di Kuala Lumpur. Mereka dikatakan telah berada di kawasan Kuala Lumpur sekitar tahun 1800 ke 1825 lagi. Pada tahun 1860, Rasa Asal telah menjadi ketua orang Melayu di Selangor, manakala Sultan Puasa telah bertanggungjawab sebagai ketua kampung di Ulu Klang, yang berperanan sebagai tempat perlombongan terpenting di Kuala Lumpur pada masa itu.[3] Selain itu terdapat lagi pemimpin Melayu yang lebih awal seperti Syabandar Yassih (Bugis) dan Dato Dagang yang telah lama berada di Kuala Lumpur sebelum kehadiran kapitan-kapitan Cina ini.

Kehadiran pelombong-pelombong Cina mulai pada tahun 1857 telah memberi kesan sedikit demi sedikit kepada aktiviti perlombongan orang Melayu. Mereka telah menggunakan teknik perlombongan terbaru yang lebih efisien.  Selain itu, mereka turut terlibat secara langsung dalam perang Selangor (1867-1873) sebagai rakan pakatan kepada kedua-dua pihak Melayu yang bertelagah.

KL-1

Peta yang dilakar oleh Frank Swettenham menunjukkan kedudukan kawasan perlombongan orang Melayu dan Cina di Sungai Klang.[4]

Peranan sebagai ketua kongsi gelap Hai San

Kumpulan Hai San ialah sebuah pertubuhan yang berbentuk separa-militari dan memiliki hierarki yang tersendiri. Orang-orang Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu memerlukan seorang ketua atau Tai Koh yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan, kepintaran, berani serta dipercayai orang bawahannya. Yap Ah Loy yang memiliki ciri-ciri tersebut telah dipilih sebagai Tai Koh dan bertanggungjawab menyelesaikan masalah sosial, ekonomi dan politik dalam kalangan pengikut Hai San.

 Kongsi gelap dan kuasa autonomi di Kuala Lumpur

Kapitan Cina berperanan untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan orang Cina. Tujuan utamanya untuk menjaga kepentingan ekonomi British di Tanah Melayu.[5] Yap Ah Loy telah diberikan kuasa autonomi oleh British dalam hal-hal yang melibatkan masyarakat Cina di Kuala Lumpur.

Sekitar tahun 1870 sehingga 1879, beliau telah mengisytiharkan beberapa undang-undang baru untuk mengatasi masalah jenayah terutamanya rompakan dan kecurian, terutamanya melibatkan masyarakat Cina di Kuala Lumpur. Sebagai contoh, bagi kes kecurian, kesalahan kali pertama akan membawa hukuman membawa barang curi tersebut mengelilingi Kuala Lumpur. Manakala, bagi kecurian kedua akan menyebabkan telinga pesalah dipotong dan kesalahan ketiga akan menyebabkan pesalah dihukum bunuh.[6]  Pihak British langsung tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran Yap Ah Loy di Kuala Lumpur.

“When Liu Ngim Kong fell ill in 1868, he made arrangements for Yap Ah Loy to fill the post of Kapitan after his death, much to the displeasure of certain relatives of Liu’s, who were later to cause great trouble to Yap Ah Loy in the Selangor disturbances. As soon as Yap Ah Loy assumed the post of Kapitan, he began to make provisions for public order, publicizing a list of crimes and their punishments, recruiting a sizeable personal bodyguard, and training soldiers as a possible defensive measure.”[7]

Yap Ah Loy turut membina  sebuah penjara di Kuala Lumpur yang mampu memuatkan 60 orang banduan serentak. Ahli-ahli kongsi gelap Hai San yang dibawa dari Tanah Besar China dan terlatih dalam ketenteraan telah ditugaskan untuk menjadi pengawal di penjara tersebut.[8] Menariknya, Yap Ah Loy merupakan pemimpin kepada kumpulan Hai San. Yap Ah Loy yang bertanggungjawab melindungi kepentingan masyarakat Cina Hakka khususnya, telah bertindak menulis satu surat rayuan pada 13 September 1880 kepada Residen British di Selangor, iaitu Douglas berkenaan isu serangan orang Hakka yang dipimpin oleh Towkay Ah Moy terhadap pegawai polis British pada masa itu.

