KATA-KATA PEDANG: Masa depan kita bagaimana?

Kata Kata Pedang ISMAweb
SAMBIL saya duduk di tangga surau, saya ditegur oleh seorang pakcik yang sedang melangkah keluar sejurus selesai menunaikan solat Maghrib.

“Macam mana awak rasa, masa depan kita? Banyak isu sekarang ni. 1MDB, Tabung Haji…” sapa beliau.

Perkenalan saya dengan pakcik ini sudah agak lama. Sebelum ini kami pernah bertegur sapa ketika saya sedang khusyuk menulis sesuatu menggunakan laptop di surau yang sama.

Jawapan saya mudah.

“Selagi umat Islam jelas apa yang dia mahukan, ke arah mana yang dia ingin tuju, bolehlah kita kata masa depan kita akan baik.

“Dalam berpolitik, dia tahu apa yang dia hendak. Dalam berekonomi, dia tahu kedai mana dia nak singgah, barang apa dia nak beli. Tengok anak muda buang masa tepi jalan petang-petang, dia tahu macam mana nak salurkan tenaga anak muda tu…” jawab saya sambil tersenyum.

Pakcik terdiam seketika. Kemudian dia mengangguk seraya berkata,

“Awak sebut pasal anak muda. Mereka ni yang bakal memimpin negara. Pakcik tengok anak muda sekarang ni, risau pakcik.

“Risaulah. Dia nak bawa negara ni ke mana? Kalau ramai faham Islam, amal Islam dan berjuang untuk Islam, untunglah. Kalau sebaliknya?” syarah pakcik.

Saya hanya menyambut kata-kata pakcik itu dengan senyuman.

Tidak lama kemudian, pakcik meminta izin untuk beredar.

Saya turut melangkah keluar menuju kereta. Saya mengulangi kata-kata pakcik tadi.

“Orang Islam yang faham Islam, mengamalkan Islam dan berjuang untuk Islam.”

Buku bertajuk ‘Masa depan untuk Islam’ telah ditulis oleh tokoh ilmuan Islam antaranya Sayyid Qutb dan Dr Yusuf Al-Qardawi.

Antara isi utama yang disebut dalam buku itu adalah keperluan bagi seorang muslim untuk memahami Islam sebagai manhaj kehidupan. Islam adalah jalan keluar kepada permasalahan dunia hari ini.

Disebabkan rosaknya kehidupan yang bersistemkan hawa nafsu dan ideologi jahiliyah Barat, dunia hari ini memerlukan solusi. Tidak lain dan tidak bukan ia adalah Islam.

Dalam erti kata lain, ruang vakum yang ada pada masa akan datang (telah pun wujud hari ini), bakal diisi oleh Islam.

Sistem rekaan manusia tidak mampu menandingi manhaj kehidupan yang ditunjukkan oleh Islam.

Tinggal lagi, berapa ramaikah umat Islam hari ini yang memahami, mengamalkan dan menjadikan hidup dan matinya hanya untuk Islam?

KATA-KATA PEDANG adalah satu ruangan baru di ISMAweb dan akan disiarkan setiap hari.

Penafian: Artikel ini mewakili pandangan ISMAweb dan bukan pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

One thought on “KATA-KATA PEDANG: Masa depan kita bagaimana?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *