Berita UtamaDunia

Askar Israel belasah aktivis antarabangsa

Kerah pusat pemeriksaan tentera, mungkin mahu usir penduduk Palestin secara paksa

HEBRON, 23 Zulkaedah 1443H, Khamis – Tentera negara pengganas Israel membelasah beberapa aktivis perpaduan antarabangsa di Masafer Yatta di selatan bukit Hebron.

Penyelaras Jawatankuasa Perlindungan dan Ketabahan di Masafer Yatta, Fuad al-Amour berkata, askar lengkap bersenjata menyerang sebilangan aktivis antarabangsa secara kejam yang membantah latihan tentera berhampiran dan di al-Markez serta menahan dua lagi untuk tempoh yang lama.

Tentera Israel menjalankan latihan di al-Markez untuk hari kedua berturut-turut.

Al-Amour berkata, tentera membina ‘mock-up’ sebagai sasaran antara kediaman sementara penduduk dusun dan telah menjalankan latihan dengan senjata berat, menimbulkan rasa panik dalam kalangan penduduk.

Pasukan rejim juga mengerahkan pusat pemeriksaan tentera di sekitar dusun di kawasan itu, sebagai persediaan untuk latihan ketenteraan, dan kemungkinan membuka jalan untuk penyingkiran penduduk Palestin.

Baru-baru ini, mahkamah tertinggi Israel memberi ‘lampu hijau’ kepada tentera untuk mengusir secara paksa kira-kira 1,300 rakyat Palestin yang tinggal di 12 kampung atau dusun yang membentuk kawasan Masafer Yatta.

Terletak di Kawasan C Tebing Barat – di bawah kawalan penuh pentadbiran dan ketenteraan Israel – kawasan itu telah mengalami pelanggaran berulang oleh peneroka dan tentera yang menyasarkan sumber kehidupan utama mereka iaitu ternakan.

Pelanggaran Israel terhadap kawasan itu termasuk merobohkan kandang haiwan, rumah dan struktur kediaman.

Pengeluaran permit pembinaan oleh Israel kepada penduduk tempatan Palestin di kawasan itu tidak wujud. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button