Kesan daripada serangan itu,  Penguasa Polis British, Superitendent Syers telah meminta Douglas untuk mengeluarkan waran tangkap kepada Towkay Ah Moy. Kesan daripada surat rayuan tersebut, waran tangkap tidak dikeluarkan dan pekerja-pekerja Hakka di lombong bijih timah dibebaskan daripada tahanan. Yap Ah Loy turut terlibat menyelesaikan masalah rusuhan antara sesama bangsa Cina yang bekerja sebagai pendayung sampan dan yang bekerja di lombong bijih timah.

Yap Ah Loy turut membina hospital dan sekolah-sekolah Cina di sekitar Kuala Lumpur selain daripada sebahagian penyumbang kepada kuil Hsien Szu Shih Yeh Miao. Sekolah Cina pertama yang dibina oleh Yap Ah Loy di Kuala Lumpur ialah pada tahun 1984 dan menelan belanja lima ratus lima puluh ringgit. Yap Ah Loy bertindak membayar gaji guru-guru yang di bawa masuk dari Tanah Besar China untuk mengajar di sekolah-sekolah tersebut.  Beliau turut berperanan menjadi pemberi pinjaman kepada peniaga-peniaga Cina yang memerlukan modal perniagaan.

Khek-Tau merupakan satu lagi peranan penting yang dimainkan oleh Yap Ah Loy. Fungsinya ialah sebagai orang tengah yang bertanggungjawab menguruskan penghijrahan orang Cina dari Tanah Besar untuk bekerja di Tanah Melayu. Buruh-buruh yang dibawa masuk ini akan bekerja di lombong-lombong serta kilang-kilang yang dimiliki oleh orang Cina dan Eropah. Antara contoh syarikat yang bergantung kepada Yap Ah Loy dari aspek pembekalan tenaga buruh termasuklah Hill and Rathborne, Selangor Tin Mining Company dan Guthrie & Co.[9]

Hubungan Yap Ah Loy dan British

Hubungan antara Yap Ah Loy dan British telah bermula sejak beliau dilantik menjadi kapitan Cina di Kuala Lumpur. Frank Swettenhem telah melawat Kuala Lumpur beberapa kali sambil diiringi oleh Yap Ah Loy, yang bertujuan untuk melihat perkembangan dan kemajuan bandar itu. Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Federick Weld juga telah memuji pentadbiran Yap Ah Loy di Kuala Lumpur. Selain itu, kuasa autonomi Yap Ah Loy di Kuala Lumpur turut tidak terkesan apabila British memindahkan pusat pemerintahan mereka daripada Klang ke Kuala Lumpur pada tahun 1879. 

KL-2

Frank Swettenham ketika menjadi Residen Selangor 1882.[10]

Residen Davidson turut menghantar bantuan tentera di bawah pimpinan HC Syers untuk membantu Yap Ah Loy menewaskan penentang-penentangnya di kawasan Hulu Langat.[11] Bermula Mac 1884, Frank Swettenham yang sebelum ini bertindak sebagai Residen Selangor telah ditukarkan ke Perak. Selepas itu, Joh Pickersgill Rodger telah dilantik untuk menggantikan tempat beliau di Selangor. Rodger telah memperkenalkan beberapa polisi baru yang menguntungkan orang-orang Cina di Kuala Lumpur. Contohnya, beliau telah menghapuskan cukai garam, ikan masin dan teh yang merupakan makanan utama orang Cina. Beliau turut bertindak mengkaji semula undang-undang tanah untuk menggalakkan penanaman untuk pertanian di Selangor.

