Berita Utama

Kerajaan teliti wujudkan ‘duta endemik’

Bagi pastikan SOP pencegahan dipatuhi masyarakat

PONTIAN, 25 Rejab 1443H, Ahad – Kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan pasukan ‘duta endemik’ COVID-19 iaitu kelompok sukarelawan yang dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Komuniti Keluarga Malaysia di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 dalam kalangan masyarakat dipatuhi bersesuaian dengan suasana fasa endemik nanti.

Beliau berkata ini kerana pelaksanaan penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM) dan undang-undang sahaja tidak memadai bagi memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat terjamin apabila negara beralih ke fasa tersebut.

“Fasa endemik bermakna virus (COVID-19) masih ada dalam kalangan kita tetapi kehidupan perlu kembali normal tetapi memerlukan penguatkuasaan atau kawalan kendiri yang sesuai dengan suasana hidup dengan COVID-19.

“Untuk itu, yang sangat diperlukan adalah penguatkuasaan kendiri oleh individu keluarga masyarakat dan ia sukar untuk dilaksanakan kalau tiada kalangan komuniti sendiri untuk mengingatkan (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Komuniti Keluarga Peringkat Negeri Johor (Zon Barat) di Tanjung Piai, dekat sini hari ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button