Berita Utama

Graduan baharu perlu dibayar gaji ‘bermaruah’ sesuai kelayakan

Negara perlu polisi jelas untuk bangunkan generasi anak muda

Oleh Zuhayati Yazid

KUANTAN, 19 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Pentadbiran negara hari ini yang tidak stabil dan lebih mengutamakan agenda politik amat merugikan anak muda.

Situasi ini dapat dilihat apabila graduan baharu tamat pengajian di universiti – kebanyakan mereka tidak diberikan gaji setimpal atau bermaruah mengikut kelayakan mereka.

Calon Pejuang Parlimen Indera Mahkota, Dr Mohamad Nor Sundari berkata, perkara ini sangat menyedihkan, walhal golongan muda bertungkus-lumus bekerja, malangnya gaji yang dibayar tidak setimpal.

“Ini menyebabkan syarikat-syarikat asing ambil kesempatan dan bawa balik ke negara asal mereka, keadaan ini dilihat menganiaya graduan muda di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program sembang santai bersama calon: Isu Ekonomi Keluarga Muda: Apa Cabaran & Solusinya yang disiarkan secara langsung di Facebook Berjasa Pahang, malam ini.

Beliau berpandangan perkara berkenaan perlu ‘dibaiki’ demi masa depan anak anak.

“Saya rasa perlu ada polisi yang jelas dan mesti diwujudkan oleh kerajaan dan kementerian – untuk bantu golongan muda.

“Jika tiada perubahan, dikhuatiri akan menyebabkan anak-anak tidak minat untuk bekerja dan jika ada yang bekerja pun mereka tiada motivasi – maka produktiviti akan turut terjejas,” katanya.

Keadaan ini sangat merugikan negara kerana golongan muda adalah pewaris yang akan membina negara di masa depan, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button