Yap Ah Loy telah dilantik oleh pihak British sendiri sebagai Majistret dan juga ahli dewan undangan negeri bagi koloni British.[12] Rodgers menyifatkan kematian Yap Ah Loy pada tahun April 1885 sebagai kerugian kepada koloni British yang hilang seorang rakan dan pegawai yang dipercayai.

… the Government has lost one of its most able and faithful officers; personally I have lost a friend for whom I had the most sincere liking and esteem[13] 

Kepentingan dengan pembesar Melayu

Kedudukan Yap Ah Loy sebagai kapitan Cina di Kuala Lumpur telah membuka ruang kepada beliau untuk berbaik-baik dengan Sultan Abdul Samad. Hasilnya, Yap Ah Loy diberikan hak melombong bijih timah di negeri Selangor. Yap Ah Loy turut diberi anugerah oleh Sultan Abdul Samad, yang membawa kepada gelaran Dato.[14]

Yap Ah Loy juga telah bekerjasama dengan Raja Mahadi menghapuskan ahli-ahli kongsi gelap yang paling bahaya di Selangor, iaitu Wong Tab Ku dan Ho Kim Shin yang berasal dari suku Hakka Foo Chow. Kedua-dua mereka dihukum mati oleh Raja Mahadi. Malah, sebelum itu lagi, Raja Mahadi yang menjadi penguasa Klang setelah berjaya menewaskan Raja Abdullah, telah berpakat dengan Sultan Puasa, pembesar Mendeling untuk menyokong pelantikan Yap Ah Loy sebagai kapitan Cina di Klang.[15] Walaupun begitu, dalam perang Kuala Lumpur pada tahun 1873, Yap Ah Loy telah membelot Raja Mahadi dan menyebelahi Tengku Kudin (Zia’u’d-din). Beliau juga telah menabur fitnah ke atas Raja Mahadi yang menyebabkan Sultan Abdul Samad melantik Tengku Kudin sebagai Viceroy Selangor dan sekali gus mengetepikan Raja Mahadi.[16] Hal ini menjadikan Raja Mahadi bermusuh dengan Tengku Kudin.

British pada masa itu turut dipaksa menukar dasarnya yang tidak campur tangan kepada campur tangan hasil daripada petisyen yang dibawa oleh JG Davidson, Setiausaha Dewan Perniagaan Singapura pada 30 Julai 1872.[17] Petisyen itu yang pada asalnya diminta oleh pedagang berbangsa Cina dari Melaka telah meminta British untuk memihak kepada Tengku Kudin dalam perang saudara tersebut.

KL-3

Tengku Kudin (duduk) bersama Komander Powlett.[18]

Kesimpulan

Yap Ah Loy yang berperanan sebagai ketua kongsi gelap Hai San telah banyak menerima pujian daripada pihak koloni British pada masa pemerintahannya. Kejayaanya membangunkan bandar Kuala Lumpur daripada sekadar kawasan perlombongan dan penempatan beberapa kampung Melayu yang menempatkan pelombong telah mengagumkan koloni British. Bagaimanapun, jelas dapat dilihat Yap Ah Loy juga mempunyai sikap kejam, pengkhianat dan penipu, semata-mata untuk memenuhi impian dan cita-citanya. Ciri-ciri ini juga sebenarnya sesuai dengan kedudukan beliau sebagai ketua kepada sebuah kumpulan kongsi gelap yang amat ditakuti dan banyak menimbulkan huru-hara kepada Tanah Melayu pada masa itu.  Sebenarnya, tidak dapat dinafikan lagi, kekuatan pengaruh kumpulan kongsi gelap Hai San adalah faktor utama yang membolehkan Yap Ah Loy berjaya meletakkan Kuala Lumpur di bawah genggamannya.

RUJUKAN

Chong Soon Fook, Yap Ah Loy Sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur, JEBAT, h.93-117, 1985/1985.

