Kronologi kes kalimah Allah

KalimahAllah-Large
Kronologi kes

16 Februari 2009 – Gereja Roman Katolik diketuai Ketua Paderi Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan semula kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarangnya menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam majalah mingguan itu adalah bercanggah dengan undang-undang.

31 Disember 2009 – Mahkamah Tinggi, ketika meluluskan permohonan semakan semula kehakiman oleh Gereja Roman Katolik itu, mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan bahasa Malaysianya, yang khusus untuk bacaan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.

4 Januari 2010 – Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan memfailkan rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

6 Januari 2010 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan pelaksanaan perintah terdahulu yang membenarkan majalah itu menggunakan kalimah ‘Allah’ berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katolik atas alasan untuk kepentingan negara.

10 September 2013 – Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.

14 Oktober 2013 – Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara meluluskan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah ‘Allah’.

11 November 2013 – Gereja Roman Katolik memfailkan permohonan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan dan mengemukakan 26 persoalan undang-undang yang melibatkan tiga bidang iaitu persoalan undang-undang, isu pentadbiran dan sama ada mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tentang isu perbandingan agama.

5 Mac 2014 – Pendengaran permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapat kelulusan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melarang The Herald daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitannya; Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakimannya ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

23 Jun 2014 – Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-3, menolak permohonan gereja itu untuk mendapatkan kelulusan merayu bagi penarikan balik larangan kerajaan tentang penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan dalam edisi bahasa Malaysia The Herald.

19 September 2014 – Gereja Roman Katolik memfailkan permohonan semakan semula kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak memberi kelulusan kepadanya untuk merayu berhubung larangan Menteri Dalam Negeri tentang penggunaan kalimah ‘Allah’.

Permohonan itu dibuat berdasarkan tiga asas utama, termasuk isu undang-undang tertentu yang menjadi bahagian penting dalam permohonan untuk mendapatkan kelulusan itu, mengikut skop Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *