Berita Utama

Mahkamah putuskan Rozliza Ibrahim bukan Islam

Keputusan dibuat oleh panel hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR, 23 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Rozliza Ibrahim bahawa beliau tidak pernah beragama Islam.

Salah seorang peguam yang terbabit secara langsung dalam kes itu, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, keputusan mahkamah berdasarkan kepada dua frasa berbeza iaitu ‘bukan lagi beragama Islam’ dan ‘tidak pernah beragama Islam’.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM) berkata, bagi kes bukan lagi beragama Islam, mahkamah berbidang kuasa adalah Mahkamah Syariah, manakala bagi tidak pernah beragama Islam (ab initio never a muslim), mahkamah berbidang kuasa ialah Mahkamah Sivil.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah panel hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendengar rayuan Rosliza, hari ini.

“Walau bagaimanapun, Yang Amat Arif Tan Sri Azahar memutuskan selanjutnya bahawa isu mengenai nasab Mahkamah Sivil perlu mendapatkan keterangan pakar dari Jawatankuasa Fatwa berkenaan atau pakar perundangan Islam untuk membantu Mahkamah Sivil.

“Yang Arif Dato Hasnah bersetuju dengan Yang Amat Arid Tan Sri Azhar membenarkan permohonan Rozliza di perenggan 1 sahaja tetapi tidak di perenggan 2 dan 3,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rosliza memfailkan saman pemula pada 2015 bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau dilahirkan sebelum bapanya yang beragama Islam dan mendiang ibunya, yang beragama Buddha, berkahwin.

Beliau mendakwa bahawa dirinya bukan seorang penganut agama Islam dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadapnya.

Pada 22 Jun 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman pemula itu dan rayuannya juga ditolak Mahkamah Rayuan pada 25 April 2018.

Pada 20 Januari tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Rosliza untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu berhubung dua isu perundangan yang perlu diputuskan mahkamah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button