Ernest Chew, Frank Swettenham And Yap Ah Loy: The Increase Of British Political ‘Influence’ In Kuala Lumpur, 1871-1885, Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 57, h.70-87, 1984

J.M. Gullick, The Growth Of Kuala Lumpur And Of The Malay Community In Selangor Before 1880,  Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 63, h. 15-38, 1990

J.M. Gullick, Tunku Kudin In Selangor (1868-1878), Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 59, h.5-50

L.F. Comber, ‘Chinese Secret Societies in Malaya: A survey of the Triad Society from 1800 to 1900’, New York: J.J. Augustin Incorporated Publisher Locust Valley, 1959.

Sharon A. Carstens, From Myth to History: Yap Ah Loy and the Heroic Past of Chinese Malaysians,  Journal of Southeast Asian Studies, Vol. 19, h.185-208, 1988

[1] http://yapahloy.tripod.com/

[2] J.M. Gullick, ‘The Growth Of Kuala Lumpur And Of The Malay Community In Selangor Before 1880’, h. 15

[3] J.M. Gullick, ‘The Growth Of Kuala Lumpur And Of The Malay Community In Selangor Before 1880’, h. 15

[4] J.M. Gullick, ‘The Growth Of Kuala Lumpur And Of The Malay Community In Selangor Before 1880’, h. 19

[5] Chong Soon Fook, ‘Yap Ah Loy Sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur’, h.93

[6] Chong Soon Fook, ‘Yap Ah Loy Sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur’, h.93

[7] Sharon A. Carstens, ‘From Myth to History: Yap Ah Loy and the Heroic Past of Chinese Malaysians’, h.190

[8] Chong Soon Fook, ‘Yap Ah Loy Sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur’, h.98

[9] Chong Soon Fook, ‘Yap Ah Loy Sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur’, h.107

[10] Ernest Chew, ‘Frank Swettenham And Yap Ah Loy: The Increase Of British Political ‘Influence’ In Kuala Lumpur, 1871-1885’, h.76

[11] Ernest Chew, ‘Frank Swettenham And Yap Ah Loy: The Increase Of British Political ‘Influence’ In Kuala Lumpur, 1871-1885’, h.73

[12] Sharon A. Carstens, From Myth to History: ‘Yap Ah Loy and the Heroic Past of Chinese Malaysians’, h.192

[13] Ernest Chew, ‘Frank Swettenham And Yap Ah Loy: The Increase Of British Political ‘Influence’ In Kuala Lumpur, 1871-1885’, h.83

[14] L.F. Comber, ‘Chinese Secret Societies in Malaya: A survey of the Triad Society from 1800 to 1900’, h. 204

[15] L.F. Comber, ‘Chinese Secret Societies in Malaya: A survey of the Triad Society from 1800 to 1900’, h. 207

[16] Chong Soon Fook, ‘Yap Ah Loy Sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur’, h.116

[17] Ernest Chew, ‘Frank Swettenham And Yap Ah Loy: The Increase Of British Political ‘Influence’ Inkuala Lumpur, 1871-1885’, h.72.

[18] J.M. Gullick, Tunku Kudin In Selangor (1868-1878), h.14

Mohd Zul Fahmi bin Md Bahrudin
Penganalisis Politik dan Sejarah
Arus Baru Malaysia

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis semata-mata dan tiada kaitan dengan ISMA atau Media Isma Sdn Bhd

2 thoughts on “YAP AH LOY: TOKOH ATAU PETUALANG?

  1. Hello, en.Mohd Zul Fahmi, greetings of excitement. My dad James Yap & me r descendants of Yap Ah Loy. Pls contact me 012-222 2235 to ‘build bridges’… keharmonian. Selamat berbuka Puasa, & ‘Meriah Hari Raya’ to u & family kamu.

  2. Pingback: Pengenalan Peranan Kongsi Gelap dalam Sistem Ekonomi Kapitalis Cina - Arus Baru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *