Berita Utama

Tuduhan terhadap Muhyiddin bersifat terpilih, lindung isu lebih besar

Saifuddin dakwa tindakan mahu lumpuhkan Bersatu, PN

BANGI, 16 Syaaban 1444H, Khamis – Timbalan Presiden PAS mendakwa tuduhan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersifat pertuduhan terpilih bagi melindungi dan memihak isu yang lebih besar berlaku dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu ini membabitkan UMNO berhubung isu percanggahan surat yang telah dikeluarkan oleh jabatan Pendaftaran pertubuhan (RoS).

“Ini adalah sebahagian usaha untuk tutup dan melarikan isu sebenar,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama pimpinan tertinggi Bersatu dan lebih 700 penyokong hadir menyertai Himpunan solidariti di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Muhyiddin tiba ke SPRM Putrajaya pada jam 11.10 pagi bagi membantu siasatan berkaitan kes salah guna dana awam Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Razali Idris; Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pula menyatakan kekesalan dan menyifatkan tindakan berkenaan tidak wajar.

Beliau mendakwa, ini hanya bertujuan untuk memburukkan Muhyiddin selain mahu melumpuhkan Bersatu dan PN.

Katanya, kerajaan hari ini tiada cara lain untuk mengalahkan PN pada pilihan raya negeri (PRN), akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button