Islam diancam: Ada bukti kukuh menunjukkan dakwaan Muhyiddin benar

abdullah zaik abd rahman presiden isma BANGI, 7 Julai – Terdapat banyak bukti kukuh yang membenarkan dakwaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa wujud tekanan demi tekanan ke atas kedudukan Islam.

Selain itu, terdapat juga perancangan rapi dan tersusun yang boleh mengakibatkan bangsa Melayu terpinggir dan merana di bumi sendiri.

Demikian tegas Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin yang menyeru umat Islam mengutamakan perpaduan bagi menghadapi tekanan daripada pelbagai pihak di atas kedudukan Islam di Malaysia.

“Dari itu, akhir-akhir ini wujud tekanan demi tekanan daripada pelbagai pihak di atas kedudukan Islam seperti ada yang mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan pelaksanaan undang-undang oleh Mahkamah Syariah,” kata Muhyiddin ketika berucap di sebuah majlis berbuka puasa di Melaka semalam.

Berkata kepada ISMAweb, Ustaz Abdullah mengingatkan umat Islam agar sedar ancaman yang dihadapi dan negara sedang menjurus ke arah konflik kaum.

“Sememangnya terdapat bukti kukuh di mana pihak-pihak tertentu sedang memaksa kehendaknya ke atas orang Melayu Islam dan menafikan kedaulatan mereka serta hak-hak mereka yang dijamin perlembagaan,” katanya.

Tambahnya, tidak ada kontroversi dalam kenyataan Tan Sri Muhyiddin sebagaimana yang didakwa oleh DAP yang cuba membayangkan bahawa Muhyiddin seorang yang taasub dan pelampau dan anti bukan Melayu.

“Sebaliknya merekalah (DAP) yang melampau dan ekstrim serta lupa daratan,” katanya lagi.

Ustaz Abdullah berkata, pihaknya tahu bahawa mereka cuba membuat tekanan supaya Tan Sri Muhyiddin dan beberapa pemimpin UMNO lain disingkir daripada kabinet.

“Kecaman yang dibuat DAP adalah sebahagian daripada tekanan ke arah tersebut. DAP dan parti-parti Cina berselindung di sebalik slogan multiracial untuk memaksa kehendak mereka dan menidakkan hak-hak kaum Melayu dan Islam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>