Berita Utama

Larang laung ‘Allahuakbar’, Viva Palestin nak jaga hati siapa?

Presiden BERJASA anggap himpunan 'Freedom For Palestine' gagal

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 12 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – BERJASA hairan dengan tindakan pengajur himpunan ‘Freedom For Palestine’ yang melarang peserta mengangkat plakad mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai tanda solidariti kepada Palestin.

Bukan hanya tidak dibenarkan mengangkat plakad mengecam ‘ketua pengganas Zionis’ itu, lebih malang lagi peserta himpunan turut dilarang melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’.

Atas sebab itu, Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim menganggap himpunan solidariti anjuran Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE berkenaan sebagai gagal.

“Kenapa gagal? Sebab selepas perhimpunan itu, kita dapati netizen marah bahkan mengutuk apa yang telah dilaksanakan oleh Viva Palestina, yang mana waktu itu Dr Musa Nordin sebagai pengendali program.

“Sepatutnya orang menyokong dan bersemangat terhadap apa yang dibawa oleh Viva Palestin, tetapi sebaliknya (mereka) bertukar marah dan benci. Maka itu sebab saya katakan ianya gagal,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebooknya.

Media sebelum ini melaporkan, rata-rata yang menghadiri Himpunan Freedom For Palestine meluahkan rasa kecewa dan berang terhadap penganjur yang bersikap kurang ajar terhadap peserta.

Himpunan itu dianjurkan Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE bagi menunjukkan tanda solidariti kepada Palestin.

Namun, apa yang mengejutkan adalah apabila Pengerusi VPM, Datuk Dr Musa Mohd Nordin melabelkan peserta yang mengangkat plakad ‘Netanyahu Penjenayah Perang’ bersikap seperti Zionis Israel.

Susulan kontroversi itu, Dr Musa memberi penjelasan bahawa pasukan keselamatannya menganggap plakad mahupun gambar yang memaparkan wajah Netanyahu sebagai satu tindakan provokasi.

Mengulas lanjut, Zamani turut tertanya-tanya sebab penganjur mengenakan larangan itu kepada peserta, sedangkan tujuannya jelas demi menyuarakan sokongan rakyat Malaysia kepada Palestin.

“Bukan orang Malaysia saja, dunia juga memandang bahawa Netanyahu adalah orang yang bertanggungjawab melakukan dan merancang jenayah besar di Palestin.

“Kenapa ia dilarang? Persoalan timbul di kalangan netizen sebenarnya Viva Palestina atau Dr Musa Nordin melarang untuk jangan mengangkat plakad Netanyahu, nak jaga hati siapa?

“Apakah untuk menjaga hati non-muslim di negara kita? Sepatutnya tunjukkan dan ajar mereka inilah cara orang Islam bersolidariti dalam isu Palestin ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button