Berita Utama

Tun M dakwa Anwar tak ikut ‘rule of law’ lantik Zahid jadi TPM

Sukarkan usaha bersihkan negara daripada rasuah dan kleptokrat

BANGI, 12 Jamadilawal 1444H, Rabu – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan campuran yang ditunjangi Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berpegang kepada ‘rule of law’ apabila melantik individu yang mempunyai kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Pengerusi Penaja GTA itu mendakwa, pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya akan menyukarkan usaha membersihkan negara daripada rasuah dan kleptokrat.

“Ya betul belum dihukum tetapi orang ini sudah dihadapkan ke mahkamah, kalau kita ada orang sebegini jadi pemimpin, akan rosaklah negara kita.

“Saya berpendapat kalau kita nak bersihkan negara kita tidak boleh pilih orang yang semua orang berpendapat dia seorang yang melakukan jenayah,” katanya.

Justeru, bekas Perdana Menteri itu hairan bagaimana Anwar boleh membuat keputusan untuk memilih individu yang terpalit dengan masalah mahkamah.

“Saya hairan bagaimana Anwar boleh pilih orang ini walaupun dia pemimpin parti tetapi dia menghadapi tuduhan di mahkamah. Ya betul tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Tetapi kalau dia dihadapkan dengan satu-satu kes itu sudah menunjukkan dia (Ahmad Zahid) tidak layak jadi pemimpin,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan beberapa Ahli Parlimen lain.

Pada 2 Disember lalu, Ahmad Zahid dilantik sebagai TPM oleh Anwar ketika mengumumkan barisan 28 anggota jemaah menteri kerajaan perpaduan.

Ahmad Zahid sebelum ini mempunyai 47 pertuduhan melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button